BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Tiap-tiap amal ibadat yang dilakukan oleh seseorang itu, kita
katakanlah umpamanya ibadat sembahyang atau lain-lain lagi, ada tiga darjat
atau makam:
1. Darjat Syariat, yaitu amal ibadat yang dilakukan itu sah pada bentuk rupa
lahir tetapi hatinya mati dan tidak hidup malah ia kosong dari dapat merasai
apa-apa. Yaitu amalan yang dikerjakan mengikut peraturan yang sah pada rukun
dan syaratnya dan tiada cacat apa-apa yang terdapat pada bentuk rupa lahirnya.
Dan sembahyang umpama inilah sembahyang yang berlaku kepada kebanyakan orang
awam kita, dan sahlah ia pada iktibar hukum syariat yang lahir dan sembahyang
umpama ini adalah sembahyang adat resam jua pada pandangan orang sufi.
2. Darjat Tariqat, yaitu amal ibadat yang dilakukan oleh seorang
dengan hati yang hidup dan penuh dengan warid-warid atau nur daripada Allah.
Dan tidak dikatakan hati hidup melainkan hati yang mendapat warid atau nur
Ilahi, darjat ini memang tinggi daripada darjat yang pertama tadi, orang yang
beroleh warid dalam ibadat tariqat dan bersembahyang ia dengan warid adalah
daripada golongan orang yang berhak menduduki darjat tariqat ini. Sembahyang
darjat yang kedua inilah makna sembahyang yang dimaksud oleh Tuhan bagaimana
tersebut di dalam Al-Quran:
Ertinya: “Sesungguhnya
sembahyang itu dapat mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar”.
Sembahyang orang yang tiada mempunyai warid atau nur maka
berertilah sembahyang yang tiada jatuh kepada makam tariqat yaitu ‘sembahyang
yang dapat mencegah daripada perbuatan mungkar’, demikian juga pada
ibadat-ibadat yang lain. Sebab itiulah maka kebanyakan orang awam kita selepas
ia melakukan sembahyang, ia pergi pula menipu orang, bercakap bohong, pecah
amanah Tuhan dan lain-lain lagi. Jadi, ertinya jahat tiada habis-habis.
3. Darjat Hakikat, yaitu amal ibadat yang apabila dilakukan nescaya tercapai di
dalamnya suatu kedapatan yang lazat dengan rasa zuqq hakikat. Sembahyang darjat
yang ketiga ini ialah jenis sembahyang rasul-rasul, nabi-nabi dan orang-orang
sufi. Pernah kita dengar suatu cerita bahawa seorang sahabat nabi yang terkena
anak panah dalam satu peperangan dan melekatnya anak panah pada tubuhnya hingga
tak dapat hendak dicabut-cabut lagi dan ia sakit berjerit-jerit bila hendak
dicabutnya, tetapi apabila ia masuk sembahyang barulah anak panah itu dapat
dicabut dengan tiada merasai apa-apa sakit kerana
ketika itu ia sudah masuk ke dalam alam yang baru, sembahyang yang terdapat di
dalamnya kesedapan dan kelazatan dengan zuqq-zuqq dan syuhud (musyahadah).
Pendek kata, amal ibadat itu laksana padi, ada yang bernas, ada
yang hampa, ada yang separuh hampa, ada yang separuh bernas, ada yang dua
pertiga hampa atau bernas dan macam-macam lagi. Maka amal ibadat yang bernas
seratus-peratus itu ialah amal ibadat yang penuh berisi pada ketiga- tiga sudut
itu dan tidak pula cacat sedikitpun pada ketiga-tiga darjat itu yaitu darjat
syariat, tariqat dan hakikat, wal-hasilnya, jika ia diuji menerusi ketiga-tiga
meja itu tadi yaitu meja syariat, tariqat dan hakikat nescaya lulus belaka.
Demikianlah amal ibadat yang bernas seratus peratus. Maka hidupnya orang umpama
itu dalam dunia ini adalah penuh bertuah dan beruntung besar walaupun ia hidup
dalam umur- nya yang singkat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan