Telah menjadi kebiasaan Imam Al-Syibli membawa seikat
kayu ke bilik tempat ibadatnya. Beliau akan memukul dirinya apabila sahaja
fikiran-fikiran yang dipengaruhi oleh hawa nafsu datang menyelinap ke dalam
khayalannya.
Apabila beliau keluar dari tempat ibadatnya itu, maka
terlihatlah semua kayu-kayu itu telah habis patah. Apabila tidak ada kayu untuk
dipatahkan lagi, beliau akan memukul tubuhnya ke dinding untuk mengawal fikirannya
dari memberontak.
Beliau enggan bertemu dengan siapa pun jika sedang
berada di biliknya itu.
Rujukan: Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin
Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press.
Nota admin: Kisah sebegini banyak sekali diriwayatkan
berlaku kepada para wali Allah. Sebelum mereka mencapai kewalian, mereka
melakukan pengorbanan yang begitu dahsyat untuk menjinakkan nafsu mereka kerana
mereka bukan nabi yang disinari Nur nubuwah sehingga tidak perlu kepada latihan
sebegini. Mereka juga bukan para sahabat nabi dimana nabi yang agung berada di
kalangan mereka sehingga Nur nubuwah itu juga terpancar ke dalam hati mereka
sehingga darjat mereka menjadi semulia-mulia manusia hanya dengan sesaat
bertemu Rasulullah atau sekilas pandangan kepada sang Rasul .
Para ulama bersepakat bahawa serendah-rendah darjat
para Sahabat Rasulullah, adalah lebih tinggi daripada darjat setinggi-tinggi
wali yang bukan di kalangan sahabat. Kerana para sahabat nabi dikurniakan
sekurang-kurangnya "sesaat" untuk bersama nabi. Manakala
setinggi-tinggi darjat wali yang bukan sahabat pula tidak diberi nikmat itu.
Maka "sesaat" menjadi sahabat Rasul, adalah
lebih baik dari seluruh dunia dan akhirat seorang yang bukan sahabat.
Maka jika ada yang mengatakan "mengapa para wali
begitu ekstrim dalam beribadah dan melawan nafsu sedangkan perkara itu jika
baik, tentulah akan dilakukan terlebih dahulu oleh para sahabat nabi",
maka jawapannya adalah seperti di atas.
Kita manusia biasa, bukan nabi, bukan pula sahabat.
Darjat manusia biasa dengan nabi dan para sahabat sangat berbeza. 2 rakaat
solat sunat sahabat nabi, darjatnya berganda lebih tinggi di sisi Allah
berbanding 2 rakaat solat sunat yang dilakukan oleh jutaan umat Islam pada hari
ini. Maka tidak ada keperluan untuk para sahabat berlaku "ekstrim"
terhadap ibadat mereka kerana ibadat biasa mereka sahaja tidak ada seorang wali
pun berjaya capai darjatnya.
Maka para wali yang bukan sahabat akan sering
melakukan amalan yang ekstrim dengan harapan mereka dapat bersama nabi dan para
sahabat di syurga kelak.
Ia umpama terdapat sekumpulan genius dari sebuah
universiti dan ada pula sekumpulan kecil pelajar sekolah rendah yang ingin
bersama genius tersebut. Namun disebabkan mereka masih kecil dan berbeza dari
segala segi, mereka tidak mampu mencapai darjat para genius di universiti
tersebut. Tetapi oleh kerana mereka sangat ingin untuk dikumpulkan bersama
genius tersebut, maka mereka pun mula belajar secara ekstrim melebihi pelajar
sekolah rendah yang lain sehingga ramai menganggap mereka ini gila.
Tidak ada misalan yang dapat kami fikirkan sejelas
ini dan jika Allah berkehendak, Allah akan beri kefahaman tanpa perlu misalan
pun. Tetapi jika Allah menghijab, maka sejuta misal pun tetap tidak akan
difahami.
Semoga Allah beri kita faham sepertimana yang Dia
sendiri kehendaki sesuatu itu difahami, bukan yang kita kehendaki sesuatu itu
difahami.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan