Adalah hukum itu ertinya menetapkan atau menafikan
sesuatu perkara.Terbahagi hukum itu kepada tiga bahagian iaitu:-
1)Hukum syarak. Iaitu menetapkan atau menafikan
sesuatu dengan berpandukan syarak iaitu Al Quran dan hadis.Contohnya menetapkan
wajib solat lima waktu , haram minum arak dan lain – lain.
2)Hukum adat. Iaitu menetapkan atau menafikan
sesuatu dengan berpandukan percubaan dan pemerhatian.Contohnya menetapkan api
itu membakar , pisau dapat memutuskan , makanan dapat mengenyangkan dan
sebagainya.Kesemua yang tersebut adalah berdasarkan pemerhatian dan percubaan.
3)Hukum akal. Iaitu menetapkan atau menafikan
sesuatu tanpa berpandukan syarak dan tanpa membuat pemerhatian terlebih dahulu
sebaliknya hanya berpandukan akal.Contohnya, menghukumkan wajib bagi sesuatu
itu salah satu daripada dua perkara samada ia bergerak atau diam. Mengetahui
hukum akal sangat penting di dalam mempelajari ilmu tauhid kerana perbahasan
ilmu tauhid banyak berkisar kepada Zat dan Sifat Allah yang mana tidak dapat
kita menghukumkan Zat dan Sifat Allah itu melainkan dengan akal.Jika
dipersoalkan bukankah Zat dan Sifat Allah telah termaktub di dalam Al Quran dan
hadis sehingga tidak lagi berhajat kepada akal bagi menetapkannya?Maka kita
jawab, dengan mengatakan hajat manusia kepada akal di dalam menetapkan sifat –
sifat Allah adalah sentiasa tetap berlaku walaupun sifat – sifat Allah telah
pun dinyatakan di dalam Al Quran dan hadis kerana manusia tidak mampu untuk
membenarkan apa yang dinyatakan oleh Al Quran dan hadis itu jika tidak dengan
menggunakan akal.Malahan Al Quran itu sebagai mukjizat yang maknawi tidak akan
terserlah kemukjizatannya jika tidak dihalusi melalui pengamatan dan penelitian
akal.Banyak ayat – ayat Al Quran yang menyeru manusia agar menggunakan akal
terutama di dalam mencari kebenaran.Misalnya firman Allah: ﻔﺎﻋﺘﺑﺭﻮﺍﻳﺎﺃﻮﻟﻰﺍﻷﻟﺑﺎﺐ
Ertinya :maka insaflah dan ambilah pelajaran (dari
peristiwa itu) Wahai orang-orang Yang berakal fikiran serta celik mata hatinya.
Di dalam sepotong hadis
Rasulullah saw bersabda:
ٱلدين هوالعقل لا دين لمن لا عقل له
Ertinya : Agama itu adalah akal , tidak ada agama
bagi orang yang tidak berakal.
Para ulama telah berselisih pendapat di dalam
menentukan peranan akal di dalam agama.Menurut Mazhab Asy’ariah , semua hukum
agama baik yang berupa soal – soal keimanan dan soal – soal syariat dibinakan
atas landasan syarak iaitu Al Quran dan hadis tetapi syaratnya adalah
akal.Menurut Mazhab Maturidiah yang dianuti oleh kebanyakan pengikut – pengikut
Hanafi terdapat perincian yang mana mereka berpegang bahawa di dalam soal –
soal ketuhanan akal berperanan sebagai penetap hukum kerana soal – soal
ketuhanan adalah soal yang nyata bagi semua manusia yang berakal dan syarak
yakni Al Quran dan hadis hanya sanya datang untuk menguatkan apa yang telah
ditetapkan oleh akal.Adapun di dalam perkara lain seperti soal – soal syariat
(hukum – hakam) dan sam’iyat (perkara – perkara ghaib) maka tidak dapat tiada
ianya dibinakan atas landasan Al Quran dan hadis semata – mata. Dengan itu
dapat dibuat kesimpulan bahawa samada akal sebagai syarat atau sebagai penetap
hukum kedua - dua mazhab tersebut ijmak bahawa akal adalah memainkan peranan
yang penting di dalam soal – soal ketuhanan seperti yang dibahaskan di dalam
ilmu tauhid.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan