Catatan Popular

Selasa, 16 September 2014

KISAH SUFI KLASIK (17) : ADAWIYAH DENGAN SEORANG PENCURI

Suatu malam yang sunyi sepi, di kala masyarakat sedang khusyuk tidur,
seorang pencuri telah menceroboh masuk ke dalam pondok Rabi'atul
Adawiyah.

Namun setelah menyelongkar sekeliling berkali-kali, dia tidak menemui
sebarang benda berharga kecuali sebuah kendi untuk kegunaan berwuduk,
itupun telah buruk. Lantas si pencuri tergesa-gesa untuk keluar dari
pondok tersebut.

Tiba-tiba Rabi'atul Adawiyah menegur si pencuri tersebut, "Hei, jangan
keluar sebelum kamu mengambil sesuatu dari rumahku ini." Si pencuri
tersebut terperanjat kerana dia menyangka tiada penghuni di pondok
tersebut. Dia juga berasa hairan kerana baru kini dia menemui tuan
rumah yang begitu baik hati seperti Rabi'tul Adawiyah. Kebiasaannya
tuan rumah pasti akan menjerit meminta tolong apabila ada pencuri
memasuki rumahnya, namun lain pula yang berlaku.

"Sila ambil sesuatu." kata Rabiatul Adawiyah lagi kepada pencuri tersebut.

"Tiada apa-apa yang boleh aku ambil daripada rumah mu ini." kata si
pencuri berterus-terang.

"Ambillah itu!" kata Rabi'atul Adawiyah sambil menunjuk pada kendi
yang buruk tadi.

"Ini hanyalah sebuah kendi buruk yang tidak berharga." Jawab si pencuri.

"Ambil kendi itu dan bawa ke bilik air. Kemudian kamu ambil wudhu'
menggunakan kendi itu. Selepas itu solatlah 2 rakaat. Dengan demikian,
engkau telah mengambil sesuatu yang sangat berharga daripada pondok
burukku ini." Balas Rabi'tul Adawiyah.

Mendengar kata-kata itu, si pencuri tadi berasa gementar. Hatinya yang
selama ini keras, menjadi lembut seperti terpukau dengan kata-kata
Rabi'tul Adawiyah itu. Lantas si pencuri mencapai kendi buruk itu dan
dibawa ke bilik air, lalu berwudhu' menggunakannya.. Kemudian dia
menunaikan solat 2 rakaat. Ternyata dia merasakan suatu kemanisan dan
kelazatan dalam jiwanya yang tak pernah dirasa sebelum ini.

Rabi'atul Adawiyah lantas berdoa, "Ya Allah, pencuri ini telah
menceroboh masuk ke rumahku. Akan tetapi dia tidak menemui sebarang
benda berharga untuk dicuri. Kemudian aku suruh dia berdiri
dihadapan-Mu. Oleh itu janganlah Engkau halang dia daripada
memperolehi nikmat dan rahmat-Mu."

Tiada ulasan: