Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

IMAM JAFAR ASSIDIQ MEMAKAI 2 PAKAIAN PADA 1 MASA


Ada seorang hamba Allah telah menegur Imam Ja'afar

"Wahai Ja'afar, tuan memakai pakaian yang mahal-mahal," (Yakni tidak sepatutnya seorang ulama sufi memakai pakaian mahal kerana tidak warak dan tawaduk seperti yang diajarkan oleh nabi, padahal para ulama itu pewaris para nabi, maka pakaian sederhana sepatutnya dijadikan pilihan para ulama sufi - admin)

Mendengarkan itu beliau menjawab,

“Lihatlah pakaian di dalamku."

Orang itu pun meraba pakaian bahagian dalam beliau. Orang itu terperanjat apabila dirasainya pakaian yang dalam itu sangat kasar hinggakan tangannya tergaris oleh kasarnya pakaian itu.

Orang itu bertanya,

“Apakah maksudnya dua jenis pakaian yang tuan pakai ini?"

Ja'afar menjawab,

"Pakaian luar ini untuk dunia (untuk menyembunyikan pengabdiannya dan mengelakkan dari diketahui orang ramai bahawa dia seorang sufi yang zuhud), dan pakaian dalam itu ialah untuk keredhaan Tuhanku (yang menghormati kehambaan kita dan memuliakan penyerahan kita kepadaNya)."

Nota admin: Yakni orang ramai sukakan pakaian yang indah kerana cintakan dunia seolah-olah mati itu perkara ringan dan akhirat itu cerita dongeng. Jadi apabila memakai pakaian yang zuhud, maka orang akan menganggap dia seorang sufi dan akan dimuliakan. Oleh sebab itu beliau memakai pakaian indah di luar agar tidak diketahui orang bahawa hatinya hanya ingat akhirat dan tidak peduli lagi kepada nikmat dunia yang menipu. Dengan memakai pakaian indah akan menyebabkan orang ramai berfikir dia juga sama seperti pecinta dunia yang lain.

Maka selamatlah dia dari diagungkan dan selamat juga hatinya dari rasa dirinya mulia. Adapun beliau memakai pakaian kasar di dalam adalah kerana pengabdian dia kepada Allah. Pada pendapat pecinta Allah (yang kenal dirinya sebagai hamba yang hina), seorang hamba itu perlu makan, minum, pakaian, cara hidup, tempat tinggal dan lain-lain selayaknya seorang hamba, bukan seperti raja. Pakaian indah, makan minum enak, tilam yang empuk, rumah yang selesa, semua ini adalah untuk raja, bukan hamba. Jadi seorang muslim yang menjadi "hamba" di dunia dan tidak tertipu dengan nikmat dunia yang sementara, akan dilayan Allah sebagai raja di akhirat nanti.

Oleh sebab itulah penghuni syurga akan dilantik menjadi raja, isterinya sebagai permaisuri, para bidadari dan bidadara sebagai hamba serta pelayan, makan minum yang enak, pakaian yang terindah. Jadi sesiapa yang bersabar di dunia daripada mencintai nikmatnya yang menipu, maka akan mendapat habuan besar di syurga kelak. Adapun mereka yang tertipu dengan nikmat dunia lalu mengorbankan apa sahaja untuk memenuhi nafsu duniawinya, maka dia pasti akan tenggelam bersama keburukan dunia dan di akhirat kelak tidak akan mendapat apa-apa habuan yang baik kerana semuanya telah dirasakan di dunia. Pesan para ulama:

"Nikmat dunia yang halal itu akan dihisab, nikmat yang haram pula akan diazab."

Semoga Allah leburkan serta tawarkan hati kita daripada mencintai dunia dan terkejar-kejar siang dan malam cuba mendapatkan dunia padahal semuanya hanyalah tipu daya dan tidak ada satu pun yang bermanfaat selepas masuk ke dalam lubang kubur kelak.

Sebagai penutup,

Seorang bertanya kepada Imam Ja'afar ,

“Siapakah yang lebih baik di antara kedua orang ini: Orang kaya yang bersyukur ke hadrat Allah kerana kurniaan Allah kepadanya; atau orang fakir yang redha dengan kemiskinannya?"

Ja'afar menjawab,

"Orang fakir yang redha itulah yang lebih baik, kerana orang kaya ini sentiasa ingatkan harta bendanya (1 keburukan) walaupun bersyukur (1 kebaikan) tetapi fakir itu sentiasa ingat kepada Allah (1 kebaikan) dan redha pula dengan kemiskinannya (1 kebaikan)." (Si kaya ada 1 keburukan dan 1 kebaikan, manakala si fakir ada 2 kebaikan - admin)

Oleh sebab itu, jika seorang yang kaya itu sentiasa ingat pada Allah (kematian dan akhirat) dan bersyukur (tanpa kerisauan akan kehilangan hartanya dan kematian hingga terpaksa tinggalkan hartanya), maka dia setaraf dengan yang fakir tadi.

Tiada ulasan: