OLEH SYEIKH MUHAMMAD AL HAFIZ AL TIJANI (SYEIKH TAREKAT TIJANIYYAH MESIR)
BAHAGIAN 1
Al-‘Allamah
al-Muhaddith Sayyidi Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani r.a. (w. 1398H) adalah
syeikh Tariqat Tijaniyyah di Mesir yang masyhur di zamannya. Nama beliau juga
cukup terkenal dalam bidang hadis. Beliau pernah menyebut: “Sesungguhnya antara
kurniaan Allah SWT kepadaku ialah Dia menyangkutkan hatiku dengan kitab-kitab
sunnah yang suci”. Antara guru-gurunya dalam ilmu hadis ialah Syeikh Muhammad
bin Ibrahim al-Samaluti (yang juga merupakan guru Syeikh Muhammad Idris
al-Marbawi), Syeikh Yusuf al-Dijwi, Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari, Syeikh
Ahmad al-Ghumari, Syeikh ‘Abd al-Sattar al-Dihlawi, Syeikh ‘Umar Hamdan
al-Mahrisi, Syeikh Badr al-Din al-Hasani, Syeikh Muhammad ‘Abd al-Hayy
al-Kattani dan lain-lain. Antara karya besarnya dalam bidang hadis pula ialah Tartib
wa Taqrib Musnad Ahmad, Tartib Zakha’ir al-Mawarith, Tartib Takhrij Ahadith
al-Ihya’, Takhrij Jawahir al-Ma’ani, Ta’aqqubat ‘ala Istidrakat al-Zahabi ‘ala
al-Hakim, Takhrij al-Luma’ dan lain-lain.
Meskipun
dalam tulisan ini Sayyidi Syeikh Muhammad al-Hafiz al-Tijani menulis dengan
tujuan untuk mempertahankan Tariqat Tijaniyyah yang diasaskan oleh Syeikh Abu
al-‘Abbas al-Tijani (w. 1230H) dari tuduhan-tuduhan dan tohmahan-tohmahan yang
ditujukan kepadanya. (Lihat juga risalah-risalah beliau bagi mempertahankan Tariqat
Tijaniyyah: 1- al-Intisaf fi Radd al-Iftira’ ‘ala al-Sadah al-Tijaniyyah,
2- I’lan al-Hujjah ‘ala A‘da’ al-Tariqah al-Tijaniyyah, 3- al-Intisaf
fi Radd al-Inkar ‘ala al-Tariq, 4- Bara’ah al-Tariqah al-Tijaniyyah min
Kulli Ma Yukhalif al-Syari‘ah, 5- Ta’wil al-Musytabah fi Kutub al-Sadah
al-Tijaniyyah, dan 6- Khurafah al-Bara’ah min al-Tariqah al-Tijaniyyah).
Namun, isi
sebenarnya secara umum turut menyentuh tentang kesalahfahaman terhadap golongan
ahli sufi dan juga iktikad-iktikad yang benar dalam ilmu tasawuf. Ia dianggap tulisan terbaik Syeikh Muhammad Al-Hafiz al-Tijani. Justeru,
jika ada tersalah dan tersilap nukilan atau terjemahan, mohon diperbetulkan.
Tulisan Syeikh Muhammad Al-Hafiz al-Tijani ini telah diterbitkan dalam majalah
al-Fath di Kaherah, bil. 418, pada tarikh hari Khamis, 16 Rajab 1353 H. Teksnya
telah dikutip dari laman rayaheen.net daripada pautan
Kata beliau selepas tahmid dan selawat:
Sesungguhnnya saya mengisytiharkan bahawa kami tidak beriktikad bahawa
Rasulullah SAW telah menyembunyikan sesuatu daripada apa yang telah
diperintahkan kepada baginda agar menyampaikannya. Dan mustahil baginda
diperintahkan untuk menyampaikan sesuatu wirid, atau selawat al-Fatih, atau
lain-lainnya, atau untuk menerangkan kelebihannya, tetapi baginda
menyembunyikannya. Sesiapa yang percaya kenyataan sedemikian, maka dia adalah
kafir kepada Allah dan Rasul-Nya, tidak akan diterima daripadanya amalan yang
fardu mahupun yang sunat.
Saya tidak tahu bagaimana boleh masuk akal yang baginda telah
menyembunyikan wirid tersebut, iaitu istighfar, selawat ke atasnya SAW dengan
mana-mana lafaz, serta kalimah la ilaha illaLlah. Sedang selawat
al-Fatih telahpun wujud sebelum Syeikh Abu al-‘Abbas al-Tijani serta masyhur,
maka tidak sahih sama sekali yang ianya telah disimpankan untuk beliau, malah
tidak sabit perkara sedemikian daripada beliau. Kami tidak beriktikad bahawa di
sana selepas Rasulullah SAW terdapat suatu syariat baru dalam apa jua bentuk
sekalipun. Dan apa yang dibawa oleh baginda SAW mustahil untuk dimansuh
sebahagian daripadanya, atau ditambah sesuatu terhadapnya. Sesiapa yang
mendakwa sedemikian, maka dia adalah kafir terkeluar daripada agama Islam.
Sesungguhnya kami, meskipun kami berpendapat harus seorang wali itu melihat
Rasulullah SAW dalam keadaan jaga, tetapi kami menganggap hukumnya adalah sama
seperti hukum mimpi tidur yang benar. Tidak dapat dipegang kecuali atas
apa yang menepati syariatnya SAW. Penyaksian-penyaksian para wali itu bukanlah
suatu hujah, tetapi yang menjadi hujah adalah syariat Muhammad SAW. Adapun
penyaksian-penyaksian tersebut, hanyalah berita-berita gembira yang terikat
dengan syariat baginda yang mulia; apa yang diterima olehnya kami juga
menerimanya dan apa yang tidak diterima olehnya, maka mazhab kami adalah
bersangka baik padanya. Maka kami hukumkannya seperti hukum mimpi yang
tertakwil.
Kita tidak ragu lagi bahawa kebanyakan mimpi itu perlu kepada
takwil/tafsir. Namun, kami memilih bersangka baik kerana seorang mukmin yang
bersaksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan bahawa Nabi Muhammad itu adalah
utusan Allah SWT, dan ia sayang terhadap agamanya, serta patuh mengikutinya,
kami menolak bahawa ia sengaja berdusta ke atas Rasulullah SAW. Keadaan berjaga
dalam perkara ini adalah sama seperti keadaan tidur, sedang dia membaca sabdaan
baginda SAW: “Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka hendaklah
dia menempah tempat duduknya daripada api neraka”.
Dan kami tidak mengkhususkan seorang pun dari kalangan para solihin dengan
kedudukan sedemikian, bahkan ia di sisi kami adalah umum pada setiap apa yang
dinukilkan daripada mereka. Berapa banyak perkara-perkara samar dan syatahat
(latahan) telah dinukilkan daripada para syeikh, sama ada dalam hal ini tariqat
Maulana Syeikh ‘Abdul Qadir al-Jailani mahupun lain-lainnya. Dan para ulama
telah memberi keuzuran buat mereka serta menolak wajah yang bertentangan. Tidak
sunyi kitab-kitab mana-mana tariqat pun daripada perkara-perkara samar dan syatahat
ini. Kesemuanya adalah tertakwil. Kami tidak beriktikad bahawa hanya
semata-mata dengan penyaksian salah seorang dari kalangan para solihin itu
sudah mencukupi bagi keselamatan seseorang individu. Akan tetapi yang dapat
menyelamatkannya ialah iman dan amalan soleh. Firman-Nya SWT: “Dan bahwasanya
seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya” (al-Najm:
39).
Kami berpendapat bahawa berkumpul dengan para solihin berserta mahabbah
yang benar ikhlas itu akan mendorong kepada kebaikan pada kebiasaannya. Oleh
yang demikian, syarak telah menggalakkan supaya sentiasa berdamping dengan
mereka, dan menerangkan bahawa ia adalah di antara sebab-sebab taubat. Hadis
tentang orang yang membunuh sembilan puluh sembilan jiwa, dan kemudian dia
meminta untuk bertaubat, lalu ditunjukkan oleh seorang pendeta kepada
sekumpulan para solihin agar ia berdamping dengan mereka, lalu ia pun mati
sebelum ia sempat sampai kepada mereka, namun Allah merahmatinya dan menerima
taubatnya, adalah sabit di dalam kitab al-Sahih. Demikian juga
hadis tentang sahabat yang baik/soleh.
Kami percaya bahawa di antara sebesar-besar kekufuran ialah seseorang itu
mempercayai bahawa selawat al-Fatih, atau lain-lain selawat ke atas baginda SAW
dapat menyamai kelebihannya dengan mana-mana ayat daripada al-Quran. Justeru, bagaimana ia dapat melebihinya?! Maka bagaimana
pula dengan satu surah?! Dan bagaimana pula dengan keseluruhan al-Quran?! Kami
tidak beriktikad bahawa selawat itu adalah daripada al-Quran sebagaimana yang
didakwa oleh si-pendakwa, dan bukan juga daripada hadis qudsi, ataupun daripada
mana-mana bahagian wahyu kenabian kerana yang demikian itu telah pun terputus
dengan kembalinya baginda SAW ke al-Rafiq al-A’la. Apa yang dinyatakan
tersebut di sisi kami, ianya adalah daripada ilham yang sabit bagi para
awliya’.
Kami tidak beriktikad bahawa ianya menyamai kalimah yang mulia (لا إله إلا
الله)
"Tiada tuhan melainkan Allah". Tidak mungkin Syeikh al-Tijani
berpendapat dengan mansuhnya berzikir dengan al-asma’ (nama-nama Allah),
maka yang demikian ini adalah batil. Sedangkan kami, dan bagi Allah segala
pujian, mengingati Allah ‘azza wajalla dengan nama-nama-Nya, dan kami
sentiasa memelihara tasbih dan tahmid, berqiamullail, dan semua perkara-perkara
sunat serta zikir-zikir yang warid di dalam syariat, serta kami menggalakkan ia
diamalkan.
Kami tidak beriktikad bahawa hanya semata-mata dengan mengambil wirid akan
memasukkan seseorang itu ke syurga sama ada dengan hisab ataupun tanpa hisab.
Ini kerana syaratnya ialah mesti memelihara kesemua perintah-perintah syarak
dari segi ilmu dan juga amal. Apakah dia wirid itu? Iaitu beristighfar,
berselawat ke atas Nabi SAW, dan kalimah (لا إله إلا الله) “tiada tuhan melainkan Allah”, sesudah melaksanakan
kewajipan-kewajipan yang dituntut oleh Allah SWT.
Dan tidak ada, sama ada Syeikh al-Tijani atau seseorang pun selain dari
para sahabat Rasulullah SAW yang dapat mencapai martabat para sahabat baginda
SAW. Maka bagaimana pula dengan para nabi AS? Dan bagaimana pula dengan nabi
penghulu seluruh makhluk SAW?
Seseorang wali itu, walau bagaimana tinggi sekalipun martabatnya adalah
mustahil ia dapat mencapai dalam ilmu ketuhanan ke puncak martabat mana-mana
nabi pun. Sesiapa yang mendakwa sedemikian, maka dia adalah sesat lagi menyesatkan
orang lain. Kami percaya bahwa termasuk di antara kesesatan ialah seseorang
hamba itu berasa selamat dari azab Allah SWT walaupun datang berderet-deret
kepadanya berita-berita yang gembira. Sesiapa yang bergantung kepada amalannya,
atau sandarannya kepada mana-mana individu dan meninggalkan beramal, maka yang
demikian itu adalah tanda kerugian yang nyata. Wal ‘iyazu biLlah, semoga
mendapat perlindungan dari Allah Taala.
Kami percaya bahawa di antara syirik yang paling keji sekali ialah
seseorang itu mempercayai bagi sesiapa pun bahawa ia mempunyai kuasa tadbir
bersama-sama Allah, ataupun selain-Nya SWT. Bagaimanapun, apa
yang kami nyatakan ialah seseorang hamba itu boleh sampai kepada suatu
kedudukan mahbubiyyah (cinta) di sisi Tuhannya ‘azza wajalla di
mana al-Haq Taala bertindak padanya, lalu Dia mengikat hatinya. Maka dia tidak
memohon kepada-Nya melainkan hanya apa yang telah didahului oleh kehendak-Nya
yang azali SWT. Inilah yang kita fahami dalam sabdaan baginda SAW:
“Sesungguhnya dari kalangan hamba-hamba Allah itu ada orang yang jika ia
bersumpah atas nama Allah, nescaya Dia akan memperkenankannya”. Juga dalam hadis
qudsi: “Dan jika dia meminta kepada-Ku, nescaya Aku akan memberinya”. Inilah
yang biasanya berlaku (di kalangan wali-wali Allah). Namun adakalanya ia
memohon kepada Tuhannya ‘azza wajalla, namun Dia tidak pun memberinya,
kerana apa yang dikehendaki oleh Allah itu pasti akan berlaku, bukan menurut
apa yang dikehendaki oleh yang selain-Nya.
Kami beriktikad bahawa Allah SWT tidak menyuruh melakukan perkara yang
keji, zalim, mahupun kekufuran, meskipun memang tidak berlaku di dalam
kerajaan-Nya kecuali apa yang Dia kehendaki. Dan sesungguhnya golongan kafir
itu adalah musuh-musuh Allah sepertimana firman-Nya SWT: “Sesungguhnya Allah
tidak suka kepada orang-orang yang kafir”, walaupun kewujudan dan pengazaban
mereka itu adalah apa yang dikehendaki oleh-Nya SWT. Dan tidak mungkin pula
pengazaban mereka itu adalah sia-sia, akan tetapi ia adalah intipati keadilan
dan hikmah/kebijaksanaan. Sesungguhnya mereka itu telah hak ke atas mereka
firman-Nya ‘azza wajalla: “Merekalah orang-orang yang berputus asa dari
rahmat-Ku”, “Mereka kekal di dalamnya selama-lamanya, tidak akan diringankan
daripada mereka dari azabnya”. Maka azab kekufuran itu tidak akan dikurangkan,
firman Allah Taala: “Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa syirik, dan
Dia akan mengampuni segala dosa yang selain dari (syirik) itu, bagi siapa yang
Dia dikehendaki” (al-Nisa’: 48).
Tidak wajib sifat maksum itu melainkan hanya bagi nabi. Adapun para
awliya’, maka harus berlaku ke atas mereka semua perbuatan-perbuatan maksiat
(selain dari kekufuran). Allah juga boleh memelihara
sesiapa yang dikehendaki-Nya dari maksiat dari kalangan mereka, namun tidak
wajib yang demikian itu pada hak selain dari para nabi AS. Dan sesiapa yang
mempercayai pada Allah ‘azza wajalla hulul (inkarnasi) atau ittihad
(kesatuan makhluk dengan Khaliq), atau percaya bahawa sesuatu makhluk itu
adalah zat Allah, atau padanya terdapat satu sifat daripada sifat-sifat-Nya,
atau menyamakan-Nya dengan makhluk-Nya, atau menyamakan makhluk-Nya dengan-Nya,
atau mengingkari suatu perkara penting yang mesti maklum diketahui dalam agama,
atau mentakwilkannya dengan suatu gambaran yang menyalahinya seperti orang yang
percaya dengan penjelmaan semula roh dan mendakwa bahawa itu adalah makna
kebangkitan, atau mengikuti suatu pegangan daripada pegangan-pegangan golongan
bidaah, maka dia adalah orang yang sesat lagi menyesatkan.
BAHAGIAN 1
Tiada ulasan:
Catat Ulasan