Tsa’labah merupakan seorang sahabat Nabi SAW. Nama sebenarnya ialah Tsa’labah
bin Abdul Rahman, remaja berusia 17 tahun yang ada misi dan visi yang hebat,
terang lagi jelas. Tiada suatu pun yang mampu membuatkan matlamat hidupnya
goyah sehinggalah menghembuskan nafas yang terakhir.
Setelah
memeluk Islam, beliau selalu mengikuti Rasulullah SAW mengajar. Jika Rasulullah
berhajatkan sesuatu, Rasulullah SAW akan khabarkan kepada Tsa’labah dan beliau
akan menunaikannya.
Suatu hari
Rasulullah menyuruh Tsa’labah mencari sesuatu. Ketika dalam pencarian barang
yang dihajati Rasulullah itu, Tsa’labah telah melalui beberapa deretan buah
rumah.
Tanpa
disangka salah sebuah rumah yang dilaluinya itu pintu belakang rumah tersebut
tiba-tiba terbuka ditiup angin. Ketika itulah Tsa’labah secara tidak sengaja
terpandang ke dalam bilik air rumah tersebut dan terlihatlah oleh beliau
seorang perempuan sedang mandi.
"A'uzubillah (Aku berlindung kepada Allah)! Ya
Allah aku takut nanti malaikat Jibril memberitahu kepada Rasulullah SAW! Ya
Allah, aku takut turunnya ayat quran yang menyenaraikan aku dalam golongan
orang yang berbuat dosa! Ya Allah ..."
begitulah rintihan Tsa’labah.
Dia merintih sehingga dia lupa akan barang yang dipesan oleh Rasulullah
SAW. Dia melarikan diri dan terjumpa satu bukit di pinggir Madinah yang di
puncaknya ada sebuah gua. Tsa’labah masuk ke dalam gua tersebut dan asyik
menangis. Merasa kesal yang amat sangat dengan dosanya itu. Walhal apa yang
berlaku itu bukanlah disengajakannya.
Sementara itu, Rasulullah SAW menantikan kepulangan Tsa’labah. Sudah
beberapa hari berlalu, namun Tsa’labah tidak balik. Lalu Rasulullah SAW
mengarahkan Syaidina Umar RA untuk mencari Tsa’labah.
Akhirnya Syaidina Umar al-Khatab berjumpa Tsa’labah di tempat
persembunyiannya di puncak bukit itu.
Umar berkata "Tsa’labah, Rasulullah
mahu berjumpa kamu."
"Kenapa? Sudah turunkah ayat al-Quran tentang
dosaku? Sudah beritahukah Jibril kepada Rasulullah? Aku tidak mahu masuk
neraka, aku tidak mahu masuk neraka," kata Tsa’labah
dalam ketakutan yang amat sangat.
Oleh kerana Tsa’labah sudah teramat lemah, lalu Syaidina Umar RA
memimpinnya pulang ke rumah. Apabila Rasulullah SAW menziarahi Tsa’labah,
Tsa’labah sedang terlentang lalu Rasulullah SAW meriba kepala Tsa’labah.
Tetapi Tsa’labah mengetepikan kepalanya. Rasulullah bertanya, "kenapa wahai Tsa’labah?"
"Wahai Rasulullah, kepala yang penuh dosa ini
tidak layak untuk berada di ribamu," kata
Tsa’labah.
"Apa yang kamu mahu Tsa’labah?"
"Ya Rasulullah, aku mahukan keampunan
Allah"
"Apa cita-cita kamu wahai Ta'labah?"
"Cita-cita aku hanya syurga Allah. Tolonglah
doakan moga Allah mengampunkan dosa-dosaku."
Lalu Rasulullah SAW berkata, "wahai
Tsa’labah aku menjamin kepadamu apa yang kamu mahu dan cita-citamu. Inilah
bukti taubatmu."
Tidak lama selepas itu, Tsa’labah menghembuskan nafasnya yang terakhir di
atas riba Rasulullah SAW.
Ketika jenazah Tsa’labah siap dikafan dan tiba masa untuk dikebumikan,
Rasulullah SAW pun datang tetapi agak lewat. Para sahabat membuka jalan kepada
Rasulullah untuk rapat ke kubur Tsa’labah. Sungguh pun begitu, Rasulullah
berjalan merapati kubur Tsa’labah dalam keadaan perlahan dan seperti
tersekat-sekat.
Sahabat-sahabat bertanya, "wahai
Rasulullah, kami telah membuka jalan, mengapa Rasulullah berjalan dengan tidak
selesa?"
Rasulullah menjawab, "kamu tidak dapat
melihat betapa ramainya malaikat yang hadir menghantar Tsa’labah ke
kubur."
Itulah kisah hidup seorang remaja hebat bernama
Tsa’labah. Betapa takutnya beliau dengan azab Allah SWT walaupun beliau tidak
sengaja terpandangkan perempuan yang sedang mandi. Hingga menyebabkan beliau
begitu malu bertemu Rasulullah, begitu mengharap keampunan Allah SWT, dan
akhirnya menghembus nafas terakhir di ribaan insan mulia bernama Muhammad bin
Abdullah, dan jasadnya diiringi malaikat ke kuburan.
Alhamdulillah.
Moral dari kisah remaja bernama Tsa’labah ini, betapa dengan hanya
terpandangkan wanita mandi itu pun dirasakan ia sudah berdosa besar dan tidak
layak diribai oleh Nabi. Bagaimana pula dengan kita?
Layakkah???
Marilah kita menyesal dan bertaubat terhadap segala dosa yang tidak
disengajakan apatah lagi yang sengaja, dengan taubat yang sebenar ’taubatan nasuha’. Semoga kita termasuk
dalam golongan yang diterima taubatnya oleh Allah SWT, Amin.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan