Catatan Popular

Selasa, 16 September 2014

KISAH SUFI KLASIK (16) : ADAWIYAH BERSAMA AHLI CERDIK PANDAI

Rabi'atul Adawiyah merupakan salah seorang srikandi agung dalam Islam.
Beliau terkenal dengan sifat wara' dan sentiasa menjadi rujukan
golongan cerdik pandai kerana beliau tidak pernah kehabisan hujjah.

Pada suatu hari, sekumpulan golongan cerdik pandai telah datang ke
rumah Rabi'atul Adawiyah. Tujuan mereka tidak lain dan tidak bukan
adalah untuk menguji beliau dengan pelbagai persoalan. Malah mereka
telah bersedia dengan satu persoalan yang menarik. Mereka menaruh
keyakinan yang tinggi, kerana selama ini Rabi'atul Adawiyah tidak
pernah ketandusan hujah.

"Wahai Rabi'atul Adawiyah, semua bentuk kebajikan yang tinggi-tinggi
telah dianugerahkan oleh Allah kepada kaum lelaki, namun tidak kepada
kaum wanita." Ketua rombongan itu memulakan bicara.

"Buktinya?" Balas Rabi'atul Adawiyah.

"Buktinya ialah, mahkota kenabian dan Rasul telah dianugerahkan kepada
kaum lelaki. Malah mahkota kebangsawanan juga dikurniakan kepada kaum
lelaki. Paling penting, tidak ada seorang wanita pun yang telah
diangkat menjadi Nabi atau Rasul, malah semuanya dari golongan
lelaki." Jawab mereka pula dengan yakin.

"Memang betul pendapat tuan-tuan sekalian. Akan tetapi harus diingat
bahawa sejahat-jahat pangkat ada pada kaum lelaki juga. Siapa yang
mengagung-agungkan diri sendiri? Siapa yang begitu berani mendakwa
dirinya sebagai Tuhan? Dan siapa pula yang berkata : "Bukankah aku ni
tuhanmu yang mulia?" Dengan tenang, Rabi'atul Adawiyah membalas hujah
mereka sambil merujuk kepada Firaun dan Namrud.

Kemudian Rabi'atul Adawiyah menambah lagi, "Anggapan dan ucapan
seperti itu tidak pernah keluar dari mulut seorang wanita. Malah
semuanya ditimpakan kepada kaum lelaki."

Tiada ulasan: