Catatan Popular

Ahad, 7 September 2014

ISLAM DAN TAUHID Bab 9: Beriman Kepada Hari Kiamat



Beriman kepada hari kiamat adalah salah satu dari rukun iman yang enam dan merupakan perkara utama dalam aqidah malah sebagai unsur penting dalam keimanan kerana terdapat banyak ayat-ayat Al-Quran yang menghubungkan beriman kepada Allah dengan beriman kepada hari kiamat. Antaranya ada dinyatakan berdasarkan firman Allah S.W.T. di dalam surah Al-Baqarah ayat 62 :

Maksudnya : “…Sesiapa di antara mereka itu beriman kepada Allah dan beriman kepada hari akhirat (hari kiamat) serta beramal soleh, maka bagi mereka pahala balasannya di sisi Tuhan mereka, dan tidak ada kebimbangan (dari berlakunya kejadian yang tidak baik) kepada mereka, dan mereka pula tidak akan berdukacita.”
(Surah Al-Baqarah : 62)
Al-Quran dan Al-Sunnah ada memuatkan keterangan tentang dalil kewajipan beriman dengan hari kiamat. Dan sesiapa yang kufur ingkar dengan beriman kepada hari kiamat maka ia berada di dalam kesesatan. Allah S.W.T berfirman di dalam surah Al-Nisa’ ayat 136 :

Maksudnya : “…dan sesiapa yang kufur ingkar kepada Allah, malaikat-malaikat-Nya, rasul-rasul-Nya dan juga hari akhirat, maka sesungguhnya ia telah sesat dengan kesesatan yang sejauh-jauhnya.”
(Surah Al-Nisa’ : ayat 136)
Beriman dengan hari kiamat ialah beriman dengan setiap berita yang disampaikan oleh Allah dan rasul-Nya mengenai peristiwa yang berlaku pada hari itu, azab dan nikmatnya, soal kubur, hari manusia dibangkitkan semula, mizan, haudh, sirat dan sebagainya.
Menurut Imam Syafie, Ahli Sunnah Wal-Jamaah beriman kepada setiap yang diberitakan oleh Allah dan Rasul-Nya tentang hari kiamat seperti kebangkitan selepas mati, hisab, kedatangan Allah pada hari kiamat untuk memberikan keputusan di antara hamba-hamba-Nya, mizan (timbangan), ash-shirath, syurga dan neraka.

NAMA-NAMA LAIN BAGI HARI KIAMAT
1.      Yaumus-Sa'ah (يوم الساعة) - Masa yang ditetapkan
2.      Yaumul-Hisab (يوم الحساب) -  Hari perhitungan
3.      Yaumul-Waqiah (يوم الواقعه) – Peristiwa yang pasti berlaku
4.      Yaumul-Haqqah (يوم الحاقه) – Peristiwa yang sebenar
5.      Yaumul- Qariah (يوم القارعه) – Hari yang menggemparkan
6.      Yaumuz-Zalzalah (يوم الزلزله) – Hari goncangan/gegaran
7.      Yaumul- Jaza' (يوم الجزاء) – Hari pembalasan   
8.      Yaumul-Rajifah (يوم الراجفه) – Hari gempa
9.      Yaumul-Fasl (يوم الفصل) – Hari keputusan
10. Yaumul-Wa’id (يوم الوعيد) – Hari ancaman

PERKARA-PERKARA YANG BERKAITAN DENGAN BERIMAN KEPADA HARI KIAMAT
1. Ujian Kubur
Kita wajib beriman dengan apa yang diberitahu oleh Rasulullah S.A.W. bahawa adanya ujian kubur dan soalan yang diajukan oleh malaikat Munkar dan Nakir. Mereka akan menanyakan manusia tentang Tuhannya, agamanya dan nabinya, Dalam beberapa hadis yang sahih, Rasulullah S.A.W. memberitahu bahawa manusia akan diuji di dalam kubur mereka dan para malaikat akan bertanya kepadanya : Siapa tuhan kamu, apa agama kamu dan siapa nabi kamu? Orang mukmin akan menjawab soalan itu dengan mengatakan : Tuhanku Allah, agamaku Islam dan Nabi Muhammad S.A.W. ialah nabiku. Orang yang masih dalam keraguan, maka dia akan mengatakan : Saya tidak tahu tetapi saya pernah mendengar manusia mengatakan sesuatu tentangnya, lalu saya menurut apa yang dikatakan. Lantaran itu dia dipukul dan diseksa dalam kuburnya. Ada beberapa hadis yang berkaitan dengannya, antaranya ialah hadis riwayat Al-Bukhari dan Muslim yang bermaksud :
“Apabila seseorang hamba diletakkan di dalam kuburnya dan para pengiringnya berpatah balik, maka sesungguhnya dia mendengar bunyi tapak kasut mereka. Pada ketika itu datanglah dua malaikat lalu mereka mendudukkannya. Mereka berkata kepadanya : Apa yang hendak kamu katakan mengenai lelaki ini? Orang Mukmin akan mengatakan : Saya mempersaksikan bahawa dia adalah pesuruh Allah dan rasul-Nya. Lalu dikatakan kepadanya : Lihatlah tempat duduk kamu di dalam neraka telah digantikan dengan tempat duduk di dalam syurga. Nabi Muhammad memberitahu : Lalu dia melihat kedua-dua tempat itu. Orang Munafik dan orang kafir, maka dikatakan kepada mereka : Apa yang hendak kamu katakan mengenai lelaki ini? Lalu dia menjawab : Saya tidak tahu, tetapi saya pernah mengatakan sepertimana yang dikatakan orang lain. Maka dikatakan kepadanya : Memang kamu tidak mengerti dan tidak memahami. Dia pun dipukul dengan alat pemukul daripada besi dengan satu pukulan sehingga dia menjerit di mana jeritannya dapat didengar oleh sesiapa sahaja yang ada berdekatan kecuali jin dan manusia.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
2. Azab Kubur dan Nikmatnya
Kita juga wajib beriman tentang adanya azab kubur dan nikmatnya sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah S.A.W. Azab kubur dikenali sebagai alam barzakh. Alam barzakh ialah suatu kehidupan di antara kehidupan di dunia dan di akhirat dan merupakan alam bagi orang yang telah meninggal dunia sementara menunggu hari kebangkitan serta alam yang memisahkah  di antara alam dunia dengan alam akhirat. Keterangan tentang adanya seksa kubur ada dinyatakan dalam Al-Quran dan Al-Sunnah. Hadis-hadis mengenai azab kubur sangat banyak dan sampai ke tahap mutawatir. Imam Nawawi mengatakan bahawa ketahuilah menurut mazhab Ahli Sunnah Wal-Jamaah, azab kubur merupakan  suatu yang pasti dan banyak dalil yang telah dikemukakan sama ada melalui ayat Al-Quran atau hadis sahih. Dari segi logiknya adalah tidak mustahil mengembalikan kehidupan pada sebahagian daripada tubuh yang telah mati lalu menyeksanya dan memandangkan kewujudan azab ini tidak boleh disangkal oleh akal apatah lagi dengan sokongan dalil-dalil syarak, maka menjadi kewajipan bagi kita untuk menerima dan beriktikad dengannya. Dalam Al-Quran, Allah S.W.T berfirman di dalam surah Ghafir ayat 45-46 :
Maksudnya : Dan Firaun berserta kaumnya dikepung oleh azab yang amat buruk. Mereka dinampakkan neraka pada pagi dan petang dan pada hari terjadinya kiamat dikatakan kepada malaikat : Masukkan Firaun dan kaumnya ke dalam azab yang sangat keras.”
(Surah Ghafir : 45-46)
Di antara hadis-hadis yang menunjukkan tentang azab kubur ialah seperti hadis yang diriwayatkan oleh Muslim daripada Zaid bin Thabit r.a. Maksudnya :
Ketika Nabi Muhammad S.A.W. berada di tembok Bani Najjar di atas binatang tunggangannya dan kami berada bersamanya, tiba-tiba tembok itu runtuh dan hampir mengenainya. Tiba-tiba didapati beberapa kubur sebanyak enam, lima atau empat kubur. Lalu Rasulullah S.A.W. bersabda  : “        Siapakah yang mengetahui tentang penghuni kubur ini?” Seorang lelaki menjawab : “Saya mengetahuinya.” Nabi bertanya : “Bilakah mereka mati?” Lelaki itu menjawab : “Mereka mati semasa dalam kesyirikan.” Lalu baginda bersabda : “Sesungguhnya umat ini sedang menerima ujian dalam kubur mereka, andaikata mereka tidak dikebumikan nescaya aku akan berdoa kepada Allah supaya memperdengarkan kepada kamu azab kubur yang sedang aku dengar ini.” Kemudian baginda menghadap ke arah kami sambil bersabda :“Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada seksaan neraka.” Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada azab neraka.” Nabi bersabda : “Mohonlah perlindungan dengan Allah dari azab kubur.” Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan kepada Allah daripada azab kubur.” Nabi bersabda : “Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada fitnah yang ketara dan tersembunyi. Para sahabat berkata : “Kami memohon kepada Allah daripada fitnah yang ketara dan tersembunyi.” Baginda bersabda lagi : “Mohonlah perlindungan dengan Allah daripada fitnah al-Masih Dajal.” Para sahabat berkata : “Kami memohon perlindungan dengan Allah daripada fitnah al-Masih Dajal.”
(Riwayat Muslim)  
Setiap orang mati yang layak menerima azab berdasarkan amalan buruknya, sama ada dia dikuburkan atau tidak, maka roh dan jasadnya akan menerima azab sebagaimana yang dikenakan kepada orang yang berada di dalam kubur.
3. Tanda-tanda Kiamat
Kita wajib beriman bahawa hari kiamat pasti datang. Masa berlaku hanya Allah mengetahuinya. Allah tidak memberitahu seseorang pun sama ada manusia biasa mahupun para rasul-Nya. Tiada seorang pun yang berupaya mengetahui baki umur dunia yang masih tinggal kecuali Allah S.W.T. Kita wajib beriman dengan tanda-tanda kiamat yang merangkumi tanda-tanda kecil dan tanda-tanda besar kerana ia adalah sebahagian daripada beriman kepada hari kiamat. Dan sesungguhnya, Allah S.W.T. mengadakan pelbagai tanda kiamat untuk menunjukkan bahawa hari kiamat itu sudah hampir dan sudah dekat. Berdasarkan firman Allah S.W.T di dalam surah Muhammad ayat 18 :
Maksudnya : “Kiranya golongan yang ingkar masih tidak mahu menerima peringatan yang diberi kepadanya, maka tidak ada lagi yang mereka tunggukan melainkan saat kiamat yang akan datang kepada mereka secara mengejut kerana sesungguhnya telah lahir tanda-tanda kedatangannya, kalaulah demikian, maka bagaimanalah mereka dapat menerima peringatan yang diberi kepada mereka apabila saat kiamat itu datang kepada mereka?.”
(Surah Muhammad : 18)
4. Permulaan terjadinya kiamat
Kita wajib beriman dengan peristiwa-peristiwa kiamat sebagaimana yang disebutkan dalam Al-Quran terutamanya yang terdapat dalam surah Al-Takwir dan Al-Infitar. Keseluruhan ayat-ayat Al-Quran yang menyentuh tentang kejadian kiamat menunjukkan bahawa permulaan kiamat ialah dengan berlakunya perubahan umum terhadap alam ini. Langit akan terbelah, bintang-bintang berguguran dan planet-planet berlanggaran sesama sendiri serta kejadian lain.
Segala sesuatu akan menjadi musnah dan apa sahaja yang dikenali oleh manusia akan dimusnahkan kewujudannya. Allah S.W.T. berfirman di dalam surah Ibrahim ayat 48 :
Maksudnya : “Pada hari bumi diganti dengan bumi yang lain dan demikian pula langit dan mereka semuanya (di padang Masyhar) berkumpul menghadap ke hadrat Ilahi yang Maha Esa lagi Maha Perkasa.
5. Peristiwa kebangkitan
Selepas berlakunya tiupan sangkakala yang kedua, kita wajib beriman bahawa Allah S.W.T. akan mengembalikan kehidupan kepada setiap yang mati. Inilah hari yang dikenali sebagai hari kebangkitan iaitu pengembalian roh dan jasad manusia sebagaimana halnya semasa mereka di dunia.
6. Mahsyar
Kita beriman bahawa peristiwa pengumpulan akan berlaku selepas para makhluk dikeluarkan dari kubur-kubur mereka. Allah S.W.T. berfirman di dalam surah Maryam ayat 85-86 :
Maksudnya : Ingatlah hari ketika Kami mengumpulkan orang-orang yang bertakwa kepada Tuhan yang Maha Pemurah sebagai perutusan yang terhormat. Dan Kami akan menghalau orang-orang yang derhaka ke neraka Jahanam dalam keadaan dahaga.”
(Surah Maryam : 85-86)

Al-Hasyr bermakna keadaan manusia yang dihalau ke suatu tempat. Tempat itu ialah tempat mereka berhenti menunggu untuk dijatuhkan hukuman. Setelah manusia dibangkitkan, Allah menyuruh malaikat-Nya menghalau mereka ke suatu tempat penantian di mana ketika itu mereka dalam keadaan sebagaimana kejadian pertama yakni tidak berkasut, tidak berpakaian dan tidak berkhatan. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah, beliau menyebutkannya yang bermaksud :

Aku mendengar Rasulullah S.A.W. bersabda : Manusia akan dikumpulkan pada hari kiamat dalam keadaan berkaki ayam, bertelanjang dan tidak berkhatan. Aku bertanya : Wahai Rasulullah, adakah sebahagian mereka melihat kepada sebahagian yang lain? Rasulullah menjawab : Wahai Aisyah, keadaan pada hari itu lebih dahsyat daripada mereka memperhatikan antara satu sama lain.”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
7 Pembalasan amalan
Kita wajib beriman dengan adanya pembalasan terhadap segala amalan pada hari kiamat. Kesemua manusia akan diberikan balasan yang setimpal terhadap segala yang mereka lakukan semasa di dunia. Allah berfirman di dalam surah Al-Nur ayat 25 :
Maksudnya : “Di hari itu, Allah akan memberi mereka balasan yang setimpal dan tahulah bahawa Allahlah yang benar lagi yang menjelaskan segala menurut hakikat yang sebenarnya.
(Surah Al-Nur : 25)
8.Persemukaan dan Perhitungan (Hisab)
Kita beriman bahawa pembalasan terhadap manusia berlaku setelah perbicaraan yang adil. Setiap manusia akan bersemuka dengan Tuhannya, lalu mereka diminta memberikan alasan terhadap segala amalan mereka. Mereka akan didedahkan perihal segala pekerjaan yang mereka lakukan semasa di dunia. Mereka akan membaca sendiri kitab-kitab catatan amalan mereka. Lantaran itu, kita wajib beriman tentang adanya persemukaan, hisab dan pembacaan kitab catatan amalan. Apa yang dimaksudkan dengan penghisaban ialah perincian yang dilakukan oleh Allah S.W.T. terhadap hamba-hamba-Nya sebelum mereka beredar dari Masyhar. Ia meliputi perincian terhadap tindak perbuatan, kata-kata dan iktikad mereka sama ada yang baik mahupun yang buruk. Ini berlaku setelah  manusia melihat sendiri kitab catatan mereka.

9. Al-Haudh (Kolam)
Kita wajib beriman dengan apa yang diberitahu oleh Nabi Muhammad S.A.W. tentang Al-Haudh (Kolam) yang merupakan anugerah Allah kepada baginda dan umatnya. Banyak hadis yang sahih menceritakan tentangnya sehingga sampai ke tahap mutawatir. Orang yang pertama sekali melalui kolam itu ialah Nabi Muhammad S.A.W. kemudian diikuti oleh umatnya. Orang kafir dan ahli maksiat serta yang melakukan dosa besar akan diusir dari melalui kolam itu. Sabda baginda yang bermaksud :
“Akulah orang yang mendahului kamu ke kolam (al-Haudh). Barang siapa yang melaluinya, dia akan dapat minum dan barang siapa meminumnya tidak akan haus selama-lamanya. Kelak akan melaluinya satu kaum yang aku mengenali mereka dan mereka mengenali aku, kemudian didindingkan antara aku dengan mereka. Nabi S.A.W. berkata : Sesungguhnya mereka itu umatku. Lalu dikatakan : Sesungguhnya kamu tidak tahu apa yang mereka lakukan setelah kamu tiada. Akupun mengatakan : Jauhlah, jauhlah bagi mereka yang mengubah ajaranku setelah aku tiada.”
(Riwayat Muslim)
10. Mizan
Kita wajib beriman bahawa amalan-amalan manusia yang baik dan buruk akan ditimbang pada hari kiamat dengan satu penimbang yang disebut sebagai mizan. Ini bertujuan memperlihatkan keadilan-Nya. Allah berfirman di dalam surah Al-Anbiya’ ayat 47 :
Maksudnya : Kami akan memasang timbangan yang tepat pada hari kiamat, maka tiadalah dirugikan seseorang walau sedikit pun. Dan jika (amalan itu) hanya seberat biji sawipun, pasti Kami akan mendatangkan pahalanya dan cukuplah Kami sebagai pembuat perhitungan.”
(Surah Al-Anbiya’ : 47)
Berlakunya timbangan amal setelah selesainya penghisaban. Ini kerana mizan bertujuan menjatuhkan hukuman sementara hisab bertujuan membuktikan segala amalan yang pernah dilakukan. Namun begitu, para nabi, para malaikat dan sesetengah manusia tidak dilakukan timbangan amal kepada mereka.

11. Sirat
Selepas hisab dan mizan, manusia akan beredar untuk melintasi sebuah jambatan yang direntangkan di atas neraka Jahanam. Jambatan ini dikenali sebagai sirat. Kesemua manusia tidak terkecuali seorangpun akan melintasi sirat. Mereka termasuklah golongan para nabi dan lain-lainnya. Ada di kalangan mereka yang melintasinya dengan cepat seperti kilat, angin, kuda, berlari dan ada yang merangkak. Ini berlaku berdasarkan amalan masing-masing. Di antara mereka ada yang selamat sehingga ke penghujungnya dan ada yang tergelincir ke dalam neraka Jahanam.

12. Syurga dan Neraka
Kemuncak dari peristiwa yang dilalui semasa kiamat ialah syurga dan neraka. Ia diciptakan untuk menjadi tempat pembalasan baik dan buruk. Syurga ialah Tempat pembalasan yang dipenuhi dengan nikmat yang kekal abadi  yang  disediakan oleh Allah untuk hamba-hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh selepas  mereka dibangkitkan semula pada hari akhirat. Neraka pula ialah tempat balasan  seksa yang kekal abadi di akhirat yang disediakan oleh Allah  kepada orang kafir dan orang Islam yang melakukan dosa. Kewujudan syurga dan neraka mendahului kewujudan mereka yang bakal menghuninya. Ia kekal dan tidak akan dibinasakan. Syurga dan neraka merupakan tempat pembalasan yang abadi dan para penghuninya tidak akan mati selama-lamanya. Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud :
Apabila ahli syurga telah masuk ke dalam syurga dan ahli neraka masuk ke dalam neraka, dibawalah mati sehingga diletakkan di antara syurga dan neraka, kemudian mati itu disembelih. Lalu seorang penyeru menyeru : Wahai ahli syurga, tidak ada mati. Wahai ahli neraka, tidak ada mati. Maka bertambahlah kegembiraan ahli syurga dan bertambahlah kesedihan ahli neraka.”
(Riwayat Al-Bukhari)
TANDA-TANDA KECIL KIAMAT
1.      Urusan agama ditadbir oleh orang yang bukan ahlinya.
2.      Wanita menyerupai lelaki dan lelaki menyerupai wanita.
3.      Amalan riba' berleluasa.
4.      Maksiat berleluasa.
5.      Banyak berlaku peperangan, pembunuhan dan fitnah.
6.      Banyak berlaku bencana alam.
7.      Wanita lebih ramai dari lelaki.
8.      Ramai wanita mendedahkan aurat.
9.      Anak derhaka kepada ibunya.
10. Manusia berlumba-lumba membina bangunan tinggi.

TANDA-TANDA BESAR KIAMAT
1.      Keluar Dajjal yang akan menyesatkan manusia
2.      Keluar ad-Dabbah al-Ardi (sejenis binatang dari bumi)
3.      Keluar Yakjuj dan Makjuj
4.      Turun Iman Mahadi
5.      Turun Nabi Isa A.S.
6.      Keluar asap tebal
7.      Matahari terbit dari arah Barat

NAMA-NAMA SYURGA
1.      Jannatu Adnin (جَنَّةُ عَدْن) – Syurga tempat tinggal yang kekal
2.      Jannatu Na’im (جَنَّةُالنَّعِيْمِ) – Syurga dipenuhi nikmat
3.      Jannatu Makwa (جَنَّةُالمَأْوَى) – Syurga tempat kembali
4.      Jannatu Firdaus (جَنَّةُ الْفِرْدَوْسِ) – Syurga firdaus
5.      Maqamun Amin (مَقَامٌ اَمِيْنٌ) – Kedudukan yang sentosa
6.      Darul Maqamah (دَارُ الْمُقَامَةِ)  – Rumah yang tenteram
7.      Darul Khulud (دَارُالخُلُوْدِ) – Rumah yang kekal abadi
8.      Darussalam (دَارُالسَّلاَم) – Rumah yang sejahtera

NAMA-NAMA NERAKA
1.      Neraka Saqar (سَقَرْ) – Api yang membakar kulit
2.      Neraka Jahim (جَحِيْم) – Tempat balasan seksa yang abadi
3.      Neraka Sa’ir (سَعِيْر) – Api yang menyala-nyala
4.      Neraka Jahannam (جَهَنَّمَ) – Tempat balasan abadi selepas mati
5.      Neraka Hawiah (هَاِويَةٌ) – Api panas yang membakar
6.      Neraka Laza (لَظَىْ) – Api yang menggelegak
7.      Neraka Hutamah (حُطَمَةٌ) – Api yang dinyalakan

Tiada ulasan: