PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
1. Tidak Tahu Hakikat Mati.
Orang takut menghadapi mati kerana 6 (enam) hal.
Mati tidak lebih dari suatu peristiwa jiwa berhenti
memakai perkakasnya, perkakas itu ialah anggota. Jiwa meninggalkan badan
laksana pemandu berhenti memakai mobilnya. Jiwa itu ialah Jauhar. Bukan jisim
dan bukan aradh.
Jauhar.
Jauhar ialah bahagian tubuh yang paling kecil dan
tidak boleh dibagi lagi. Jisim ialah tubuh. Tubuh dapat dibahagi, walaupun
bagaimanapun kecilnya. Dan Aradh ialah sifat yang datang kepada jisim atau
jauhar itu, misalnya kapas terbang. Kapas namanya jisim dan terbang namanya
Aradh. Jauhar kejadian jiwa, berlainan dengan jauhar kejadian tubuh. Sebab
jauhar adalah jiwa bersifat halus dan aib. Jauhar tubuh bersifat kasar. Sebab
itu sangatlah berbeza kelakuan sifat dan perangai jauhar rohani itu dengan
jauhar jasmani. Jika jiwa telah bercerai dengan badan, jauhar jiwa tidaklah
mati, tetapi kembali kepada kekekalannya, terlepas dari ikatan alam zahir.
Kerana jauhar itu tidak fana selama dia masih jauhar, dan zatnya tidaklah akan
habis. Yang habis dan bertukar ialah Aradh yang datang kemudian.
Marilah kita perhatikan jauhar jasmani yang lebih
rendah darjatnya dari jauhar rohani itu, kita selidik dengan saksama. Tidak
akan hilang dan habis dalam hakikat kejauharannya, melainkan berpindah Aradhnya
dari suatu sifat kepada sifat lain. Tetapi kauhar itu masih kekal dalam
kejauharannya.
Misal air, boleh menjadi wap dan boleh menjadi api,
tetapi tiap-tiap jauhar yang berkumpul menjadi air atau menjadi api itu kekal
di dalam kejauharannya.
Demikian keadaan jauhar jasmani. Jadi tubuh kita
sendiri tidak hilang kalau kita mati, tetapi berubah sifatnya dari tubuh
manusia menjadi tanah, atau mengalir ke dalam batang pohon kemboja yang tumbuh
di atas pusara itu. Atau sebahagian dari jantung kita mengalir menjadi sekuntuk
bunga melati yang tumbuh di kuburan. Tetapi jauhar rohani tidaklah menerima
pergantian dan pertukaran sifat, tidak menerima aradh pada zatnya, tetapi
menerima sifat lebih sempurna dan lebih agung. Sebab itu dia tidaklah hilang.
Maha Kuasalah Tuhan yang dapat membangkitkannya pula kelak, menurut asal
kejadiannya.
2. Tidak Insaf Kemana
Sesudah Mati.
Orang takut mati kerana dia tidak tahu ke mana akan
pergi sesudah mati, dan tidak tahu bahawa jiwa itu kekal. Tidak tahu pula
kaifiat dan keadaan hari kemudian. Orang yang demikian, pada hakikatnya
bukanlah takut mati, tetapi tidak tahu barang yang mesti diketahui. Yang
menimbulkan takut, ialah kebodohan. Bagi orang cerdik, kematian itu
mendorongnya menghabiskan umurnya menuntut kemuliaan rohani. Mereka lebih suka
bertanggang (berjaga), tidak tidur sampai larut malam kerana memikir hikmat.
Mereka berkeyakinan bahawa kesenangan sejati di dalam kehidupan ialah terlepas
dari kebodohan, terlepas dari kebingungan di dalam menilik rahsia alam.
Kepayahan yang larut menimpa jiwa, ubatnya ialah mempelajari ilmu, itulah
kelazatan dan kesenangan abadi.
Oleh sebab itu orang yang cerdik giat menuntut ilmu
yang hakiki, dan dengan ilmu itu dapat menyelidiki bagaimanakah keadaan insan
sesudah matinya. Seorang sahabat Nabi saw bernama Haritsah berkata kepada Nabi:
"Oh, Rasulullah, seakan-akan hamba lihat Arasy
Tuhan terbentang nyata di mataku. Seakan-akan lihat ahli syurga itu hidup di
dalamnya bersuka-suka, berziarah-ziarahan. Seakan-akan hamba lihat pula ahli
neraka menerima seksanya, melaknati yang satu kepada yang lain".
Apa yang dilihat oleh Haritsah ini diperoleh dengan
menyelidiki hakikat diri, dan menyelidiki hubungannya dengan keadaan badan
kasar, bagaimana khasiat dan pengaruh jiwa, apa yang disukainya dan apa
pantangnya. Hadapkan ke mana tujuan kesucian dan hindarkan dari kerendahan yang
menghalangi kesempurnaannya. Kerana kehendak rohani yang suci amat berbeza
dengan kehendak ikatan badan yang kasar.
Islam menyuruh kita berfikir, menyelidiki dan
merenungi, disuruhnya bangun tengah malam, waktu gelap membawa kesunyian, di
waktu cahaya yang lahir gelap dan cahaya batin terang, maka dari alam ghaib
akan menyorotlah cahaya abadi kepada yang ghaib itu. Disuruhnya memperhatikan
keadaan alam bagaimana unta terjadinya, bagaimana langit terbentang, keadaan
bukit di bumi, dan keadaan bumi terhampar.
Tatkala para budiman mengetahui bahawa kesempurnaan
jiwa ialah dengan ilmu, dan kesengsaraan ialah kerana kebodohan, serta difikirkan
mereka pula bahawa ilmu itu adalah ubat dan bodoh itu penyakit, tidak ada jalan
lain lagi, maka mereka perdalam pengertian, perhalus permenungan, sehingga
sampai ke dalam jiwa dan rongga hati. Lantaran itu timbullah pendirian yang
lain daripada pendirian orang, pendirian yang menyebabkan takut mati. Pendirian
itu ialah memandang bahawa barang barang lahir ini pada hakikatnya tidak ada
harganya, datangnya dari Adam (tak ada) dan akan kembali kepada Adam pula.
Mereka berkeyakinan bahawa dunia, meskipun bagaimana dibesarkan, tidak akan
lebih dari kampung yang sempit, yang mengikat, yang menghalangi manusia mencari
rahsia alam ghaib, alam yang lebih indah. Kampung tempat singgah berhenti
sebentar.
Timbulnya keyakinan mereka bahawa harta benda,
kekayaan, kesenangan lahir dan segala ikhtiar mencapainya, semuanya tidak kekal
dan lekas sirna, lekas hilang. Menyusahkan jika terkumpul, mendukacitakan jika
hilang.
Buat para budiman, segala harta benda, kekayaan dan
lain-lain itu mereka pergunakan sekadar yang perlu. Datanglah kalau mahu
datang, akan mereka terima. Pergilah kalau mahu pergi, akan mereka lepas.
Mereka tidak hidup berlebih-lebihan. Sebab semuanya mengajar manusia haloba dan
tamak. Bilamana manusia telah sampai kepada suatu tingkat, dia hendak meningkat
kepada yang lebih tinggi lagi. Yang membatas hanyalah kubur juga. Ini harus
dibatasi dengan kesedaran.
Mati yang sebenarnya ialah jika manusia diikat dunia,
harta benda dan kekayaan, menjaga dan memeliharakan barang palsu, yang tidak
ada harganya untuk dijunjung, yang kerap meninggalkan kita lebih dahulu, atau
kita tinggalkan lebih dahulu.
Hukama
membagi kematian itu kepada dua macam:
1.
Kematian Iradat.
2.
Kematian Tabiat.
Kehidupan mereka bagi dua pula:
1.
Kehidupan Iradat.
2.
Kehidupan Tabiat.
Kematian Iradat, ialah mematikan
kemahuan dari dunia yang tidak berguna, ambil yang perlu saja, matian syahwat
dari kehendak yang di luar batas, matikan nafsu kehalobaan dan tamak, matikan
memburu harta sehingga melupakan kesucian. Lalu dijuruskan iradat itu kepada
hidup yang lebih tinggi.
Kematian Tabiat, ialah bilamana
jiwa telah meninggalkan badan. Para Hukama membuat pepatah:
"Matilah Sebelum Mati".
Kehidupan Iradat, ikhtiar
menghidupkan jiwa di dalam kemuliaan di dalam ilmu pengetahuan, di dalam
menyelidik hakikat alam yang jadi peta dari hakikat kebesaran Tuhan.
Kehidupan Tabiat, ikhtiar
menghidupkan jiwa di dalam kemuliaan di dalam ilmu pengetahuan, di dalam
menyelidik hakikat alam yang jadi peta dari hakikat kebesaran Tuhan.
Plato berkata:
"Matilah dengan iradat, tetapi hiduplah dengan tabiat".
Imam Ali bin Abi Thalib berkata:
"Siapa yang mematikan dirinya di dunia, bererti menghidupkannya di
akhirat".
Demikian tafsir dari kedua keterangan ahli hikmah Barat dan Timur itu.
Dengan demikian, siapa yang takut menghadapi mati, ertinya takut menempuh
kesempurnaan. Kesempurnaan manusia itu adalah dalam tiga fasal: hidup, berfikir
dan mati.
Raghib Asyfahani berkata:
"Manusia dan kemanusiaan itu tidak seperti kebanyakan persangkaan orang,
iaitu hidupnya cara hidup binatang dan matinya cara kematian binatang pula.
Berfikir di dalam makhluk itu hanya pada manusia saja. Kehidupan manusia adalah
sebagai yang dinyatakan di dalam Al-Quran:
Ertinya:
"Untuk memberi ingat kepada orang yang hidup".
"Mati manusia lain dari mati binatang. Mati manusia ialah mati syahwatnya,
mati amarahnya, semua terikat ole kehendak agama". Sekian kata Raghib.
Sebab itu, dengan sendirinya dapat difahami, bahawa mati itu ialah kesempurnaan
hidup. Dengan kematian manusia sampai kepada puncak ketinggiannya. Barangsiapa
yang tahu bahawa segala isi alam ini tersusun menurut undang-undangnya, dan
undang-undang itu mempunyai jenis dan fasal (sifat), siapa yang faham bahawa
kehidupan itu harus ditempuh jenis manusia, dan sifatnya ialah berfikir dan
mati, maka akan faham pulalah dia bahawa mati wajib ditempuhnya, untuk
menyempurnakan sifatnya. Kerana tiap-tiap yang telah tersusun dari suatu benda,
akhirnya dia akan surut kepada benda itu juga.
Kalalu demikian adanya, cubalah tilik, siapakah yang lebih bodoh dari orang
yang takut menempuh kesempurnaan?
Siapakah yang lebih bodoh daripada orang yang lebih suka tinggal di dalam
kekurangan? Siapakah yang lebih sial daripada orang yang menyangka bahawa
dengan kekurangan dia telah sempurna?
Orang yang dalam kekurangan, takut menempuh kesempurnaan, adalah tanda
kebodohan yang paling besar.
Oleh kerana takut mati adalah penyakit yang timbul lantaran kebodohan, maka
hendaklah orang yang berakal merasai benar bahawa hina dirinya kalau dia lebih
suka dalam kekurangan. Seorang berakal hendaklah merindui kesempurnaan.
Hendaklah disiapkan dan dicarinya bekal untuk mencari sempurna itu,
dibersihkannya, dipertingginya kedudukannya, diawasi jangan jatuh ke dalam
jerat. Diyakininya bahawasanya Jauhar jasmani jika manusia mati, akan kembali
ke tanah, dan Jauhar rohani akan kembali kepada Tuhan.
Dengan terpisah jasmani dengan rohani, terlepaslah rahani itu dari ikatan, dia
lebih merdeka, lebih suci dan lebih tinggi darjatnya, dia berada sebagai jiran
Rabbul Alamin, bercampur gaul dengan arwah yang suci-suci.
Dengan segala keterangan ini dapatlah disimpulkan, bahawa orang yang amat takut
meninggalkan dunia, takut perceraian tubuh dengan jiwa, adalah tersasar
fikirannya, meminta barang yang tidak boleh terjadi, bodoh dan tidak mengerti.
Seakan-akan orang yang tinggal di rumah yang kecil, akan pindah ke rumah besar,
enggan hatinya akan meninggalkan rumah kecil itu, kerana selema ini telah biasa
hidupnya di sana, serasa-rasa tidaklah senak itu yang akan dikecapnya di rumah
besar. Kelak setelah tinggal di rumah besar itulah baru dia insaf bahawa
persangkaannya telah salah dahulunya.
Dengan pindah rumah dapat dimisalkan dari alam sempit, kendungan ibu, menangis
ketika lahir. Padahal lama di dunia, kita pun betah (suka) tinggal di sini.
Demikian pula pindah dari dunia ke akhirat, melalui maut. Yang gelisah hanyalah
di hari kita pindah itu. Dan hari pindah itu tidaklah lama.
3. Takut Kena Seksa.
Orang yang takut mati lantaran akan diseksa di akhirat oleh kerana
dosa-dosanya, pada hakikatnya bukanlah takut mati, tetapi takut kena seksa.
Kalau demikian halnya, tandanya ia mengakui sendiri bahawa dia berdosa, pernah
mengerjakan yang terlarang atau menghentikan yang disuruh, yang menyebabkan dia
dapat seksa. Tandanya dia pun merasa bahawa kelak sesudah matinya perkaranya
akan dibuka di akhirat, di hadapan Hakim Yang Maha Adil, yang diseksaNya ialah
pekerjaan jahat, bukan pekerjaan baik. Di sini nyata sekali bahawa orang ini
bukan takut mati, tetapi takut mengingat balasan dosanya. Maka
ubatnya,hendaklah segera singkirkan dosa itu dan jauhilah jalan yang membawa
kepada dosa. Segala kesalahan yang telah terlanjur hendaklah mohonkan ampunnya
kepada Tuhan, serta taubat nasuha, berjanji tidak akan mengulangi segala
kesalahan yang menimbulkan dosa itu.
Pekerjaan jahat yang menimbulkan dosa, terbit dari budi pekerti yang rendah.
Sebab itu berusahalah membersihkan budi, memperhalus perangai dan kesopanan.
Sebab tiap-tiap orang yang mempunyai kesopanan dan budi pekerti, merasa malu
dan berat mengerjakan dosa.
4. Tidak Tahu Kemana Diri Sesudah Mati.
Orang yang tidak berilmu takut mati, lantaran mengingat dia akan ditinggalkan
seorang diri di liang lahat yang kelam, tidak berteman seorang jua. Orang yang
takut mati lantaran mengingat kubur, adalah tanda kebodohan juga.
Kubur bukanlah perhentian rohani, kubur adalah perhentian jasmani. Bukan di
dalam kuburan saja tempat perhentian itu. Lihatlah orang yang mati di dalam
kapal dan dilemparkan mayatnya ke lautan, entah masuk perut ikan, entah sampai
ke dasar laut, tidaklah kita tahu. Orang Hindu dibakar orang mayatnya, orang
Mesir dahulu kala dibuatkan mummi, dibalsemnya mayat itu, tahan tidak rosak
beribu-ribu tahun. Ada juga mayat telah bertahun-tahun dikuburkan, tidak
rosak-rosak, seperti yang ditemukan di Bandung awal tahun 1936, mayat dua orang
yang berdekatan kuburnya tidak rosak. Tidaklah menjadi pertanggungan
bahawasanya badan yang tidak rosak itu ada hubungannya dengan keselamatan jiwa,
semuanya telah kembali kepada tanah. Tempat jiwa tersisih sendiri, malahan
agaknya lebih ramai hidupnya di dalam alam barzah itu daripada kehidupan kita
di dunia ini.
Sebab itu, orang tak boleh takut menghadapi mati lantaran badan akan tinggal
seorang diri dalam kuburan. Sebab perasaan tidak ada pada orang mati, perasaan
telah dibawa oleh rahoni. Badan akan hancur, bukanlah badan itu yang ditanyai
atas amalnya, tetapi rohani.
5. Takut Sedih Akan Meninggalkan Harta
Dan Anak.
Ada pula orang yang takut sedih akan meninggalkan dunia, bukan lantaran takut
kematian, tetapi sedih meninggalkan harta, sedih meninggalkan anak. Ada orang
yang bersedih hati sebab akan bercerai berai dengan kepelesiran dunia, sayang
umurnya yang masih muda.
Orang ini bukan takut, tetapi bersedih hati saja. Hendaklah ingatkan kepadanya bahawa
penyakit sedih hati itu berbahaya sekali. Dia melekaskan datangnya penyakit
sebelum waktu. Dia telah bersedih memikirkan barang yang tidak ada harganya
disedihkan.
Itulah gunanya didikan agama yang selalu memesankan supaya manusia tidak
mencintai nikmat tetapi cintailah yang memberi nikmat.
6. Kesimpulan Tentang Takut Mati.
Takut mati adalah kerana orang tak tahu apa hakikat mati itu. Atau tidak tahu
ke manakah dirinya dan jiwa raganya akan pergi, atau disangkanya bila badannya
dan jiwanya telah bercerai dari tubuh hancur di dalam kubur, jiwanya pun turut
rosak pula. Alam akan terus kekal, orang lain akan terus mengecap nikmat alam,
sedang dia tidak ada lagi di sana, demikianlah sangkanya. Atau disangkanya
bahawa kematian itu adalah sakit yang paling hebat, lebih sakit dari segala
macam penyakit. Dia tidak tahu bahawa mati itu bukan penyakit. Salah seorang
berkata bahawa segala penyakit ada ubatnya, kecuali mati, sebab mati itu bukan
penyakit. Ada juga orang yang takut mati lantaran takut seksa.
Semuanya timbul lantaran kebodohan.
Padahal, adalah manusia ini termasuk isi alam yang luas, segala alam ini
awalnya tiada, tengahnya ada dan kahirnya lenyap. Orang yang tak suka lenyap,
ertinya tak suka ada. Orang yang tak suka ada, ertinya lebih suka rosak
badannya. Jadi orang itu mempunyai perasaan suka rosak dan suka tidak rosak,
suka ada tetapi tidak suka ada. Suka hidup lama, tetapi tak suka tua. Semua
adalah barang yang mustahil yang tidak masuk akal orang yang berfikiran waras.
Jadi fikiran begini, tidaklah waras.
Kalau nenek moyang kita tidak mati-mati, akan sampaikah agaknya kehidupan itu
kepada kita? Kalau manusia kekal saja, tentu kita tak perlu ada. Kalau nenek
moyang itu masih hidup saja sampai hari kiamat, dan kita lahir pula, tentu
dunia kesempitan manusia.
Misalkan Sayidina Ali bin Abi Thalib masih hidup, dan masih tetap beranak, dan
anaknya itu beranak pula, cucunya itu beranak pula, dan anak cucunya itu
beranak pula, dan setahun kemudian Ali beroleh putera lagi, dan putera itu
beranak pula, dan cucu dari cucunya itu beranak juga sedang antara dua tahun di
belakang kembali Saidina Ali beranak.
Kalau kita misalkan Sayidina Ali hidup sampai sekarang isterinya empat orang
beranak sekali setahun, tentu anaknya sampai sekarang tidak akan durang dari
1,300 orang, dan yang lahir tahun pertama akan beranak pula 1,280 orang, dan
cucunya dari anak yang pertama itu akan beranak 1,260 orang. Cubalah perkalikan
dan jumlahkan jutaan turunan Sayidina Ali saja.
Keturunan Sayidina Ali sendiri sajakah yang harus memeruhi dunia? Belum
dihitung orang yang lebih tua daripadanya, seperti Plato, Socrates dan
lain-lain.
Di dinding istana seorang raja Arab ada tulisan, begini bunyinya:
"Dengan nama Allah Yang Pengasih lagi Penyayang. Ingatlah, engkau duduk
sekarang di sini kerana ada yang telah pergi".
Kalau manusia kekal saja sejak Nabi Adam sampai sekarang agaknya kalau ditambah
tempat tinggal 3 (tiga) kali bumi lagi, tidaklah akan mencuupi. Sedangkan ada
yang mati menurut aturan yang dibuat Allah Taala, lagi sudah juga seisi dunia
memikirkan krisis kelebihan manusia buat zaman yang akan datang, sampai terbit
teori Neo Malthusianisme!
Fikirkanlah dunia, fikirkan kemanusiaan, fikirkan alam dngan enang! Di sana
kelak kita tahu bagaimana adil dan maha murahnya Tuhan. Di sinilah perbezaan
kepercayaan Islam dengan agama Nasrani.
Menurut orang Nasrani, kematian itu adalah dosa. Bagi Islam, kematian itu
adalah keadilan Tuhan, belas kasihan Tuhan kepada hambaNya, disuruh pergi
kedunia, dan kemudian dipanggil pulang. Mengapa ke dunia? Iaah beramal dan
beribadat, berjuang dalam hidup. Kalau orang bersungguh-sungguh memperbaiki
hidupnya, inginlah dia hidup supaya sesudah hidup itu dia beroleh kematian
dengan kematian itu ialah nikmat, yang kerananya harus kita mengucapkan kesucian
bagi Tuhan.
"Maha Sucilah Tuhan Yang di tanganNya segenap kekuasaan, dan Dia berkuasa
atas tiap-tiap sesuatu. Dialah yang menjadikan mati dan hidup, supaya diberi
sajian atasmu, siapakah di antara kamu yang lebih baik amalannya".
(Al-Mulk: 1-2).
Di dalam ayat ini didahulukan menyebut mati dari menyebut hidup, supaya orang
ingat jalan yang akan ditempuh sebelum orang berjalan, ingat akibat sebelum
melangkah. Nyata benar bahawa orang yang takut mati, ertinya orang yang takut
menerima nikmat Tuhan tidak sudi menerima anugerahNya dan pemberianNya.
Maka nyatalah sekarang bahawa mati itu tidaklah azab dan seksa bahkan ada orang
yang mendasarkan kematian atas dosa, iaitu dalam ajaran agama Kritian. Kematian
bukanlah seksa. Seksa hidup ialah takut mati, bukan mati. Di atas sudah
diterangkan mati itu hanya perceraian tubh kasar dengan tubuh halus. Perceraian
itu bukan pula merosak tubuh halus, cuma sangkarnya saja yang rosak, iaitu
tubuh kasar. Tubuh halus tetap ada, kekal! Dia tidak mempunyai keperluan seperti
keperluan tubuh, dia tak perlu makanan dan minuman, tidak akan berebutan harta
dan rezeki, tidak perlu berebutan rumah tempat tinggal, alamnya bukan alam kita
ini. Jika dia sampai ke dalam alam yang demikian, dekatlah dia kepada Tuhannya,
di sanalah dibuka perhitungan amal dan jasanya, mana yang baik menerima upahan
baik, mana yang jahat menerima ganjaran jahat.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan