Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

DUA KEHENDAK TIDAK BOLEH BERADA DALAM SATU HATI


Pada suatu masa Rabi'atul-'adawiyyah berpuasa selama lapan hari. Pada hari terakhir, beliau merasa lapar sedikit. Datang seorang hamba Allah membawa minuman yang manis dalam sebuah cawan. Rabi'atul'adawiyyah ambil minuman itu dan meletakkannya di atas lantai di satu penjuru rumahnya itu.

Beliau pun pergi hendak memasang pelita. Tiba-tiba datang seekor kucing lalu menumpahkan minuman dalam cawan itu. Melihat itu, terfikirlah Rabi'atul-'adawiyyah hendak minum air kosong sahaja untuk malam itu.

Tatkala ia hendak mencari bekas air (tempayan), pelita tiba-tiba ditiup angin dan ia pun terpadam. Bekas air itu jatuh kerana beliau tidak dapat melihat dengan jelas dan pecah. Airnya tumpah bertaburan di atas lantai. Beliau terduduk.

Rabi'atul'adawiyyah pun mengeluh sambil berkata,

"Tuhanku! Kenapa kau lakukan begini padaku?"

Terdengar suara ilham berkata,

"Rabi'atul-'adawiyyah, jika kamu hendakkan kurnia dunia, Aku boleh berikan padamu, tetapi Aku akan menarik balik darimu seksaan dan kesakitan yang Aku beri padamu. Kurnia dunia dan seksaan Aku tidak boleh duduk bersama-sama dalam satu hati."

"Wahai Rabi'atul-'adawiyyah! kamu hendak satu perkara dan Aku hendak satu perkara lain. Dua kehendak yang berlainan tidak boleh duduk bersama dalam satu hati."

Dengan serta merta beliau terasa seperti bayu lembut menghentam hatinya dan membuatnya sangat tenteram. Beliau pun membuangkan kehendak kepada keperluan hidup ini, seperti orang yang tidak berkehendakkan lagi perkara-perkara dunia ini semasa nyawa hendak bercerai dengan badan.

Tiap-tiap pagi beliau berdoa,

"Ya Allah ! Penuhilah masaku dengan menyembah dan mengingatMu agar orang lain tidak mengajakku dan menyibukkan aku dengan kerja-kerja lain."

Rujukan: Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press.

Nota admin: Seperti yang telah diterangkan sebelum ini, musibah merupakan satu "hadiah" buat para nabi dan solihin termasuk para wali. Maka kefahaman orang Soleh tentang musibah jauh berbeza dengan kefahaman orang awam.

Orang awam menganggap musibah itu satu kecelakaan dan akan sentiasa merungut dan memaki hamun takdir serta menyalahkan semua di sekeliling kecuali dirinya.

Manakala para wali pula apabila berlaku musibah mereka akan bergembira kerana mereka telah menyerahkan diri mereka kepada Allah dan terserah Allah mahu lakukan apa sahaja kepada mereka, mereka redha dan anggap ia satu kehendak "kekasih".

Jika kekasih inginkan A, kita pula inginkan B, maka itu bukanlah kekasih. Kerana kekasih yang mencintai kekasihnya akan menuruti segala kehendak kekasih yang dia cintai.

Allah tidak perlu dan tidak berhajat kepada cinta kita, jadi tiada keperluan untuk Allah mengikut kehendak kita.

Kitalah yang berhajat kepada cinta Allah maka kitalah yang perlu mengikut kehendak Allah jika benar cinta kita pada Allah.

Setiap yang mengaku cinta Allah akan Allah uji dengan musibah, jika ia redha dan gembira, maka Allah akan kurniakan cintaNya itu kepada hamba tersebut. Dan jika ia tidak redha dan menyalahkan takdir, maka orang itu dikira "kafir tasawuf" yakni satu istilah yang digunakan para wali untuk menunjukkan seseorang itu telah dihalau keluar dari majlis Allah.

Tidaklah semua wali itu bermula Islah mereka dengan terus berjaya, setiap wali mempunyai pengalaman sendiri tentang musibah, misalnya kisah kali ini tentang Rabi'atul'Adawiyyah. Beliau juga ketika pada permulaan perjalanan Islah tidak dapat menahan tanggung kesakitan musibah sehingga beliau mengadu kepada Allah seperti yang telah diceritakan.

Namun atas kasih sayang Allah, Allah telah memberinya ilham dan menegurnya sehingga beliau telah berubah hatinya hanya teguh untuk mencintai Allah.

Mengapa orang lain yang merungut dengan musibah tidak dibantu Allah berupa ilham demikian?

Jawapannya adalah Ikhlas. Para wali ini sejak mula sangat ikhlas inginkan Allah. Bukan yang lain. Adapun orang lain, keikhlasan mereka diragui. Kadangkala mereka tiada langsung niat kerana Allah, lalu apabila musibah sampai, mereka dengan segera merungut. Jadi sejak awal lagi tiada hubungan dengan Allah, maka dihujung juga tiada hubungan dengan Allah.

Orang yang ikhlas, Allah akan sayang dan bantu.

Semoga Allah sayang kita semua.

Tiada ulasan: