Seorang hamba Allah, tanpa mengetahui siapa Imam
Ibrahim Adham, telah menggaji Ibrahim untuk menjaga kebunnya. Satu hari,
tuannya itu menyuruh Ibrahim memetik buah delima yang manis. Ibrahim pun
mengambil beberapa buah tetapi semuanya masam. Oleh itu, tuannya itu pun
berkata,
"Kamu telah berbulan-bulan bekerja di kebunku
tetapi kamu tidak juga tahu membezakan mana buah manis dan mana buah
masam."
Ibrahim menjawab,
“Aku hanya digaji untuk menjaga buah-buahan itu,
bukan untuk merasainya."
Tuan kebun itu berkata,
“Jadi, kamu ini pasti Ibrahim Adham?"
Ibrahim pun tidak menjawab dan menghilang dari situ.
Nota admin: Salah satu sifat kewalian ialah amanah
dan takwa. Amanah juga salah satu sifat wajib bagi para nabi. Maka tidak
hairanlah jika para wali ini pewaris para nabi kerana merekalah yang mewarisi
sifat ini dan sebarkan ia di atas muka bumi, wujud mereka akan mengekalkan
kewujudan sifat ini juga. Betapa ramai orang yang "beragama" atau
"orang berilmu" yang tidak amanah di dunia ini seperti
menyalahgunakan harta wakaf ataupun menggunakan harta yang bukan miliknya untuk
kegunaan peribadi dan ia dianggap "halal" pula seperti menggunakan
telefon pejabat untuk panggilan peribadi (jika tiada syarat bertulis atau lisan
yang ia boleh digunakan untuk peribadi).
Dan sekiranya orang yang dianggap beragama pun
bersifat demikian, maka orang awam dan orang biasa pula lebih berpuluh kali
ganda dahsyat kerosakan yang berlaku ke atas mereka. Berapa ramai pekerja
pejabat yang curi tulang. Waktu pejabat mereka keluar minum. Claim resit secara
tipu, gunakan barang pejabat atau kerajaan untuk kegunaan peribadi dan
lain-lain aktiviti haram yang sering dianggap "halal". Yang dianggap
"haram" hanyalah jenayah besar seperti rasuah, gelapkan wang
syarikat, penipuan dan lain-lain. Ini satu kerosakan yang besar!
Tiada ulasan:
Catat Ulasan