Catatan Popular

Ahad, 7 September 2014

ISLAM DAN TAUHID Bab 6: Beriman Kepada Malaikat



BERIMAN KEPADA MALAIKAT

Beriman kepada malaikat adalah di antara salah satu daripada rukun-rukun iman yang enam yang kita wajib beriman. Beriman kepada malaikat ialah keyakinan atau iktikad yang teguh bahawa Allah mempunyai malaikat-malaikat yang diciptakan daripada cahaya. Malaikat-malaikat itu tidak pernah menderhaka kepada Allah, dan tidak pernah pula membantah apa sahaja yang disuruh oleh Allah kepada mereka.  

SIFAT-SIFAT MALAIKAT

1. Malaikat dijadikan daripada cahaya

Rasulullah S.A.W telah bersabda :
Maksudnya : Dari Aisyah R.A. berkata, dari Rasulullah S.A.W bersabda : “ Malaikat dijadikan daripada cahaya, jin dijadikan daripada percikan api dan manusia dijadikan daripada bahan yang telah diberitahu kepada kamu.”
(Riwayat Muslim)
2. Malaikat tidak bersifat dengan lelaki dan perempuan

Allah S.W.T berfirman di dalam Surah Al-Najm ayat 27-28 :
Maksudnya : Sesungguhnya orang-orang yang tidak beriman kepada Hari Akhirat sahajalah, yang tergamak menamakan malaikat itu dengan nama perempuan, sedang mereka tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenainya. Mereka tidak lain hanyalah mengikut sangkaan semata-semata, padahal sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat memenuhi kehendak menentukan sesuatu daripada kebenaran i’tikad”.
(Surah Al-Najm : 27-28)
3. Malaikat tidak dapat dilihat

Malaikat ialah suatu makhluk yang halus dan termasuk dalam alam ghaib yang tidak termasuk dalam golongan makhluk yang wujud jasmaniyahnya iaitu malaikat tidak dapat dilihat, diraba, didengar, dicium dan dirasa.

Maksudnya : Dari Abu Salamah bahawasanya ‘Aisyah R.A. berkata, Rasulullah S.A.W bersabda :  “Wahai ‘Aisyah, ini Jibril datang dan dia menyampaikan salam kepadamu! ‘Aisyah pun menjawab: Begitu pula ‘alaihis salam wa rahmatullah (baginya keselamatan dan rahmat Allah), dia dapat melihatku sedangkan aku tak dapat melihatnya.
(Muttafaq ‘Alaihi)
4. Malaikat boleh menjelma dengan pelbagai rupa
Allah S.W.T telah menceritakan penjelmaan malaikat dalam pelbagai bentuk termasuk bentuk manusia dalam firman-Nya di dalam Surah Maryam ayat 17 :

Maksudnya : “Maka Kami hantarkan kepadanya Roh dari Kami, lalu ia menyamar diri kepadanya sebagai seorang lelaki, yang sempurna bentuk kejadiannya.
5.Malaikat terpelihara daripada melakukan dosa
Malaikat dijadikan dengan fitrah taat kepada Allah S.W.T dan terlindung daripada melakuan maksiat. Firman Allah S.W.T dalam Surah Al-Tahrim ayat 6 :

Maksudnya : “Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarnya manusia dan batu berhala; neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar layanannya; mereka tidak menderhaka kepada Allah S.W.T dalam segala yang diperintahkan-Nya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.”
(Surah Al-Tahrim : 6)
 
6.Malaikat tidak makan, tidak minum, tidak tidur, tidak berkahwin dan bersih dari mempunyai nafsu syahwat. 

 NAMA-NAMA MALAIKAT DAN TUGAS-TUGASNYA
Malaikat-malaikat mempunyai bilangan yang banyak. Hanya Allah sahajalah yang mengetahui bilangannya. Firman Allah S.W.T di dalam Surah Al-Muddathir ayat 31 :
Maksudnya : “Dan tiada yang mengetahui tentera Tuhanmu melainkan Dia lah sahaja. Dan (ingatlah, segala yang diterangkan berkenaan dengan) neraka itu tidak lain hanyalah menjadi peringatan bagi manusia.” .

NAMA-NAMA MALAIKAT DAN TUGAS-TUGASNYA YANG WAJIB DIPERCAYAI SECARA TAFSILI
1.Malaikat Jibrail A.S.
Diberi satu jawatan khusus dan yang paling mulia iaitu utusan yang menghubungkan   di antara Allah dengan rasul-rasul-Nya, dan juga ditugaskan menyampaikan wahyu daripada Allah kepada rasul-rasul-Nya itu.
2.Malaikat Mikail
Ditugaskan oleh Allah menurunkan hujan untuk menghidupkan bumi, binatang-binatang, sayur-sayuran, pokok-pokok, buah-buahan, biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan yang lain.
3.Malaikat Israfil
Ditugaskan oleh Allah meniupkan sangkakala pada hari kiamat dan pada ketika itu makhluk-makhluk yang ada di langit dan di bumi semuanya mati kecuali yang dikehendaki Allah terkemudian matinya.
4.Malaikat ‘Izrail
Ditugaskan oleh Allah untuk mencabut (mengambil) nyawa semua yang bernyawa di alam dunia ini.
5.Malaikat Munkar dan Nakir
Ditugaskan oleh Allah untuk menyoal mayat selepas manusia telah meninggal dunia.
6.Malaikat Raqib
Ditugaskan oleh Allah untuk mencatat segala perbuatan dan perkataan yang baik daripada manusia.
7.Malaikat Atid
Ditugaskan oleh Allah untuk mencatat segala perbuatan dan perkataan yang jahat daripada manusia. 
8.Malaikat Malik
Ditugaskan oleh Allah untuk menjaga pintu neraka tempat manusia menerima balasan dari dosa dan kederhakaan manusia kepada Allah.
9.Malaikat Ridhwan
Ditugaskan oleh Allah untuk menjaga pintu syurga tempat manusia menerima balasan dari ketaatan dan ketakwaan manusia kepada Allah.

TUGAS-TUGAS UMUM MALAIKAT
Antara tugas-tugas umum para malaikat adalah seperti berikut :
·         Memikul   'Arasy (Arasy dari segi bahasa : Singgahsana / takhta Allah).
·         Bertasbih & beribadat kepada Allah.
·         Memohon diampunkan dosa-dosa orang mukmin yang menuntut ilmu.
·         Melindungi orang yang menuntut ilmu.
·         Mendoakan orang mukmin yang beribadat.
·         Menyampaikan berita gembira kepada orang mukmin.
·         Memberi syafaat kepada orang mukmin.
·         Berselawat ke atas orang yang solat dalam saf pertama.
·         Berselawat ke atas orang yang mengajar kebaikan kepada manusia.
·         Berselawat ke atas orang yang menziarahi orang sakit.
·         Berselawat ke atas Muslim yang berusaha menunaikan keperluan saudaranya.
·         Berselawat ke atas Muslim yang bersahur.
·         Menaungi para syuhada dengan sayapnya.

Tiada ulasan: