Catatan Popular

Ahad, 19 April 2020

MINTALAH TERUS DARIPADA ALLAH!


Imam Mumsyad Ad-Dinuri merupakan salah seorang sufi yang mahsyur.

Pada suatu hari, seorang darwisy (sufi) meminta Ad-Dinuri berdoa untuknya kepada Allah kerana mahsyur beliau seorang sufi yang mustajab doanya.

Entah mengapa beliau kurang menyenangi permintaan itu lalu menjawab,

"Pergilah kepada Allah dan terus memohon kepadaNya, kamu tidak perlu perantara."

Darwisy ity bertanya, "Di mana Dia?"

Beliau menjawab, "Apabila kamu tidak ada diri kamu (fana) di situlah Dia."

Mendengarkan itu, darwisy itu pun pergi ke tempat yang lengang dan di sana dia berdoa. Allah langsung kabulkan permohonannya. Beliau pun tinggalkan tempat itu.

Satu hari, bandar tempat Ad-Dinuri tinggal itu telah dibanjiri air. Ad-Dinuri tiba-tiba bertemu dengan Darwisy tersebut dan lihat darwisy itu sedang duduk atas tilam di permukaan air.

Ad-Dinuri terperanjat dan bertanya bagaimana dia dapat berbuat demikian hingga tidak ditenggelami air. Darwisy itu menjawab bahawa itu adalah hasil kumiaan Tuhan dan kerana patuh kepadaNya.

Allah telah jadikan dia dapat memohon terus kepadaNya tanpa perantara lagi, dan Allah kabulkan doanya terus langsung. Ianya menjadi tamparan hebat kepada ad-Dinuri kerana sebelum ini beliau seolah-olah memandang rendah kepadanya.

Semenjak itu Ad-Dinuri berhati- hati dan tidak pemah bersikap kasar kepada orang-orang darwisy.

Nota admin: Merupakan satu adat dan adab kebiasaan untuk meminta orang Soleh doakan kita seperti yang dilakukan oleh para sahabat Nabi kepada Nabi dan sesama mereka. Bahkan kisah yang mahsyur Saidina Abu Bakar dan Saidina Umar رضي الله عنهم telah meminta doa daripada Imam Uwais Al-Qarni رحمه الله walaupun beliau seorang tabiin (tidak pernah bertemu nabi, tapi pernah bertemu para sahabat).

Jadi ia dikategorikan sebagai amalan "sunnah" dalam kategori "taqririyyah" iaitu sesuatu yang dilakukan di hadapan nabi dan baginda mengakuinya sebagai baik serta tidak menghalangnya daripada dilakukan.

Termasuk sunnah taqririyyah ialah para wanita memakai niqab dan purdah. Ianya dikira "sunnah" walaupun baginda seorang lelaki dan tidak perlu berpurdah. Namun amalan itu diamalkan oleh isteri-isteri baginda yakni ibu-ibu kita dan baginda meredhainya serta tidak menghalang mereka bahkan memuji pula.

Para wali manusia biasa, adakala mereka juga terlalai, hanya para nabi dan Malaikat sahaja yang tidak berdosa dan sentiasa taat. Jadi apa yang berlaku kepada ad-Dinuri ini merupakan hal biasa.

Kata ulama, para nabi itu maksum (tidak melakukan dosa), para wali pula mahfuz (dilindungi dari dosa). Beza "tidak melakukan" dengan "dilindungi dari" sangat mudah kita fahami. Yakni yang maksum pastilah tiada dosa, yang dilindungi pula tentulah kadangkala ada yang "terbocor" terkeluar daripada perlindungan, kadang kala ianya untuk tarbiah orang Soleh itu sendiri.

Jadi peristiwa ini menjadi pengajaran buat beliau khas dari Allah supaya jangan memandang rendah pada sesiapa pun kerana kemungkinan yang datang kepada kita itu memang ahlullah atau wali Allah dan kita tidak akan mahu menyakiti mereka kerana menyakiti mereka beerti mengisytiharkan perang kepada Allah.

Amat sedih pada hari ini, para ulama dicemuh, orang sufi dituduh sesat dan bidaah, para solihin pula dianggap syirik dan dilontarkan pelbagai kata nista, fitnah dan dusta.

Semoga pelakunya segera bertaubat agar tidak "diperangi" oleh Allah. Jika orang jalanan pun tidak boleh kita sangka buruk atau pandang rendah, apatah lagi orang yang zahirnya Soleh.

Tiada ulasan: