Menurut Kalam Hikmah ke 34
Al-Arifbillah
Syeikh Ahmad Ibnu Athaillah As
kandary:
“
JANGAN DILAMPAUI NIAT TUJUAN KAMU KEPADA SELAIN-NYA KERANA AL-KARIM TIDAK DAPAT
DILAMPAUI OLEH SEBARANG HARAPAN.”
Orang yang masih dalam perjalanan sangat
teringin untuk cepat sampai kepada Allah s.w.t. Dia terpesona melihat keadaan
orang-orang yang telah sampai. Kadang-kadang timbul rasa tidak sabar untuk ikut
sama sampai kepada tujuannya. Perasaan tidak sabar akan menimbulkan harapan
atau cita-cita agar ada seseorang yang dapat menolong mengangkatnya. Orang yang
diharapkan itu mungkin terdiri daripada mereka yang telah sampai atau mungkin
juga dia menaruh harapan kepada wali-wali ghaib dan malaikat-malaikat. Maksud
dan tujuannya tidak berubah, iaitu sampai kepada Allah s.w.t tetapi dalam
mencapai maksud itu sudah diselit dengan harapan kepada selain-Nya. Ini
bermakna sifat bertawakal dan berserah dirinya sudah bergoyang. Sebelum dia
terjatuh, Hikmat 38 ini menariknya supaya berpegang kepada al-Karim. Walau
kepada siapa pun diletakkan harapan namun, harapan dan orang berkenaan tetap
mencari al-Karim. Tidak ada harapan dan cita-cita yang dapat melepasi al-Karim.
Al-Karim adalah salah satu daripada
Asma-ul-Husna. Nama ini memberi pengertian istimewa tentang Allah s.w.t.
Al-Karim bermaksud:
1:
Allah s.w.t Maha Pemurah.
2:
Allah s.w.t memberi tanpa diminta.
3:
Allah s.w.t memberi sebelum diminta.
4:
Allah s.w.t memberi apabila diminta.
5:
Allah s.w.t memberi bukan kerana permintaan, tetapi cukup sekadar
harapan, cita-cita dan angan-angan hamba-hamba-Nya. Dia tidak mengecewakan
harapan mereka.
6:
Allah s.w.t memberi lebih baik daripada apa yang diminta dan diharapkan
oleh para hamba-Nya.
7:
Allah Yang Maha Pemurah tidak kedekut dalam pemberian-Nya. Tidak dikira
berapa banyak diberi-Nya dan kepada siapa Dia memberi.
8:
Paling penting, demi kebaikan hamba-Nya sendiri, Allah s.w.t memberi
dengan bijaksana, dengan cara yang paling baik, masa yang paling sesuai dan
paling bermanafaat kepada si hamba yang menerimanya.
Sekiranya para hamba mengenali al-Karim
nescaya permintaan, harapan dan angan-angan tidak tertuju kepada yang lain
melainkan kepada-Nya. Allah al-Karim menciptakan makhluk dengan kehendak-Nya
tanpa ada kaitan dengan sebarang permintaan, cita-cita atau harapan sesiapa
pun. Dia menentukan dan menetapkan hukum pada setiap kejadian-Nya dengan
kehendak-Nya juga. Dia menyediakan segala keperluan makhluk-Nya dan
mempermudahkan makhluk-Nya memperolehi rezeki masing-masing dengan kehendak-Nya
juga. Tidak ada sesuatu yang campur tangan dalam urusan-Nya membahagikan
kebaikan kepada makhluk-Nya.
Manusia terhijab memandang kepada
kemurahan al-Karim oleh sikap mereka sendiri. Mereka menerima sesuatu kebaikan
al-Karim sebagai perkara semulajadi sehingga mereka lupa perkara yang mereka
anggap sebagai semulajadi itu sebenarnya dijadikan, tidak ada sebarang
kebetulan pada urusan Tuhan. Tuhan mengatur sesuatu dengan rapi, kemas dan
sempurna, tiada sebarang kecacatan dan tidak ada kebetulan. Pergantian siang
dengan malam, perubahan cuaca, keberkesanan sistem sebab-akibat adalah kurniaan
al-Karim untuk manfaat makhluk-Nya, tanpa sesiapa meminta Dia berbuat demikian.
Sistem perjalanan darah, pernafasan, perkomahan, penghadhaman dan semua yang
ada dengan manusia adalah kurniaan al-Karim yang memberi tanpa diminta. Manusia
tidur malamnya dan dikejutkan oleh al-Karim pada siangnya tanpa diminta.
Al-Karim menaburkan ikan-ikan di laut sebagai makanan manusia tanpa diminta.
Al-Karim menurunkan hujan dan menyuburkan pokok-pokok tanpa diminta. Tidak
dapat dinilaikan betapa besar dan banyaknya nikmat yang disediakan oleh
al-Karim untuk makhluk-Nya tanpa mereka meminta. Makhluk berbangsa manusia
adalah yang paling banyak menikmati kemurahan al-Karim.
Makhluk yang tidak dibekalkan nafsu dan
akal tidak tahu meminta. Mereka menerima
apa sahaja yang al-Karim sediakan buat mereka. Manusia yang dibekalkan nafsu
dan akal selain menerima segala nikmat yang disediakan oleh al-Karim tanpa
mereka mengajukan permintaan, mereka juga mempunyai keinginan, harapan,
cita-cita dan angan-angan. Dalam banyak perkara yang mereka inginkan mereka
ajukan permintaan kepada Allah s.w.t. Allah al-Karim bukan sekadar memberi apa
yang diminta malah Dia memberi juga apa yang dicita-citakan, diharapkan dan
angankan.
Al-Quran mengingatkan manusia supaya
mengenang nikmat kebaikan dan kemurahan Allah al-Karim.
Maka yang mana satu di antara
nikmat-nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak
dustakan (wahai umat manusia dan jin)? ( Ayat 13 : Surah ar-Rahmaan )
Ayat di atas diulang sebanyak 31 kali dalam
satu surah sahaja iaitu surah ar-Rahman. Wahai bangsa jin dan bangsa manusia
yang dipikulkan tanggungjawab pengabdian kepada Allah s.w.t! Perhatikan nikmat,
rahmat, kasihan belas dan kasih sayang-Nya, yang mana satu yang mahu kalian
dustakan? Allah s.w.t menanyakan yang sama sebanyak 31 kali. Tiang Arasy
bergegar sekiranya Allah s.w.t ajukan pertanyaan ini kepada para malaikat yang
menanggung Arasy. Apakah tidak hancur hati kamu mendengar pertanyaan Tuhan ini?
Makhluk bangsa jin yang beriman menyambut pertanyaan Tuhan ini dengan jawapan:
Ya Tuhanku! Tidak ada sesuatu pun dari
kurnia Engkau, ya Rabbana, yang dapat kami dustakan.
Allah! Ar-Rahman! Al-Karim! Kepada siapa
lagi hendak kamu ajukan permintaan? Kepada siapa lagi hendak kamu sandarkan
harapan? Bukankah Dia telah berfirman:
Ia telah menetapkan atas diri-Nya memberi rahmat. ( Ayat 12 : Surah al-An’aam )
Contohilah sikap Nabi Ibrahim a.s yang
sentiasa bergantung kepada al-Karim dan tidak kepada yang lain. Beliau a.s
menolak pertolongan yang ditawarkan oleh malaikat Jibrail a.s. Beliau a.s yakin
bahawa Allah al-Karim tidak akan membiarkannya. Penyerahan Nabi Ibrahim a.s
kepada al-Karim tidak sia-sia.
Kami berfirman: “Hai api, jadilah engkau
sejuk serta selamat sejahtera atas Ibrahim!”. ( Ayat 69 : Surah Anbiyaa’ )
Allah s.w.t, al-Karim, menerima
penyerahan penuh Nabi Ibrahim a.s dan Dia melindungi hamba-Nya yang bertawakal
itu.
Berkata pula seorang yang mempunyai ilmu
pengetahuan dari kitab Allah: “Aku akan membawanya kepadamu dalam sekelip
mata!” Setelah Nabi Sulaiman melihat
singgahsana itu terletak di sisinya, berkatalah ia: “Ini ialah dari limpah
kurnia Tuhanku, untuk mengujiku adakah aku bersyukur atau aku tidak
mengenangkan nikmat pemberian-Nya. Dan (sebenarnya) sesiapa yang bersyukur maka
faedah syukurnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri, dan sesiapa
yang tidak bersyukur (maka tidak menjadi masalah kepada Allah), kerana
sesungguhnya Tuhanku Maha Kaya, lagi Maha Pemurah”. ( Ayat 40 : Surah an-Naml )
Al-Karim yang menyejukkan api dari
membakar Nabi Ibrahim a.s, Dia jugalah yang membawa Balkis dan istananya kepada
Nabi Sulaiman a.s. Kurniaan Al-Karim tidak dapat diukur dan disukat. Dia memberi
terlalu banyak kerana Dia sangat Pemurah.
Wahai Tuhan kami. Walau bagaimana banyak
sekalipun kami menyebut kebaikan Engkau namun ia tetap tidak mencukupi.
Ampunilah kami lantaran kelemahan kami menyatakan syukur yang selayaknya kepada
Engkau.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan