Catatan Popular

Sabtu, 27 Mei 2017

NOVEL ALLAH HANYA PADA NAMA SIRI 9 (NOVEL HAKIKAT)

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wassalam pernah bersabda, Barangsiapa menempuh satu jalan untuk mencari sesuatu ilmu pengetahuan di situ, maka Allah akan memudahkan untuknya suatu jalan untuk menuju syurga, dan sesungguhnya para malaikat itu nescayalah meletakkan sayap-sayapnya kepada orang yang menuntut ilmu itu. Hadis ini di riwayatkan oleh Imam Abu Daud dan Imam Tirmidzi.

Imam Malik bin Anas pernah berkata, Ilmu itu bukanlah banyaknya riwayat, tetapi ilmu itu adalah cahaya yang Allah SWT telah tanamkan di dalam hati.

Hati yang suci bersih menjadi bekas yang sesuai untuk menerima pancaran Nur Ilahi. Hati yang dipenuhi oleh Nur Ilahi mampu menerima Nur Ilmu dari alam ghaib. Nur Ilmu yang dari alam ghaib itu membuka hakikat alam dan hakikat Ketuhanan. Hati yang menerima pengalaman hakikat memancarkan nurNya kepada akal. Akal yang menerima pancaran Nur Hati akan dapat memahami perkara ghaib yang dinafikan oleh akal biasa. Bila hati dan akal sudah beriman hilanglah keresahan pada jiwa dan kekeliruan pada akal. Lahirlah ketenangan yang sejati.

Bagaimana pula dengan huruf Kaf, Ha, Ya, Ain, Sod, Nun dan apa maksudnya? Apa pula maksud yang tersirat disebalik Kalimah Syahadah dan apa maksud tersirat disebalik Allah Hu Akhbar dan Bismillah? Itu saja 30 tahun pun tak habis kalau nak diceritakan dan apatah lagi Al-Fatihah itu sendiri yang penuh dengan rahsia diri dan alam. Ya betul, Al-Fatihah yang kita selalu baca ketika mendirikan solat. Tahukah kamu didalam mendirikan solat itu ada 3 hukum sekali gus kalian bawa bersama? Apakah 3 hukum itu? Tidak perlulah aku jelaskan.

Dan setiap huruf seperti Alif, Ba, Sim semuanya ada makna didalam ilmu hakikat dan tidak terhad kepada nahu sahaja. Kerana bila kita ingat dan faham maka kita mengerti bahawa Allah sentiasa bersama kita dan kenal diri sendiri.

Dan segalanya menjadi lebih dalam dan dalam dan dalam lagi ..infiniti.. seperti mengupas kulit bawang, sehelai demi sehelai sehingga akhirnya ... tiada.. kosong... Lenyaplah dalam diri sendiri dan apabila seseorang itu betul-betul dengan ikhlas menuju Allah dan mati dalam diri sendiri, maka Allah akan ditemui.

Masih ingatkah lagi kita pernah bersua denganNya di satu tempat yang lapang yang tidak ada apa-apa, tidak ada barat, tidak ada timur, tidak ada selatan dan tidak ada utara. Yang ada hanya Dia.. iaitu bila kita tiada.. Aku yakin orang yang pernah berjumpa dan ingat dengan Tuhannya akan terus mencariNya.

Dan dalam pencarian ini aku tidak mengharapkan syurga kerana Dia adalah lebih dari itu. Diatas muka bumi ini perlulah kita melakukan penafian diri akan wujudnya kita dan keAkuan kita dalam semua hal bahawa kita yang buat itu dan ini, kita yang menaip, kita yang membaca.. nafi kan lah diri dengan banyakkan berzikir Laillahaillaallah.

Tidak ada apa-apa dalam dunia ini yang boleh mencari jalan kesana kecuali “tidak ada diri” hanya Allah dan serulah Dia dan kita akan ditempatkan dalam keadaan “tidak ada diri” (fana).

Oleh itu, perlu ada keberanian jika ingin menyelam lebih dalam kerana jika lemas perlu redha lalu berserah dan hanya Allah yang membawa diri ini kembali kedaratan. Kerana ilmu hakikat adalah ilmu tentang Sir atau Sirusir/Rahsia atas rahsia ataupun Rahsia dalam rahsia.

Aku mula mengenal nur Allah dan nur Muhammad yang main sembunyi-sembunyi tu. Aku mengerti yang Tuhan itu hampir seperti dekatnya mata hitam dan mata putih kita. Aku mula mengerti dan dapat membezakan apa yang dikatakan Jasad, Roh, Nyawa dan Rahsia kerana diri ini terdiri dari zahir & batin, dan zahir itu tidak boleh wujud tanpa yang batin.

Seperti sebatang rokok yang dinyalakan, melengkapkan unsur-unsur alam seperti air, angin, api dan tanah dan setelah habis rokok itu dihisap tadi kemana perginya zahir rokok itu tadi?

Seperti pemetik api ataupun Lighter, jika kita petik, ia akan menyalakan api. Memang benda ini budak darjah satupun tahu. Tapi persoalannya, ketika api itu dinyalakan, lalu datang angin sempoi meniup lembut memadamkan api itu. Jadi kemanakah hilangnya api tadi? Kemanakah api itu pergi? Perlu berfikir.

Perlu juga kita mengkaji dan mengenal sifat air, angin, tanah dan api, kerana unsur tersebut ada didalam diri kita.

Banyak juga aku belajar pasal zikir dan cermin diri sendiri kerana cermin itu tidak pernah berbohong. Cubalah pejamkan mata, bolehkah kita melihat wajah diri sendiri?

Kita boleh melihat diri orang lain (ibu, ayah, anak, adik, kakak, abang, isteri, sahabat) namun diri sendiri tidak dapat kita lihat, nak lihat kenalah gosok, jangan tak gosok. Gosok sampai berkilat sehingga nampak wajahmu. Sayangilah diri sendiri. Berilah pujian pada diri. Bukan senang nak zikir ni melekat dihati.

Pernah aku henjut beribu-ribu zikir di atas sejadah. Namun begitu, bila dah layan zikir beratus ribu tu dalam keadaan kusyuk, macam-macam gangguan yang datang seperti berjumpa dengan guru-guru ghaib guru-guru sufi dan tok wali yang muncul secara mimpi atau pun nyata.

Hati-hati dengan tipu daya syaitan kerana perjalanan spiritual penuh dengan cabaran mistik. Dan disitulah perlunya ada ilmu syariat untuk mengenal yang mana haq dan yang mana batil. Ada ramai juga ahli hakikat yang meninggalkan solat kerana mengambil jalan mudah dengan mengambil pengertian hakikat tentang mendirikan solat hanya dengan mengingat Allah dengan berzikir iaitu Sollahudaim.

Perlu diingat bahawa kita ini hidup dengan jasad dan janganlah lupakan yang zahir kerana ilmu hakikat adalah isi dan tanpa membawa syariat umpama kita menunjukkan aurat kita tanpa memakai pakaian untuk menutupi aurat diri.

Dalam pada itu banyak juga guru sufi lain yang juga sempat aku jumpa dan berguru namun ceritanya hampir sama iaitu berkisar dengan Zat, Sifat, Asma' dan Afa'al Allah dalam mengenal Allah.

Sebenarnya, ramai lagi sahabat dan kenalan dalam bidang ni yang banyak menolong aku dalam perjalanan ilmu Tasawuf ni. Mereka ini memang cool, penyabar dan tidak suka menonjol diri tetapi penuh ilmu didada.

Tapi masing-masing entah hilang ke mana. Hampir 15 tahun aku tidak berjumpa dengan sahabat karib yang pernah belajar bersamaku dulu. Mungkin mereka sedang sibukkan diri dengan penciptaNya. Ada juga yang seseorang itu seakan-akan sama perjalanannya macam kita, tetapi dia agak ke kiri sedikit. Hah yang itu bahaya.

Namun ada juga seseorang itu berbeza perjalanannya macam kita, tetapi tujuannya satu iaitu menuju kehadrat Ilahi. Tidak semua perjalanan kita semua sama. Yang sama adalah yang hendak dituju itu kepada 'siapa'.

Bila kenal akan Muhammad maka bawalah sifat mulia Muhammad seperti siddiq, amanah, tabligh, fatonah dan sampaikanlah pesanan penaja itu walaupun sepatah ayat. Mereka hanya ada satu tekad iaitu Allah.

Umpama minyak dan air yang tak akan bercampur namun jika diletak kedalam bekas yang jernih tapi masih mampu dibezakan air dan minyak seperti adanya yin dan yang itu dimana dalam hitam itu ada putih dan dalam putih itu ada hitam namun keduanya duduk didalam satu kesatuan.

Seperti syariat dan hakikat dimana syariat itu seperti mengikuti dan menuruni anak sungai turun ke laut namun hakikat adalah menyusuri punca sungai itu dan mencari punca air itu.


Tiada ulasan: