PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG
INDONESIA)
Kalau kita
suka menurutkan nafsu tahawwur, atau membabi buta itu, timbullah daripadanya
ranting-ranting sifat buruk (mazmumah) yang lain: Sebagai kotor-mulut,
pengumpat, lekas marah, keras kepala, berhati sendiri tidak mengakui kebenaran
orang lain, perajuk, suka memerintah tetapi tak suka mengerjakan, mengecilkan
hati orang, melupakan kesalahan diri, takbur, sombong, ujub dan angkuh.
Seolah-oleh memasang mercun untuk memberitahu kepada seluruh negeri atas
jasa-jasanya, menghinakan orang, dan sifat sifat yang meyerupai itu.
Timbul juga
sifat royal (berlebihan dalam berbelanja), boros dan penabur harta. Timbul
lawannya, iaitu kikir, bakhil, kedekut dan kejam.
Sebentar hendak
membunuh orang, sebentar-sebentar menunjukkan keberanian, salah sedikit sudah
hendak menyentak pisau. Atau timbul lawannya, yakni sangat pengecut, biar
terancam jiwanya, anak isterinya diganggu orang, kampung halamannya dirampas,
saudara perempuannya diganggu, dia tidak peduli. Sedikit ditimpa sakit, memekik
panjang seperti anak-anak.
Timbul sifat
berani mengurus pekerjaan besar, walaupun tidak ahli dan tidak sesuai dengan
kekuatan badan. Atau timbul lawannya apa saja pekerjaan yang akan dilangsungkan,
baik yang semudah-mudahnya, apalagi yang agak sukar, takut menempuh.
Timbul sifat
takbur, sombong dan meninggikan diri, tidak ada yang semulia, segagah,
seberani, sekaya dan melebihi dia, sehingga orang lain tidak dihargainya.
Sifatyang menjadi lawannya, iaitu selalu berkecil hati, berdukacita, rendah
gengsi, kurang darjat, merasa diri sendiri hina, sehingga tidak berani masuk ke
gelanggang ramai.
Segala yang
tersebut itu yang pertama dari penyakit tahawwur dan yang kedua dari penyakit
jubun. Yang pertama dari berani-babi, yang kedua sangat pengecut.
Sebab timbul
keduanya ialah daripada tabiat ghadhab, ertinya marah. Tabiat ghadhab itu mesti
ada pada manusia. Kalau tidak ada tabiat ghadhab, tentu tidak ada pertahanan.
Tidak dapat menusia mempertahankan diri dari serangan dan pelanggaran orang
lain. Marah, ertinya gerakan nafsu (diri), seketika meluap darah jantung dari
suruhan syahwat untuk mempertahankan diri dan untuk melepaskan dendam. Cuma
kemarahan itu tidak boleh timbul kalau tidak pada tempat dan waktunya, itulah
gunanya latihan dan didikan.
Bila
kemarahan telah timbul tidak ditahan dengan fikiran dan akal sebelum dia
menjalar, tidak ubahnya dia dengan api yang membakar, darah naik laksana wap,
memenuhi otak, sehingga gelap.
Menyelubungi
hati sehingga tidak sanggup berfikir. Menyelimuti seluruh urat-saraf, kecil
orang yang memarahi itu dipandangnya. Ketika itu pertimbangan hilang, akal
tertutup, fikir tersentak, angan-angan habis. Sehingga bertemulah sebagai yang
dimisalkan oleh setengah Hukama.
"Orang
yang marah adalah laksana gua batu yang terbakar, api terkurung di dalamnya dan
angin masuk juga mengipasnya sehingga terkumpullah di dalam gua asap dan wap,
yang menambahkan panas. Kedengaran api memakan kelilingnya, habis semuanya jadi
bara. Meskipun diusahakan menyiram, maka air penyiram itu akhirnya akan menjadi
laksana minyak-tanah, menambah kerasnya api".
Demikianlah
kalau kemarahan tidak ditahan sebelum menjalar. Manusia lupa kebenaran, pekak
telinganya meskipun diajari, bahkan kadang-kadang pengajaran yang diberikan itu
menambah marahnya juga.
Sehingga
Hukama berkata pula:
"Lebih
baik sebuah kapal yang dipermainkan gelombang dan kehilangan pedoman, daripada
seorang pemarah. Sebab meskipun kapal itu telah rosak, orang yang melihat masih
sayang dan hiba. Tetapi orang yang marah bertambah ditolong bertambah karam
bertambah diikhtiarkan bertambah jatuh, sehingga jemu orang melihatnya".
Macam-macam
kemarahan. Berbeza tingkatan kemarahan orang menurut perangainya. Kalau
perangai besi, tentu kemarahannya serupa belerang. Belum sampai disentuh api,
sudah terbakar.
Kata
Ghazali:
"Kemerahan
manusia bermacam-macam. Setengahnya lekas marah, lekas tenang dan lekas hilang.
Setengahnya lambat akan marahnya, dan lekas habisnya. Yang terakhir inilah yang
terpuji.
Bolehkah
Kita Marah?
Marah, ada
yang terpuji, yang tercela dan ada yang terlarang.
Ahli tasauf
Islam menerangkan bahawa marah itu terpuji hanya dalam dua perkara saja, iaitu:
Marah
mempertahankan kehormatan.
Marah
mempertahankan agama.
1. Marah
mempertahankan Kehormatan.
Jika anggota
keluarga kita dicemarkan, dihina dan direndahkan orang, kita marah dan membalas
dengan marah dan menuntut pembalasan. Marah yang begini diberi nama ghirah
lissyaraf (cemburu menjaga kehormatan).
Orang yang
tidak marah dalam keadaan seperti ini, hanya diam saja, orang itu bernama
dayus. Kata dayus itu biasa dipakai buat orang yang tebal-telinga, tidak punya
perasaan. Sebab itu, agama Islam meletakkan tanggungan seorang lelaki terhadap
anak isterinya. Disuruh jaga jangan sampai timbul sebab-sebab sesatnya. Islam
memuji orang yang cemburu di dalam menjaga isterinya.
Rasulullah
saw memuji Saad bin Abi Waqas, sebab Saad cemburu. Dia berkata:
"Saad
pencemburu dan Allah lebih emburu daripadanya".
Cemburu
mesti ada pada lelaki, supaya nasab dan turunannya tidak rosak.
Tetapi
lelaki yang mengurung isterinya sampai tak mendapat cahaya matahari, adalah
emburu yang tercela. cemburu menurut aturan, yang kalau terjadi juga
pelanggaran, tidak disesalkan lelaki bersikap keras. Kerapkali hakim-hakim
tidak menghukum sorang lelaki yang membunuh isterinya yang sedang tidur dengan
lelaki lain.
Inilah
sebab-sebab yang menimbulkan adat pingit, hijab atau purdah. Mengurung
perempuan, sehingga tidak mendapat cahaya matahari. Padahal tidak begitu
peraturan agama Islam. Pingit atau mengurung itu tidaklah perlu. Tetapi
berikanlah pendidikan yang baik kepada perempuan sehingga dia dapat menjaga
kehormatan dirinya. Adapun pergaulan secara Barat yang terlalu bebas ini,
disertai pula dengan dansa, minuman keras dan pertemuan-pertemuan yang
menyelimuti nafsu kelamin dengan 'etiket' kulit, janganlah sampai diteladani.
Kerana itu dapat menghilangkan ghairah dan menyebabkan dayus. Lelaki tidak
bergerak lagi hatinya mempertahankan syaraf (kehormatan diri), dan hilang
kuasanya kepada anak dan isterinya, sebab dia sendiri pun berbuat begitu pula
kepada isteri orang lain di hadapan mata anak isterinya.
Pada
negeri-negeri yang berkebudayaan Islam yang belum dirosakkan oleh kebudayaan
Barat, orang tidak merasa hina digantung atau dibuang atau memakai pakaian
orang rantai (orang penjara), kerana membunuh lelaki yang mengganggu anak atau
isteri atau saudaranya. Kerana tidak ada malu yang lebih dari itu. Bila malu
ini tidak ditebus, telah hinalah namanya dan nama keluarganya, turunan demi
turunan. Buat mencuci malu ini tebusannya hanya satu saja, iaitu darah. Sebab
itu, masyarakat ini tidak menghina orang yang membuang atau digantung lantaran
menebus malu itu. Daripada hidup bercermin bangkai, lebih baik mati berkalang
tanah.
Mengapa
sampai begini?
Ialah,
kerana keturunan. Jangan ragu-ragu anak meletakkan 'bin' di hujung namanya.
Menulis siapa dan dari mana keturunannya.
Ucapkanlah
"Selamat Jalan" kepada bangsa yang tidak ada syarafnya lagi.
2. Marah Mempertahankan
Agama (Cemburu Ghairah).
Cemburu di
dalam mempertahankan darjat agama (ghairah aladdin). Rasulullah saw memuki
sahabat-sahabatnya, sebab mereka sangat keras terhadap orang yang ingkar di
samping sangat berkasi-kasihan di antar sesamanya.
Rasulullah
saw bersabda:
"Yang
sebaik-baik umatku ialah yang sikapnya keras di dalam menjalankan hukum agama".
Di dalam
menjalankan hukum (wet) Islam atas orang bersalah, dalam Quran ada diingatkan.
"Jangan
kenal kasihan di dalam menjalankan hukum Allah".
Sesungghpun
begitu jika raja atau hakimm marah kepada seorang yang tertangkap, belum boleh
diperiksa hari itu, melainkan disimpan dahulu dalam tahanan, barang sehari dua.
Supaya tidak sampai hukuman dijatuhkan lantaran kemarahan, kerana diri, tetapi
kerana agama. Marah kerana diri menutup keadilan, dan marah kerana agama
mencari keadilan. Kemarahan dalam agama membolehkan membakar rumah, memotong
pohon yang berbuah dan menganiaya mayat musuh yang sudah mati.
3. Marah
Yang Tercela.
Kemarahan
pada perkara yang masih boleh dimaafkan, misalnya lantaran sebuah piring yang
dipecahkan oleh pembantu. Di sini marah tercela, tetapi tidak terlarang,
melainkan kembali kepada pertimbangan majikan yang punya pembantu, ada juga
pembantu yang berbuat semahunya kalau dimarahi. Ingatlah fatwa setengah Hukama:
"Rosak
budi hamba sahayaku tetapi baik budiku, lebih baik daripda baik budi hamba
sahayaku dan rosak budiku".
4. Marah
Yang Terlarang.
Marah yang
terbit dari takbur dan sombong, congkak dan kebanggaan. Marah yang terbit
lantaran meninggikan diri, hasad, dengki, berebut pengaruh. Kadang-kadang
kemarahan ini hanya untuk kepentingan diri, bukan untuk mendidik dan mengajari.
Untuk penahan kemarahan semacam ini, perlu banyak maaf (hilm) dan banyak
menahan hati (tahallum).
MARAH<>
BIASANYA KALAU terhadap yang disegani menjadikan mendongkol di hati, muka
menjadi muram, marah terrbongkar. Kepada yang sama umur atau darjat, muka
merah, badan gementar, kadang-kadang maju dan kadang-kadang mundur.
Ada juga
yang timbul lantaran pergaulan dengan orang pemarah. Melihat itu kita jadi
pemarah pula. Sebab jika bergaul dengan orang yang tenang dan lemah lembut, si
pemarah ini pun luntur nafsu marahnya.
Apakah
hasilnya marah?
Sesal adalah
hasil marah yang paling nyata. Sebab marah yang meluap-luap ialah penyakit
'gila singgah'. Terlalu marah, boleh membawa mati. Orang yang dapat penyakit
tbc (kolera) dilarang pemarah, sebab dapat membahayakan dirinya.
Akibat suka
marah, ialah: Kawan semakin kurang, yang dibenci bertambah banyak, musuh-musuh
bertambah gembira memperolok-olokkan, orang yang dengki bertambah suka
mempermainkan. Anak-anak suka sekali mencemohkan.
Kerana sudah
terlalu sering keluar perkataan itu, anak-anak yang mendengar berkata pula
kepada temannya yang dimarahi itu:
"Awas
anak... nanti kamu 'ditimbang' dengan kaki kiri oleh pak 'pendekar', nanti
dikirim masuk kolam, jadi ikan. Tidakkah engkau tahu bahawa kakinya amat kuat?
Masyhur ke mana-mana? Boleh memutus batang kelapa?"
Akibat kesombongan dan sering marah pak pendekar menjadi bahan ejekan anak-anak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan