Kisah ini diceritakan sendiri oleh Atha' bin Al-Azraq.
Pada suatu hari isteri Atha' menyuruhnya pergi ke pasar untuk membeli gandum kerana gandum di rumahnya telah habis. Setelah isterinya memberi wang sebanyak 2 dirham, Atha' mengambil karung guni dan berjalan menuju ke pasar.
Di dalam perjalanan dia mendapati seorang hamba
sahaya sedang menangis. Orang ramai yang lalu lalang di situ tidak mempedulikan
hamba tersebut. Oleh kerana kasihan melihat keadaan hamba tersebut, Atha'
menghampiri hamba yang sedang menangis itu lalu bertanya: "Kenapa kamu
menangis di tepi jalan ini?" Hamba itu menjawab: "Saya diberi wang
sebanyak 2 dirham oleh tuan saya supaya membeli barang keperluan di pasar.
Apabila tiba di sini, saya dapati wang itu sudah tiada." Hamba tadi
menangis lebih kuat lagi seraya menyambung: "Mungkin wang itu tercicir
semasa dalam perjalanan kemari."
Atha' bertanya lagi: "Kenapa kamu tidak pulang
saja dan memberitahu tuanmu tentang kehilangan wang tersebut?."
Sambil menangis hamba tadi menjawab: "Jika saya
pulang dan memberitahu tentang kehilangan wang tersebut, tentulah saya dimarahi
dan dipukul dengan teruk". Atha' merasa simpati di atas penjelasan hamba
itu lalu berkata: "Ambil wang ini dan belilah barang-barang yang dipesan
oleh tuanmu." Hamba tadi mengambil wang itu dan mengucapkan terima kasih
kepada Atha' lalu beredar dari situ menuju ke pasar untuk membeli barang-barang
yang dipesan oleh tuannya.
Setelah hamba tadi beredar dari situ Atha' berfikir
sendirian: "Bagaimana aku hendak membeli gandum yang dipesan oleh isteriku
sedangkan wang 2 dirham telah aku berikan kepada hamba tadi?" "Dari
mana aku hendak mencari wang sebanyak itu?" katanya lagi. Untuk
menenangkan fikirannya, Atha' menuju ke sebuah masjid yang berhampiran untuk
menunaikan solat sunat. Atha' berada di dalam masjid agak lama, sehingga beliau
sempat bersolat Asar di situ. Beliau berdoa supaya Allah SWT membantunya.
Setelah selesai solat Asar, Atha' menuju ke rumah
kawannya kerana ia takut dileteri oleh isterinya kerana pulang tanpa membawa
gandum yang dipesannya. Pada mulanya Atha' ingin menceritakan dan meminta
bantuan daripada kawannya tetapi apabila tiba di rumah kawannya, ia tidak
tergamak untuk memberitahu hajatnya. Apabila kawannya melihat Atha' membawa
karung kosong, lalu kawannya bertanya: "Apa tu? Karung kosong?" jawab
Atha': "Ya" "Kalau begitu isilah habuk kayu ini dan bawalah
pulang untuk dijadikan bahan bakar," kata kawannya. Tanpa berkata apa-apa,
Atha' terus mengisi karung guni dengan habuk kayu yang diberikan oleh kawannya
dan terus pulang ke rumahnya.
Apabila tiba dirumahnya, Atha' meletakkan guni yang
berisi habuk kayu tadi di rumahnya dan beredar dari situ dengan senyap-senyap
kerana takut isterinya berleter disebabkan karung tersebut telah diisi dengan
habuk kayu. Atha' kemudian menuju ke masjid. Agak lama juga beliau berada di
sana sehingga hampir larut malam barulah dia pulang.
Setibanya di rumah, dia tercium bau harum roti yang
sedang dibakar. Atha' kemudiannya masuk ke dapur dan melihat isterinya sedang
membakar roti lalu berkata: "Harumnya bau roti ini!" Jawab isterinya:
"Memanglah kerana gandum ini dari kualiti yang baik". Atha' bertanya
lagi: "Dari mana kamu dapat tepungnya?" "Dari mana lagi, dari
karung yang awak bawa baliklah!", jawab isterinya. Atha' kehairanan lalu
berkata di dalam hatinya: "Dari mana datangnya gandum itu sedangkan karung
tadi berisi dengan habuk kayu. Ajaib sungguh!"
Atha' bertanya kepada isterinya: "Mana
karungnya? Biar aku lihat.." Isterinya menghulurkan karung tadi dan
dilihatnya. "Memang benar, karung tadi yang berisi habuk kayu telah
bertukar menjadi gandum yang berkualiti baik," kata Atha' di dalam
hatinya. Atha' hanya mampu memandang sahaja sedangkan dia sendiri tidak tahu
dari mana datangnya gandum tersebut.
Begitulah jika kita sentiasa merendah diri, beriman
dan bertawakkal kepada Allah SWT...
Firman Allah SWT: “Dan bertawakkallah kepada Allah.
Dan cukuplah Allah sebagai pemelihara.” (Al-Ahzab: 33)
Allah SWT juga berfirman: “Dan sesiapa yang berserah
diri bulat-bulat kepada Allah sedang ia berusaha mengerjakan kebaikan, maka
sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan yang teguh dan kepada Allah
jualah kesudahan segala urusan.” (Luqman: 22)
Sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud:
“Sungguh,
seandainya kalian bertawakkal kepada Allah dengan sebenar-benar tawakkal,
nescaya kalian akan diberi rezeki sebagaimana rezeki burung-burung. Mereka
berangkat pagi dengan perut lapar, dan pulang petang hari dalam keadaan
kenyang”
[HR.Ahmad,Tirmidzi,Ibnu Majah]
Tiada ulasan:
Catat Ulasan