Satu hari, semasa melintas sebuah belantara, Ibrahim
bertemu dengan seorang askar yang sesat dan askar itu bertanya kepada beliau
jalan menuju ke bandar.
Ibrahim menunjukkan askar itu jalan ke kubur. Apabila
Askar sampai ke kuburan, dia sangat marah lalu kembali semula ke belantara tadi
mencari Ibrahim. Dilihatnya Ibrahim masih di tempat sama lalu memukul kepala
Ibrahim sehingga darah mengalir.
Ibrahim diikatnya dengan tali dan ditariknya ke
bandar. Orang berkata bahawa yang ditarik itu ialah Sultan Ibrahim, raja
kerajaan Balkh!
Askar itu berkata,
“Tapi, dia menunjukkan padaku jalan yang salah!"
Ibrahim lalu menjawab,
"Bandar ialah tempat di mana penduduknya
sentiasa bertambah. Penduduk kubur itu sentiasa bertambah. Tetapi penduduk
bandar pula berkurangan apabila ada orang mati. Bukankah tanah perkuburan itu
sebenarnya bandar yang sedang membesar?"
Mendengar jawapan itu, askar itu pun kenal bahawa
Ibrahim ialah seorang wali Allah. Dia pun menundukkan badannya tanda hormat
serta memohon maaf.
Ibrahim berkata,
“Dengan sebab engkau telah berkasar denganku, saya
telah dijadikan sebagai seorang penghuni syurga. Oleh itu, saya berdoa kepada
Allah supaya memberimu syurga juga kerana budi baikmu terhadapku."
Rujukan: Kitab Tazkiratul Auliyaa', Syaikh Fariduddin
Al-Attar, terjemahan bahasa Melayu, Pustaka Aman Press.
Nota: Syurga dipagari dengan pelbagai musibah dan
kesengsaraan, tidak masuk orang ke syurga melainkan mesti mengharungi segala
jerih payah itu. Para wali Allah adalah hamba Allah yang paling memahami
hakikat ini maka mereka sangat gembira apabila ditimpa musibah bahkan berterima
kasih pula kepada yang menzalimi mereka kerana asbab kezaliman orang kepada
mereka, lalu mereka bersabar, maka mereka diredhai Allah dan dimasukkan ke
syurga-Nya.
Inilah Maqam nafsu Mardhiyah, iaitu satu capaian
nafsu yang redha dan gembira dengan segala musibah dari Allah dan menganggap ia
sebagai satu perhatian khusus dari Allah untuknya kerana mereka memahami
musibah hanyalah untuk para kekasih Allah.
Oleh sebab itulah para Nabi dan Rasul lah yang paling
banyak menerima musibah dan kesengsaraan di dunia ini, dan orang fasik, orang
kafir, orang fajir, orang munafik pula bergembira, bergelak ketawa dan
bersenang lenang serta diberi kesenangan hidup oleh Allah supaya mereka terus
lalai dan terus lalai.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan