Catatan Popular

Ahad, 21 Julai 2019

SIRRUL ASRAR : BAB 16 MAKSUD IBADAT SECARA AMALAN ZAHIR DAN IBADAT BATIN

Lima kali sehari semalam, pada masa yang telah ditentukan,
sembahyang diwajibkan kepada sekalian Muslim yang baligh dan
berkuasa. Ini diperintahkan oleh Allah:

“Kerjakan sembahyang dengan tetap dan akan
sembahyang yang terlebih penting “. (Surah al-Baqaraah,
ayat 238).

Sembahyang menurut peraturan agama (rukun sembahyang)
terdiri daripada berdiri, membaca Q uran, rukuk, sujud, duduk,
membaca dengan kedengaran beberapa doa. Pergerakan dan
perbuatan ini melibatkan bahagian-bahagian tubuh, pembacaan
diucap dan didengar melibatkan pancaindera dan deria, adalah
sembahyang diri zahir. Kerana tindakan diri zahir ini dilakukan
berulang-ulang, acapkali, di dalam setiap lima waktu sehari,
bahagian pertama menurut perintah Allah “Dirikan
sembahyang” , adalah lebih dari satu.

Bahagian kedua perintah Allah “terutamanya sembahyang
pertengahan” merujuk kepada sembahyang hati, kerana hati
berada di tengah-tengah pada kejadian manusia. Tujuan
sembahyang ini adalah mendapatkan kesejahteraan pada hati.
Hati berada di tengah-tengah, antara kanan dengan kiri, antara
hadapan dengan belakang, antara atas dengan bawah, antara
kebaikan dnegan keburukan. Hati adalah pusat, titik
pengimbang, penengah.

Nabi s.a.w bersabda,
“Hati anak Adam berada di antara dua jari Yang Maha
Penyayang. Dia balikkan ke arah mana yang Dia
kehendaki” .

Dua jari Allah adalah sifat kekerasan-Nya yang berkuasa
menghukum dan sifat keindahan-Nya dan pengasih-Nya yang
memberi rahmat dan nikmat.

Sembahyang sebenar adalah sembahyang hati. Jika hati lalai
daripada sembahyang, sembahyang zahir tidak akan teratur. Bila
ini terjadi kesejahteraan dan kedamaian diri zahir yang
diharapkan diperolehi daripada sembahyang zahir itu tidak
diperolehi. Sebab itu Nabi s.a.w bersabda,
“Amalan sembahyang mungkin dengan hati yang diam”.
Sembahyang adalah penyerahan yang dicipta kepada Pencipta.
Ia adalah pertemuan di antara hamba dengan Tuannya. Tempat
pertemuan itu ialah hati. Jika hati tertutup, lalai dan mati, begitu
juga maksud sembahyang itu, tidak ada kebaikan yang sampai
kepada diri zahir daripada sembahyang yang demikian, kerana
hati adalah intipati atau hakikat atau zat bagi jasad, semua yang
lain bergantung kepadanya.
Nabi s.a.w bersabda,
” Ada sekeping daging di dalam tubuh manusia, jika ia
baik maka baiklah semua anggota tetapi jika ia jahat maka
jahat pula anggota. Ketahuilah, itulah hati”.
Sembahyang yang diperintahkan oleh agama (syariat) dilakukan
pada waktu tertentu, lima kali sehari semalam. Sebaiknya
dilakukan di dalam masjid secara berhemah, menghadap
ka’abah, mengikut imam yang tidak munafik dan tidak ria’.
Masa untuk bersembahyang batin tidak mengira masa dan
tidak berkesudahan, bagi kehidupan ini dan juga akhirat.
Masjid bagi sembahyang ini ialah hati. Jemaahnya ialah
bakat-bakat kerohanian, yang mengingat dan
mengucapkan nama-nama Allah Yang Esa di dalam bahasa
alam batin.

Imam sembahyang ini ialah kehendak yang tidak dapat
disekat, arah kiblatnya ialah keesaan Allah, yang di mana-
mana, dan keabadian-Nya dan keindahan-Nya. Hati yang
sejati adalah yang boleh melakukan sembahyang yang demikian.
Hati yang seperti ini tidak tidur dan tidak mati. Hati dan roh yang
demikian berada di dalam sembahyang yang berterusan, dan
manusia yang memiliki hati yang demikian, samada dia dalam
jaga atau tidur, sentiasa berbuat kebaktian. Sembahyang batin
yang dilakukan oleh hati adalah keseluruhan kehidupannya.
Tiada lagi bunyi bacaan, berdiri, rukuk, sujud atau duduk.
Pembimbingnya, imam sembahyang itu adalah Rasulullah s.a.w
sendiri. Baginda berkata-kata dengan Allah Yang Maha Tinggi,
“Engkau yang kami sembah dan Engkau jualah yang kami
minta pertolongan”. (Surah Fatihaah, ayat 4) .
Ayat suci ini ditafsirkan sebagai tanda manusia sempurna, yang
melewati atau melepasi dari menjadi kosong, hilang kepada
segala kebendaan, kepada suasana keesaan. Hati yang sempurna
demikian menerima rahmat yang besar daripada Ilahi. Satu
daripada rahmat itu dinyatakan oleh Nabi s.a.w,

” Nabi-nabi dan yang dikasihi Allah meneruskan ibadat
mereka di dalam kubur seperti yang mereka lakukan di
dalam rumah mereka ketika mereka hidup di dalam
dunia”.

Dalam lain perkataan kehidupan abadi hati meneruskan
penyerahan kepada Allah Yang Maha Tinggi.

Bila sembahyang tubuh badan dan sembahyang diri batin
berpadu, sembahyang itu lengkap, sempurna. Ganjarannya
besar. Ia membawa seseorang secara kerohanian kepada
kehampiran dengan Allah, dan secara zahir kepada peringkat
yang paling tinggi mampu dicapai. Dalam alam kenyataan
mereka menjadi hamba Allah yang taat. Suasana dalaman pula
mereka adalah orang arif yang memperolehi makrifat sebenar
tentang Allah. Jika sembahyang zahir tidak bersatu dengan
sembahyang batin, ia adalah kekurangan. Ganjarannya hanyalah
pada pangkat atau kedudukan, tidak membawa seseorang
hampir dengan Allah.

Tiada ulasan: