Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 1 PEMBAHAGIAN ALAM : 1.1) Penjelasan Tajuk.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi. Kota Bharu

Alam itu jika dibahagikan menurut cara garisan kasar terbahagi ia kepada dua bahagian:


(1) Alam Kenyataan.

(2) Alam Ghaib.


Alam Kenyataan, mengikut istilah Tasawuf digelarkan juga alam Al-Syahadah atau Alam Mulki, yaitu mana-mana alam yang dapat dikesan oleh salah satu daripada pancaindera zahir yang lima (mata zahir, telinga
zahir, pencium zahir, penyentuh zahir dan perasa zahir). Kelima-lima perkara ini kita namakan juga ‘pancaindera luar’.

Dan mana-mana alam yang dapat dikesan dengan pancaindera zahir, umpama tubuh kasar kita, rumahtangga kita dan alam sekeliling yang kelihatan dengan mata kasar itu kita namakan dia ‘Alam Kasar’ atau ‘Alam Kenyataan’.


Alam Ghaib, ialah alam di sebalik tirai alam kenyataan ini dan oleh itu ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar maka banyaklah manusia jadi kafir. Alam ghaib lawannya alam kasar atau alam kenyataan.

Alam ghaib bolehlah diberi ta’arif begini: yaitu mana-mana alam yang dapat dikesan oleh salah satu daripada ‘pancaindera dalam yang lima’, yaitu mata dalam, telinga dalam, pencium dalam, penyentuh dalam dan perasa dalam. Dan kelima-lima perkara ini kita namakan dia ‘pancaindera dalam’ pada suatu pengertian yang lain. Dan pancaindera dalam itu memang wujud pada tiap-tiap seorang manusia dan tidak boleh dibohongi oleh siapa-siapa pun.

Alam ghaib demikian juga kita namakan dia ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam halus dan seni’ kerana ia tidak dapat dikesan oleh mata kasar (pancaindera zahir atau kasar), tetapi dapat dilihat oleh mata dalam atau dikesan oleh pancaindera dalam.

 

Dan apakah dia ‘Mata Dalam’ atau ‘Pancaindera Dalam’ itu?


Ketahuilah tuan-tuan bahawa tiap-tiap seorang manusia itu mempunyai roh dan roh itu suatu benda berbadan halus dan seni, dia berasal datang dari ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam Al-Amri’ atau ‘Alam Arwah’, ia hidup tidak hancur selama-lamanya sekalipun badan kasarnya hancur reput. Ia mempunyai akal yang boleh berfikir pada sesuatu. Ia mempunyai pancaindera yang kita namakan dengan ‘Pancaindera Dalam’.


Ia berupa menyerupai bagaimana tubuh badan kita, ia bermata kepala dan berkaki tangan dan beranggota serupa dengan badan tubuh kita pada waktu hidup di dunia ini.


Tuan-tuan cubalah renong dan berfikir selangkah ke dalam! Tuan pernah bermimpi bukan? Misalnya pada suatu malam tuan bermimpi pergi makan angin di sebuah pulau yang sangat cantik dan amat menarik sekali. Ia terletak di tengah-tengah lautan yang amat indah dan menyukakan hati, tiba-tiba di tempat itu tuan bertemu pula dengan gadis jelita kekasih tuan yang sudah terputus perhubungan dalam beberapa tahun yang lampau. Apakah yang tuan dapat rasa nikmat bahagia di masa itu cubalah ceritakan!

Ataupun tuan bermimpi bertemu dengan harimau belang di sebuah hutan rimba yang amat menakutkan hati sekali. Tiba-tiba tuan dikejar oleh harimau itu tetapi mujurnya tuan dapat menyelamatkan diri dari maut harimau itu dengan memanjat sebatang pokok kayu dalam hutan yang menyayat hati itu. Cubalah tuan ceritakan bagaimana rasanya yang tuan dapat kecap kecelakaan dimasa itu!


Waktu tuan bermimpi itu sudah tentu tuan melihat dengan mata kepala, tetapi mata manakah yang melihat? Pada hal mata kasar tuan sedang tidur nyenyak di atas katil dan tidak pernah buka-buka lagi, dan sudah tentu tuan mendengar suara harimau pada waktu itu dengan telinga, tetapi telinga manakah yang mendengar? Pada hal telinga kasar tuan adalah tuli dan mampus, tidak pernah menyahut bisikan-bisikan orang di waktu tidur itu. Dan pada waktu tuan pergi makan angin dan bersuka seronok di sebuah pulau dalam mimpi itu, siapakah yang benar-benar rasa kecap bahagia itu? Tubuh kasarkah atau badan halus tadi? Atau siapa? Dan sebaliknya siapakah pula yang benar-benar rasa kecap celaka azab di waktu ia dikejar harimau tadi? Badan kasarkah atau halus atau siapa? Dan siapakah yang sebenar-benar bernilai diri kita itu? Badan haluskah atau badan kasar? ………. itulah dia roh yang benar-benar menerima azab atau bahagia di akhirat nanti, tetapi badan kasarnya akan turut serta menerima demikian manakala ia dibangkit dan dicantumkan kembali dengan roh di alam akhirat selepas berlaku kiamat.


Dialah (roh) yang benar-benar sekali menerima gembira dan yang benar-benar sekali menerima duka, baik di dunia ataupun di akhirat yakni bukan tubuh badan yang kasar yang menerimai rasa-rasa umpama itu.

Cuba tuan hiriskan dengan pisau tubuh orang yang telah tercabut nyawanya, kenapa ia tidak menggeletar?

Jawabnya, kerana tubuh kasar yang semacam tunggol kayu itu bukanlah yang menerima rasa pedih sakit tetapi yang benar-benar menerimainya ialah roh.

Dalam ugama Islam kita diwajibkan percaya kepada adanya azab kubur dari sekarang, yaitu apabila seseorang itu mati celaka yakni waktu hidup di dunia ia memilih amalan celaka, setelah ia meninggal dunia sudah tentu badan kasarnya diusung orang, bawa ke kubur untuk dipulangkan kepada tanah dan jadi makanan ulat, tetapi rohnya pula sudah pasti akan bertemu dengan berbagai azab di Alam Malakut sana.

Nabi-nabi, orang-orang sufi atau siapa-siapapun bila terbuka kasyaf nescaya akan melihat azab siksa yang dikenakan pada orang itu dalam waktu jaga begini. Azab-azab umpama itulah dipanggilnya ‘Azab Kubur’ bagaimana yang wajib dipercayai oleh tiap-tiap seorang Islam, sekarang terpulanglah kepada tuan-tuan. Sama ada mahu percaya atau tidak, jika percaya maka berertilah tuan-tuan sudah memenuhi sebahagian roh iman, tetapi jika tidak percaya maka bererti tuan-tuan sudah tidak termasuk dalam golongan orang-orang Islam dan tetap mati di dalam kafir masuk neraka.


Ketahuilah bahawa penyaksian-penyaksian umpama itu tadi itulah yang dikatakan menerusi dengan mata dalam atau dengan telinga dalam atau dengan pancaindera dalam yang sedang bekerja dan berlaku dalam masa penggunaan seseorang di Alam Malakut. Penggunaan pancaindera dalam itu bila berlaku pada waktu tidur dinamakan dia ‘Mimpi’, tetapi jika berlaku pada waktu diri seseorang itu sedar dan jaga dinamakan dia ‘Kasyaf’. Dan mana-mana alam yang dapat dikesan oleh mata dalam atau pancaindera dalam umpama tadi kita namakan dia ‘Alam Malakut’ atau ‘Alam Ghaib’ kerana ia tidak dapat dilihat oleh mata kasar atau pancaindera kasar.

Kerap kali berlaku pada Nabi-nabi dan orang-orang sufi dapat melihat perkara-perkara alam akhirat sedangkan tubuh kasar mereka di alam dunia adalah menerusi penglihatan umpama itu (Kasyaf), dan banyak pula berlaku kepada orang yang sedang bertapa atau beribadat, misalnya ia kelihatan seorang tua pakai serban hijau dan berjanggut panjang datang memberi salam kepadanya, atau dilihat kepadanya ular besar yang hendak menghampiri dia, atau gurunya datang memberi nasihat apa-apa atau dilihatnya wang ringgit datang mencurah-curah kepadanya pada hal ia berseorangan diri (bertapa) di dalam biliknya, atau diberi lihat kepadanya api sedang membakar manusia di dalam kubur atau dilihat ibunya sedang duduk berehat dalam kubur dengan segala senang hatinya.

Dan banyak pula berlaku, misalnya setengah orang dikosek-kosek (usik-usik) hantu raya, ia melihat hantu itu tinggi menjulang ke langit pada hal kawan di sebelahnya tidak nampak sedikitpun dan lain-lain lagi, itulah semuanya dikatakan perkara (Alam Malakut) dapat dilihatnya menerusi mata dalam atau pancaindera dalam yang kita namakan ‘Kasyaf’.

Tiada ulasan: