Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

SEORANG SULTAN MENJADI WALI HANYA KERANA ASBAB UCAPAN RINGKAS IMAM SIRRI AS SAQTI


Satu hari, semasa Al-Saqti memberi syarahan, khalifah pun datang dengan segala kebesarannya.

Pada masa itu Al-Saqti sedang berkata,

"Makhluk yang paling dimuliakan Allah ialah manusia, namun begitu manusia melakukan banyak dosa."

Khalifah sangat terkesan dengan ceramah ringkas itu lalu kembali ke istananya. Pada malam itu khalifah tidak dapat tidur kerana terkenangkan balasan Allah di akhirat kelak. Besoknya, baginda buangkan pakaian kerajaan dan memakai pakaian darwisy.

Baginda terus berjumpa Al-Saqti dan berkata bahawa syarahan beliau itu telah mempengaruhinya dan menyebabkan baginda ingin membuangkan segala hal keduniaan dan ingin memencilkan diri untuk menuju jalan Allah. Baginda meminta Al-Saqti menunjukkan jalan itu.

Al-Saqti memberitahu baginda bahawa ada dua jalan menuju Allah itu.

1) Pertama ialah apa yang diperintahkan oleh Quran (jalan syariat) seperti sembahyang lima waktu sehari semalam, memberi zakat, membaca Quran dan lain- lain perintah agama.

2) Jalan yang kedua ialah jalan yang lebih dekat (jalan tareqat/kesufian), iaitu membuangkan hal-hal keduniaan dan menghabiskan masa beribadat kepada Allah, tidak meminta kepada makhluk dan tidak menerima daripada mereka, terima pemberian (baik atau buruk) daripada Allah dan meminta kepada Dia sahaja.

Setelah mendengar itu, khalifah itu pun memilih jalan kedua dan terus pergi ke belantara. Ibunya menangis dan merungut yang Al-Saqti menyebabkan anaknya jadi darwisy (sufi) dan sekarang tidak diketahui di mana dia.

Kata Al-Saqti janganlah risau, dia akan kembali tidak lama lagi. Setelah khalifah yang jadi darwisy itu kembali ke tempat Al-Saqti, beliau pun menjemput ibu dan anak isteri khalifah itu bertemu dengannya. Melihatkan keadaan khalifah yang telah jadi darwisy itu, mereka semuanya menangis, dan memujuknya supaya menjadi khalifah semula.

Khalifah itu pun cuba hendak pergi lagi kerana enggan menurut kata mereka. Isterinya meminta supaya dibawa anaknya seorang bersamanya (dengan harapan cinta pada anak akan buat dia kembali kepada dunia -admin).

Khalifah itu pun menanggalkan pakaian indah anaknya itu dan memakainya pakaian kasar darwisy. Apabila ibu kanak-kanak itu melihat pakaian yang buruk itu, maka disambarnya anaknya kembali dan terus mereka kembali ke istana, dengan meninggalkan khalifah yang telah jadi darwisy itu kembali ke hutan belantara.

Beberapa hari kemudian, ada orang memberi khabar kepada Al-Saqti menyatakan khalifah itu tidak lama lagi akan meninggal dunia dan beliau meminta Al- Saqti bertemu dengannya. Al-Saqti sampai ke tempat perkuburan di mana dilihatnya khalifah itu terbaring di atas tanah. Al-Saqti terus duduk dan meletakkan kepala khalifah itu di ribanya.

Khalifah itu berkata, "Tuan terlambat sedikit."

Setelah menyebut nama Allah, baginda pun mati. Semasa Al-Saqti pulang ke desanya untuk mengambil alat-alat untuk menguburkan baginda itu, di tengah jalan bertemulah beliau dengan ramai orang membawa alat-alat yang diperlukan itu.

Mereka berkata bahawa mereka telah terdengar suara ketuhanan yang menyuruh mereka membawa alat-alat itu dan menyembahyangkan baginda sebagai hamba kecintaan Allah yang baru sahaja meninggal dunia.


Tiada ulasan: