Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

IMAM ABI ISHAQ IBRAHIM BIN SYAHARYAR SYAIBANI MEMBERI PENGAJARAN KEPADA ULAMA YANG HASAD KEPADANYA

Satu hari Syeikh Ishaq sedang memberi syarahan. Di antara orang ramai yang hadir itu ada seorang guru yang alim. Guru ini memandang bahawa Syeikh Ishaq bukanlah alim benar dan beliau hanya menunjuk-nunjuk (riak). Penyakit hati seperti ini tersangatlah umum dikalangan alim ulama dan ia merupakan ujian Allah buat mereka.

Pada pandangan orang alim itu, Syeikh Ishaq adalah seorang sufi palsu dan tidak mempunyai ilmu yang mantap sepertinya (mungkin Syeikh Ishaq hanyalah orang Soleh yang bukan dari kalangan alim ulama -admin). Tetapi orang menghargai syarahan beliau dan menghormati beliau. Bagaimana ini?

Dengan izin Allah, Syeikh Ishaq dapat membaca fikirannya (karomah atau kasyaf yang Allah kurniakan kepada beliau- admin) dan menunjuk kepada lilin (kandil) yang terpasang di hadapannya. Kandil ini ialah sebuah mangkuk kaca yang diisi air. Atas air itu dibubuh lapisan minyak. Di atas minyak ini dibubuh sumbu. Inilah yang digunakan sebagai lampu pada zaman itu.

Syeikh Ishaq berkata kepada lampu atau kandil itu (dan didengari oleh guru alim tersebut),

"Saya baru sahaja mendengar percakapan antara air dengan minyak. Kata air kepada minyak, 'Akulah makhluk yang paling berguna sekali dalam dunia ini. Jika aku tidak dijadikan, semua orang akan mati kehausan. Tapi kamu tidak ada sifat seperti aku itu. Kenapa pula kamu duduk di atas kepalaku?"

Minyak menjawab, “Memang benar kamu mulia dan aku hina. Namun, kamu sangat sombong dengan sifatmu itu. Pandanglah dahulu leluhurku (asal kedatanganku). Mula-mula aku sebagai biji benih dalam tanah. Kemudian aku tumbuh sebagai pokok. Pokok itu ditebang dan diperah. Dan sekarang aku membakar diriku untuk menerangi orang lain. Walaupun begitu aku tidak peduli derita yang aku tanggung kerana ia untuk faedah orang ramai. Oleh itu, Tuhan yang maha pengasih telah memberi kurnia kepadaku dengan kemuliaan yang kamu rungutkan itu'."

Mendengarkan itu orang alim itu pun malu dan dengan izin Allah beliau sangat terkesan dengan kata-kata Syeikh Ishaq yang penuh dengan Nur kerohanian. Maka terdetiklah perasaan dalam hatinya untuk berasa malu dan ingin taubat. Beliau terus menjatuhkan dirinya kepada kaki Syeikh Ishaq dan meminta maaf kerana dengkinya terhadap Syeikh Ishaq itu.

Nota: Air itu umpama orang alim tersebut yang tidak ada sesiapa pun mampu menyangkal fakta bahawa kewujudan mereka adalah sangat penting dan tanpa mereka agama akan mati. Seperti itu lah bumi akan mati, manusia akan mati, haiwan akan mati jika tanpa air. Namun minyak diletakkan di tempat yang lebih tinggi di dalam kandil tersebut walaupun pada faktanya minyak tidaklah begitu berguna kepada dunia, tidak termasuk dalam keperluan asas, tidak mati manusia dan haiwan tanpanya. Maka air merasa cemburu dan dengki, kenapa dia tidak dimuliakan selayaknya berbanding minyak yang lebih hina?

Inilah sifat Iblis yang menyebabkan dia menjadi Iblis dan Allah menguji para alim ulama dengan sifat ini dan memasukkan ke neraka mereka yang gagal dan meninggikan darjat mereka yang lulus. Iblis juga asalnya adalah alim ulama dan ahli ibadat yang hebat namun dilaknat Allah kerana sifat "aku lebih baik dari dia".

Maka dalam kisah ini, mengapa minyak lebih dimuliakan dalam kandil tersebut (kandil diumpamakan agama kerana ia mengeluarkan cahaya) adalah kerana pengorbanan dan susah payah minyak tersebut yang menjalani pelbagai kesakitan dan kesengsaraan sebelum di bergelar "minyak".

Maka itulah jawapan buat guru alim tersebut mengapa Syeikh Ishaq dimuliakan Allah melebihi dirinya yang alim, iaitu kerana Syeikh Ishaq telah mengalami kesengsaraan dan kesusahan yang dahsyat dalam perjalanan kerohaniannya menuju makrifatullah. Biasanya orang sufi akan diuji dengan kemiskinan, fitnah harta, fitnah wanita, fitnah pangkat, difitnah sebagai gila, palsu, suka menunjuk, dimusuhi oleh orang yang cemburu apabila mereka dimuliakan makhluk Allah dan pelbagai lagi kesakitan.

Oleh sebab itu, walaupun Syeikh Ishaq tidak mempunyai ilmu setinggi guru alim tadi, tapi kedudukannya di sisi Allah adalah lebih mulia kerana musibah dan ujian yang dikurniakan lalu beliau bersabar redha, tidak sangka buruk, tidak memusuhi, mendoakan kebaikan buat semua termasuk yang membenci, menggangu, memfitnah dan menzaliminya dan lain-lain ujian hati yang sangat sukar dilakukan oleh orang biasa yang tidak biasa dengan dunia kerohanian. Seperti memaafkan, tersenyum dan melayan dengan baik kepada seseorang yang meludahi wajah kita tanpa sebab. Perkara itu sangat sukar dilakukan oleh orang biasa bahkan sukar dilakukan oleh orang yang tinggi ilmu sekalipun kerana sifat itu bukan dikurniakan kepada orang alim atau kepada ahli ibadat, tapi ia dikurniakan kepada ahli hati (para sufi yang sentiasa menjaga hati).

Tiada ulasan: