Disebalik dari apa yang dihadapi oleh
Da`wud al-Ta`i, ialah apa yang dihadapi oleh Abu `Ali Shaqiq bin Ibrahim al-Balkhi (m.139H.).
Shaqiq al-Balkhi adalah seorang berada
dan giat berniaga sehingga ke Turki (Rum). Dalam pemergiannya ke Rum dia amat
terkesan dan keciwa, terhadap golongan yang memperhambakan diri terhadap
berhala yang dibuat dengan tangan sendiri. Selain dari rasa keinsafan terhadap
perhambaan manusia kepada berhala, dia juga amat terkesan dan mempunyai rasa kemanusiaan yang tinggi,
iaitu kasihan terhadap golongan yang miskin dan papa kedana dan hidup merempat.
Kedudukannya sebagai orang berada dia
menumpukan perhatian pada menyedarkan manusia terhadap mengesakan Tuhan dan
menyembah tidak lain daripadaNya. Ianya tidak lain daripada berdakwah dan
mendidik manusia dengan didikan keislaman, manakala dari segi kemiskinan tidak lain dari membantu
mereka dari segi kewangan dengan bersadaqah dan mewaqafkan sebagaian daripada harta
kepada badan-badan yang menjalankan kegiatan membantu mereka dan memberi
peluang bagi mereka mendapat pekerjaan.
Apa yang berlaku kepada Da`wud al-Ta`i
dan Shaqiq al-Balakh adalah releven dengan suasana semasa di dalam kehidupan
moden kini. Misalnya masalah kemiskinan dan menyediakan peluang belajar bagi anak-anak terutama mereka yang dari
kalangan miskin adalah menjadi tugas pemerintah.
Tentulah pada zaman moden ini melalui
institusi-institusi pengajian yang disediakan oleh kerajaan, bahkan di dalam
pemerintahan peruntukan yang besar perlu diperuntukkan bagi mendidik
masayarakat di dalam pelajaran dari peringkat rendah hinggalah kepada peringkat
menengah dan kepada peringkat universiti, lantaran memberi pelajaran adalah
faktor penting yang dapat mengangkat masyarakat dan menjadikan mereka kalangan
yang berilmu.
Sebagaimana peluang ekonomi dan pekerjaan
wajar disediakan, maka dengan masyarakat yang berpelajaran adalah lebih mudah
bagi menggerakkan kemajuan bagi masyarakat dan negara sendiri. Sebagaimana
dikatakan oleh Da`wud al-Ta`i, bahawa tugas dan tanggungjawab yang penting dan
berat bagi kalangan ilmuan ialah mengamalkan ilmu yang dipelajari.
Jika kesedaran demikian ada di kalangan
ilmuan, iaitu berusaha memperkembangkan keilmuan yang dimiliki, maka makin
mudahlah maju masyarakat, apa lagi jika galakan dan infra-struktur disediakan
kepada golongan berkenaan ditambah dengan inisiatif yang tinggi yang ada di
kalangan mereka..
Kemajuan tentulah lebih tinggi, jika ada
kalangan yang kaya, seperti kesedaran yang timbul dari Shaqiq al-Balakhi
bersama ilmuan mengambil inisiatif bagi meningkatkan keilmuan masyarakat,
mengangkat mereka dari jahil kepada kesedaran keilmuan yang tinggi.
Adalah kesedaran berkenaan lebih murni, bahawa walau bagaimana digerakkan
masyarakat ke arah kemajuan, tetapi sudah pasti ada yang ketinggalan,
disebabkan oleh halangan-halangan tertentu, mereka tetap terbelenggu dengan
kemiskinan, maka dengan kekayaan yang ada dan keinsafan dan kemanusiaan yang
tinggi masyarakat yang kurang bernasib baik ini tetap dibela dengan berbagai
cara, sehingga mereka tidak tertinggal jauh ke belakang.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan