Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

IMAM ABDULLAH BIN MUBARAK MEMPERHAMBAKAN WALI ALLAH SEHINGGA BELIAU SENDIRI MENJADI WALI


Abdullah bin Mubarak merupakan seorang wali Allah yang mahsyur.

Sebelum menjadi sufi, beliau ialah seorang kaya. Beliau ini ada mempunyai hamba. Beliau berjanji akan membebaskan hamba ini jika dia dibayar seratus dinar (Nilai pada hari ini lebih kurang RM70,000). Hamba itu pun membayarnya beransur-ansur tiap-tiap hari.

Satu hari sahabat Abdullah memberitahu beliau,

"Hambamu itu pergi ke kubur tiap-tiap hari mencuri kain kapan dan menjualnya ke pasar. Dari hasil jualan itu dibayarnya kepada tuan."

Beliau sangat marah dan satu malam pergilah ia ke kubur mengintai apakah benar yang dikatakan oleh sahabatnya itu. Di sana dilihatnya hamba itu memakai kain yang kasar dan gelang besi di lehernya. Hamba itu masuk ke dalam kubur dan menangis merayu dan berdoa sehingga pagi. Kemudian pergi ke masjid.

Abdullah menurut hamba itu tanpa diketahuinya. Hamba itu berdoa,

"Oh Tuhan! Tidak lama lagi saya akan membayar pendapatan harianku kepada tuan badanku ini.”

Tiba-tiba satu cahaya datang hampir dengannya. Cahaya itu datang ke tapak tangannya dan menjadi wang. Semasa beliau hendak bangun pergi mengirim wang itu kepada Abdullah, maka Abdullah pun keluar dari tempat sembunyinya dan memanggil hambanya itu, lalu berkata,

“Dari hari ini marilah kita bertukar. Engkau jadi tuan dan aku jadi hamba."

Hamba itu pun lalu berdoa dan berkata,

"Sekarang rahsia telah terbuka, saya tidak mahu hidup lagi."

Dengan serta-merta hamba itu pun meninggal dunia. Beliau pun dikebumikan oleh tuannya dengan pakaian yang kasar itu.

Pada malam itu, Abdullah bermimpi Nabi Muhammad SAW dan lain-lain aulia datang bertemu dengannya, lalu berkata yang bermaksud,

"Abdullah bin Al-Mubarak, adakah patut kamu kebumikan orang yang kami kasihi dengan pakaian kasar itu?"

Akibat daripada peristiwa inilah dikatakan Abdullah pun bertaubat dan mula menjalani hidup sebagai sufi sehingga mahsyur namanya hingga ke hari ini sebagai salah seorang wali Allah yang besar dan tinggi martabatnya.
Wallahualam.

Tiada ulasan: