Catatan Popular

Selasa, 12 Februari 2013

HIKAM ATAILLAH KE 23 (SYARAH TO’KU LI): HALANGAN BUKAN TABIR UNTUK BERMURAQABAH



 Menurut Kalam Hikmah ke 23 , Imam Ibnu Athaillah Askandary
Jangan menunggu halangan terhenti lantaran yang demikian itu akan menyingkirkan anda daripada bermuraqabah ( mengintai-intai ) terhadap kebesaran Allah sehingga anda buntu termangu berdepan dengan halangan yang ditimpakan ke atas anda
  • Muraqabah yang dimaksudkan di sini ialah mentahqiqkan atau meyakinkan hati melalui penilikan terhadap haq Allah secara zahir dan batin ke atas segala makhluknya atau disebut sebagai pengkajian fenomena tabii.
  • Muraqabah juga bermakna memandang kepada hakikat taqdir Allah serta tidak bergantung kepada tadbir.Justeru itu senangkan dan tenangkan hati anda daripada pergantungan kepada selain Allah serta jangan merasa kesal dengan segala ujian dan bala` yang ditimpakan olehNya.
  • Sehubungan ini jangan kiranya halangan,fitnah,mehnah dan kurbah menjadi sebenar-benar halangan untuk beramal,menjalani jalan Allah dan bermujahadah.Sebaliknya biarlah kesemua itu menjadi baja dan air yang menyubur dan menyirami ruh al-jihad,ruh al-amal dan ruh al-Ithar. Berita kesyahidan para sahabat Rasulullah SAW yang terkandung dalam surah al-Ankabut ayat 2-3 telah memarakkan daya juang dan daya amal mereka.Firman Allah SWT : 
Mafhumnya : Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : Kami beriman sedangkan mereka tidak diuji dengan sesuatu fitnah ? Dan demi sesungguhnya ! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka,maka dengan ujian-ujian demikian,nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman,dan nyata pula yang diketahuiNya tentang orang-orang yang berdusta.
  • Masa dan haq adalah anugerah Allah yang dibataskan ke atas hamba-hambaNya.Lantaran itu pengisian masa dan penunaian haq adalah peluang keemasan untuk manusia mengambilnya dan merebutnya.Apabila hari ini dan esuk telah menjadi kelmarin maka penyesalan tidak berguna.Waktu yang diberi itu kadang-kadang berada dipenghujung kesempatan.Renungkanlah firman Allah di dalam surah al-Asr yang dibahaskan oleh Imam al-Tabari di dalam Tarikh al-Umam wal Muluk nya sebagai waktu sore yang menghampiri kegelapan malam.Asy-Syahid Sayyid Qutub di dalam Tafsir Fi Zilal al-Quran nya ( Tafsir ayat akhir Surah al-Munafiqun ) melihat masa dan haq sebagai fursah atau kesempatan yang perlu direbut dan dibubut.
  • Jangan tunggu haq al-waqt ( peluang masa ) yang dikurniakan pada hari ini sehingga hari esuk.Itu adalah penantian yang membinasakan lantaran Allah tidak menangguhkan masa apabila telah tiba ajalnya.
Abu Hafs r.a. menyatakan ; 
Ertinya : Hamba Allah yang merasa kerdil di hadapan Allah sentiasa berada dalam setiap masa yang ditetapkan serta mengisi kewajipan menurut hokum waktu.Justeru itu apabila dia berdepan dengan kebimbangan dan kegawatan masa,dia amat risau lantas hokum waktu tetap dipeliharanya dengan penuh ketaqwaan.
Sehubungan ini Sahl bin Abdullah r.a. menyarankan :
Mafhumnya : Apabila malam hari telah menjenguk anda,maka janganlah anda fikirkan siang harinya,sehinggalah anda memanfa’atkan malam anda itu.Hendaklah anda menunaikan haq Allah pada malam itu,dan sewajarnya anda membetulkan diri anda dengan bermuhasabah pada malam itu.Apabila anda didatangi pagi hari situasi anda hendaklah sebagaimana anda di malam tadi.
Abu Hafs merumuskan pendirian golongan ‘arifin tentang haq al-waqt :
Maksudnya : Bilakah masanya seorang faqir yang menjalani jalan Allah boleh berehat dan damai ? Jawab Hafs : Apabila dia tidak lagi melihat masa selain hanya masa yang dia berada di dalamnya.

Tiada ulasan: