Catatan Popular

Khamis, 22 Ogos 2019

SIRRUL ASRAR : BAB 25 PENGIKUT - PENGIKUT JALAN KEROHANIAN

Orang-orang yang mengikuti jalan kerohanian terbahagi kepada
dua bahagian atau golongan.
Golongan pertama ialah yang termasuk ke dalam
kumpulan Sunnis; mereka yang mengikuti peraturan
Quran dan amalan serta peraturan yang berasal daripada
kelakuan dan perbuatan Rasulullah s.a.w. Mereka ikuti
peraturan ini dalam perkataan, perbuatan, pemikiran dan
perasaan, dan mereka mengikuti maksud batin agama – iaitu
mereka mengerti bukan ikut secara taklid buta. Mereka beramal
dan hidup menurut peraturan agama, merasainya dan
menikmatinya, bukan semata-mata menanggung sesuatu yang
dipaksakan ke atas mereka. Inilah jalan kerohanian yang mereka
ikut. Inilah persaudaraan hamba-hamba Allah yang berkasih
sayang. Sebahagian daripada mereka dijanjikan syurga tanpa
hisab, yang lain akan menderita sedikit azab hari kiamat dan
kemudian masuk syurga. Namun ada juga sebahagian yang
memasuki neraka beberapa ketika yang singkat untuk
menyucikannya daripada dosa sebelum masuk syurga. Tiada
yang akan kekal di dalam neraka. Yang akan kekal di dalam
neraka ialah orang kafir dan munafik.

Golongan kedua terdiri daripada kumpulan-kumpulan yang
bidaah. Nabi s.a.w telah memberi peringatan ,
“ Kamu, seperti Bani Israil sebelum kamu, seperti umat
Isa anak Maryam, akan dibahagikan dan dipisahkan di
antara satu sama lain. Sebagaimana mereka mereka-reka
dan mengubah-ubah, kamu juga akan mengadakan
bidaah. Dengan masa berlalu dalam bidaah, tentangan dan
dosa, kamu akan jadi seperti mereka dan berbuat yang
sama. Jika mereka masuk ke dalam lubang ular yang
berbisa kamu juga akan mengikuti mereka. Kamu patut
tahu Bani Israil berpecah kepada tujuh puluh satu
kumpulan. Kesemuanya dalam kesesatan kecuali satu. Dan
orang Nasrani berpecah kepada tujuh puluh dua
kumpulan, dan semuanya sesat kecuali satu. Aku bimbang
umatku akan dipecahkan kepada tujuh puluh tiga
kumpulan. Ini terjadi kerana mereka mengubah yang
benar kepada yang salah dan yang haram kepada yang
halal menurut pertimbangan mereka sendiri, untuk
muslihat dan keuntungan mereka, kecuali satu, semua
kumpulan itu akan ke neraka, dan kumpulan yang satu itu
akan selamat.”

Bila ditanya siapakah yang satu diselamatkan itu baginda
bersabda,
“Mereka yang mengikuti kepercayaan dan perbuatanku
serta para sahabatku”.
Di bawah ini dinyatakan sebahagian daripada jalan bidaah yang
dipegang dan diikuti oleh orang-orang yang mengakui diri
mereka orang kerohanian:
• Hululiyya – percaya kepada penjelmaan dalam bentuk
makhluk atau manusia, mendakwa halal melihat tubuh dan wajah
yang cantik, samada perempuan atau lelaki, siapa sahaja
samada isteri-isteri atau suami-suami, anak-anak perempuan
atau saudara-saudara perempuan orang lain. Mereka juga
bercampur dan menari bersama-sama. Ini jelas bertentangan
dengan peraturan Islam dan menjaga kesucian dan kehormatan
di dalam peraturan tersebut.

• Haliyya – mencari kerasukan zauk dengan cara menari,
menyanyi, menjerit dan bertepuk tangan. Mereka mendakwa
syeikh mereka berada dalam suasana yang mengatasi batasan
hukum agama. Jelas sekali mereka terpesung jauh daripada
perjalanan Nabi s.a.w yang dalam tindak tanduk mematuhi
hukum agama.
• Awliya’iyya – mendakwa mereka berada dalam kehampiran
dengan Allah dan mengatakan bila hamba hampir dengan Tuhan
semua kewajipan agama terangkat daripada mereka. Seterusnya
mereka mendakwa seorang wali, orang yang hampir dengan
Allah, menjadi sahabat akrab-Nya, mempunyai kedudukan yang
lebih tinggi daripada nabi. Mereka mengatakan ilmu sampai
kepada Rasulullah s.a.w melalui Jibrail sementara wali menerima
ilmu secara langsung dari Tuhan. Pandangan salah tentang
suasana mereka dan apa yang mereka sifatkan kepada diri
mereka adalah dosa mereka yang paling besar yang membawa
mereka kepada bidaah dan kekufuran.
• Syamuraniyya – percaya dunia ini kekal abadi, dan sesiapa
yang mengucapkan perkataan abadi akan terlepas daripada
tuntutan agama, lagi mereka tidak ada hukum halal dan haram.
Mereka menggunakan alat musik dalam upacara ibadat mereka.
Mereka tidak memisahkan lelaki dengan perempuan. Mereka
tidak membezakan dua jantina itu. Mereka adalah kumpulan kafir
yang tidak boleh diperbetulkan lagi.
• Hubiyya – mengatakan bila manusia sampai ke peringkat
cinta mereka bebas daripada semua kewajipan agama. Mereka
tidak menutup kemaluan mereka.
• Huriyya – seperti Haliyya, enggan menjerit, menyanyi, menari
dan bertepuk tangan, mereka menjadi kerasukan dan di dalam
suasana kerasukan itu mereka mendakwa mengadakan
hubungan jenis dengan bidadari; bila keluar dari kerasukan
mereka mandi junub. Mereka dimusnahkan oleh pembohongan
mereka sendiri.
• Ibahiyya – enggan mengajak kepada kebaikan dan melarang
kemungkaran. Mereka menghukumkan haram sebagai halal.
Mereka memahatkan pendapat ini kepada kaum perempuan. Bagi
mereka semua perempuan halal bagi semua lelaki.
• Mutakasiliyya – menjadikan prinsip kemalasan dan meminta
sedekah dari rumah ke rumah sebagai cara mendapatkan
keperluan harian mereka. Mereka mendakwa telah meninggalkan
segala hal ehwal dunia. Mereka gagal dan terus gagal di dalam
kemalasan mereka.
• Mutajahiliyya – berpura-pura jahil dan dengan sengaja
berpakaian tidak sopan, cuba menunjukkan dan berkelakuan
seperti orang kafir, sedangkan Allah berfirman,
“Jangan cenderung kepada yang berbuat dosa”. (Surah
Hud, ayat 113) .
Nabi s.a.w bersabda,
“Sesiapa yang cuba berlagak seperti satu kaum dia
dianggap salah seorang dari mereka”.
• Wafiqiyya – mendakwa hanya Allah yang boleh kenal Allah.
Jadi, mereka membuang jalan kebenaran. Kejahilan yang
disengajakan membawa mereka kepada kemusnahan.
• Ilhamiyya – berpegang dan mengharapkan kepada ilham,
meninggalkan ilmu pengetahuan, melarang belajar, dan berkata
Quran adalah hijab bagi mereka, dan fikiran puisi adalah Quran
mereka. Mereka meninggalkan Quran dan sembahyang,
sebaliknya mengajarkan anak-anak mereka puisi.
Pemimpin-pemimpin dan guru-guru dari kumpulan Sunni
mengatakan para sahabat, dengan berkat kehadiran Rasulullah
s.a.w di tengah-tengah mereka, berada dalam suasana zauk dan
keghairahan kerohanian yang sangat tinggi. Pada zaman
kemudian peringkat kerohanian yang demikian tidak tercapai lagi
oleh orang ramai dan ia menjadi semakin hilang. Yang masih
tinggal diturunkan kepada pewaris-pewaris kerohanian pada jalan
kebenaran Ilahi, yang kemudiannya terbahagi kepada banyak
cabang-cabang. Ia berpecah kepada terlalu banyak kumpulan
sehingga kebijaksanaan dan tenaganya menjadi sangat
berkurangan dan berselerak. Dalam banyak kes segala yang
tinggal hanyalah rupa yang dibaluti oleh pakaian guru kerohanian
tanpa sebarang makna, kekuatan dan tenaga di bawah pakaian
tersebut. Walaupun dalam suasana kosong itu ia masih juga
berpecah dan berganda, bertukar menjadi bidaah. Sebahagian
menjadi Qalandari – peminta sedekah yang mengembara. Yang
lain menjadi Haydari dan berpura-pura menjadi wira. Yang lain
pula menamakan diri mereka Adhami dan berpura-pura
mengikuti wali Allah Ibrahim Adham yang meninggalkan takhta
kerajaan dunia ini. Masih ramai lagi yang lain.

Dalam zaman kita mereka yang mengikuti jalan kebenaran
sesuai dengan hukum agama menjadi semakin berkurangan.
Pengikut-pengikut yang benar pada jalan ini boleh dikenali
melalui dua kenyataan.

Pertama, kenyataan zahir, yang menunjukkan keadaan
kehidupan harian mereka yang dibentengi oleh hukum dan
amalan agama. Kedua kenyataan dalaman, contoh teladan yang
si pencari itu ikuti dan lahirkan dan dengan apa yang dia
dibimbingkan. Sesungguhnya tiada yang lain untuk diikuti
melainkan Nabi Muhamamd s.a.w, yang menjadi teladan, yang
pada satu masa dahulu baginda sendiri berada dalam suasana
mencari dan kebenaranlah yang baginda cari. Tanpa ragu-ragu
roh suci baginda sahaja yang menjadi perantaraan. Itulah
undang-undang yang mesti dipatuhi oleh orang yang beriman
bagi penerusan kehidupan agama dalam kehidupan. Cara lain,
wali yang memiliki pesaka kerohanian Nabi s.a.w boleh
memberkati si pencari dengan kewujudan kebendaannya.
Sesungguhnya syaitan tidak boleh mengambil rupa Nabi s.a.w.
Waspadalah wahai pengembara pada jalan kerohanian, orang
buta tidak boleh memimpin orang buta. Perhatian kamu mesti
bersungguh-sungguh agar kamu dapat membezakan kebaikan
yang paling kecil daripada kejahatan yang paling kecil

Tiada ulasan: