PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Oleh
pengarang kamus Misbahul Munir, di antara ikhlas dengan nasihat itu tidaklah
dibezakannya. Bahkan nasihat itu beliau ertikan dengan (4) perkara: Ikhlas,
tulus, musyawarah dan amal.
Ibnu Atsir
berkata di dalam Nihayah:
"Nasihat
itu ialah suatu perkataan yang mengandung erti yang panjang, iaitu:
"Berkehendak supaya orang yang diberi nasihat itu beroleh kebaikan".
Alasan
bahawa nasihat dengan ikhlas itu satu ertinya, iaitu suci bersih, adalah hadis
Ubaiy, seketika dia bertanya kepada Rasulullah saw, apakah ertinya "taubat
nasuha" (kata nasuha itu sama dengan nasihat).
Rasulullah
menjawab:
"Iaitu
taubat yang khalis, yang tidak akan diulang lagi mengerjakan dosa-dosa
itu".
Saudara-saudara
Nabi Yusuf seketika akan membawa adiknya itu pergi brburu yang kemudian
dimasukkannya ke sumur dan dijualnya kepada Aziz (raja) di negeri Mesir, ada
tersebut:
"Wahai
bapa kami, mengapa tidak percaya bapa kepada kami atas Yusuf, padahal
sesungguhnya kami kepada Yusuf itu sangat memberi nasihat". (Yusuf: 11).
Tafsirnya
ialah sangat tulus ikhlas.
Oleh sebab
ikhlas dengan nasihat tidak boleh dipisahkan, perlulah di sini kita terangkan
ke manakah tujuan nasihat kita atau ikhlas kita berdasarkan kepada hadis yang
diriwayatkan oleh Tamim Ad Dariy, seorang sahabat Nabi saw yang masyhur, yang
dahulunya memeluk agama Nasrani kemudian pindah ke dalam Islam.
Berkata
Tamim: Pada suatu hari berkata Rasulullah saw:
"Agama
itu ialah nasihat".
Lalu kami
bertanya: "Kepada siapakah nasihat itu?". Bersabda Rasulullah:
"Bagi
Allah, bagi kitabNya, bagi RasulNya, bagi kepala-kepala kaum Muslimin dan bagi
kaum Muslimin semuanya".
Bagaimanakah
maksud nasihat kepada tiap-tiap itu? Nasihat apakah yang dihadapkan kepada
Allah? Kalau sekiranya nasihat itu hanya diertikan memberi nasihat bagi yang
biasa kita pakai, tentulah Rasulullah saw telah mengatakan suatu perkataan yang
tidak pantas. Adakah pantas kita menasihat Allah? Sebab itu haruslah kembali
kepada ertinya yang sejati - ialah ikhlas.
1. Ikhlas
Kepada Allah.
Ikhlas
kepada Allah, hanya semata-mata percaya kepadaNya. Ia tidak boleh
dipersekutukan dengan yang lain, pada zat, sifat dan pada kekuasaanNya.
Hadapkan kepadaNya segala sifat-sifat kesempurnaan yang penuh, hindarkan
daripada persangkaan sifat-sifat kekurangan. Taat mengikut perintahNya, jauhi
segala laranganNya dan jangan derhaka kepadaNya. cinta segala sesuatu kerana
Dia, benci sesuatu kerana dibenciNya, berteman dengan orang yang taat kepadaNya,
bermusuh dengan orang yang melawan Dia. Lawan orang yang kafir kepadaNya, akui
nikmat dan kebesaranNya, syukuri segala pemberianNya, sedikit atau banyak,
sabar di atas cubaan yang ditimpakanNya. Seru dan mohon pertolonganNya di waktu
kesempitan dan pujilah Dia di waktu lapang. Cinta sesama manusia, bukan
lantaran mereka manusia saja, tetapi lantaran mereka itu makhluk Allah.
Berkata
Muhammad bin Said Al-Marqazi:
"Segala
kejadian itu hanyalah bersumber kepada dua: Perbuatan Allah atas diri engkau,
dan perbuatan engkau yang akan dihadapkan kepada Allah. Maka hendaklah rela
menerima segala perbuatanNya, dan ikhlas mengrejakan segala perbuatan engkau
terhadapNya. Dengan demikian engkau beroleh bahagian dunia akhirat".
Erti ikhlas
kepada Allah banyak diterangkan oleh lulama-ulama Thariqil Akhirah. Suatu erti
yang lebih memuaskan, pendek dan terang, ialah ertian yang telah dibuat oleh
Rasulullah saw sendiri. Seketika ditanyakan orang kepada baginda apa erti
Islam, baginda menajwab:
"Bahawa
engkau akui Tuhanku ialah Allah, kemudian engkau teguh memegang pendirianmu
itu".
Ertinya,
sembahlah Allah saja, jangan menyembah hawa nafsu, jangan beribadat kepada yang
lain. Jadikanlah itu pendirian hidup.
Itulah yang
dimaksud oleh ayat:
"Tidaklah
mereka diperintah, melainkan supaya menyembah kepada Allah, hanya kepadaNya
semata saja dihadapkan agama". (Al-Bayyinah: 5)
"Ketahuilah
bahawasanya bagi Allah saja agama yang khalis". (Az-Zumar: 3).
"Melainkan
orang yang taubat dan memperbaiki dirinya berpegang dengan Allah saja dan
ikhlas agamanya kerana Allah". (An-Nisa': 146).
"Barangsiapa
yang mengharap hendak berteu dengan Tuhannya, hendaklah dia mengamalkan amalan
yang soleh, dan jangan menyekutukan dalam beribadat kepada Tuhan dengan yang
lain". )Al-Khaffi: 110).
2. Ikhlas
Kepada Kitab Allah
Ikhlas
kepada Kitabullah, ialah percaya dengan sungguh-sungguh bahawa kitab itu ialah
Kalamullah, yang tidak serupa dengan kalam makhluk. Tidak seorang pun di antara
makhluk yang sanggup membuat kitab semacam itu, diturunkan Allah kepada
RasulNya untuk menjadi tuntutan kita sekalian. Kita baca dan kita fahami
isinya, kita junjung dan kita sucikan, kita perhatikan dengan hati yang
khusyuk. Kita baca dengan fasih dengan huruf yang bermakhraj dan bertajwid,
supaya dipelihara dia dari tahrif (diputar-putar) dan tabdil (diganti-ganti).
Benarkan apa yang tersebut di dalamnya, itu hukum yang tertera di sana dan
fahamkan isi dan maksudnya, ilmu dan perumpamaannya, selidiki umumnya dan
khususnya, ketahui nasikh mansukhnya, mujmal dan muqayyadnya, taslim (serahkan)
kepada Allah dalam hal ayat-ayat yang mutasyaabih (ayat yang tidak sampai akal
memahamkan).
3. Ikhlas
Kepada Rasulullah saw.
Ikhlas
kepada Rasulullah, mengakui dengan sungguh risalahnya, percaya pada segala yang
dibawanya, taat mengikuti yang diperintahkannya, menjauhi segala yang
dilarangnya, membelanya di waktu hidupnya dan terus sampai wafatnya. Memusuhi
orang yang memusuhinya, membela orang membelanya, membesarkan haknya, dan
memuliakan dia. Hidupkan tarikat dan sunnahnya. Siarkan pengajarannya dan
sampaikan serta luaskan syariatnya ke seluruh bumi. Nafikan segala tuhmah
(tuduhan) yang dihadapkan orang kepadanya dengan alasan yang cukup. Pegang
teguh-teguh ilmu yang ditinggalkannya. Kerana dia diutus ke dunia untuk menyempurnakan
budi pekerti dan Tuhan sendiri yang mengajarnya beradab, bersabda baginda:
"Tidaklah
beriman seorang kamu hingga Allah dan RasulNya lebih dicintainya daripada yang
lain".
"Katakanlah
(olehmu Muhammad), jika adalah ayahmu, anak-anakmu, saudara-saudaramu, isteri
(suamimu), kaum kerabatmu, harta benda yang kamu kumpul-kumpulkan, perniagaan
yang kamu takuti akan rugi, rumah tempat tinggal yang kamu sukai, jika semuanya
itu lebih kamu cintai daripada daripada Allah dan RasulNya, dan lebih kamu
cintai daripada berjihad pada jalanNya, maka awaslah kamu sampai datang kelak
tuntutan Allah, dan Allah tidaklah akan memberi petunjuk kepada kaum yang
fasik". (At-Taubah: 24).
Setelah
mencintai Rasulullah saw, hendaklah cintai pula sahaat-sahabatnya dan kaum keluarganya.
Jangan dibezakan darjat masing-masing. Jika terjadi persengketaan di antara
mereka, janganlah berpihak pada satu pihak.
4. Ikhlas
Kepada Imam Kaum Muslimin.
Ikhlas
kepada imam atau raja-raja dan pemerintahan Muslimin, ialah taat kepada mereka
di dalam agama, ikut perintahnya, hentikan larangannya. Jangan dilanggar
undang-undangnya, jangan dikacau keamanan dalam negeri. Peringati mereka jika
mereka salah dengan cara yang sopan-santun. Beri tahu kelalaian mereka dan
bahaya yang mengancam negeri lantaran kesalahan mereka. Ajak seluruh Muslimin
supaya taat kepada pemerintahan itu.
Di dalam
kitab-kitab Ushuluddin banyak diterangkan bagaimana syarat-syarat baru boleh
seorang wali, atau imam, atau khalifah dimakzulkan daripada kekuasaannya jika
dia mengerjakan maksiat dengan terang dan menganjurkannya, atau mempunyai suatu
kepercayaan yang berlawanan dengan asas iktikad agama.
Berkata Al
Khithbi:
"Setengah
dari hak nasihat kepada mereka, ialah solat di belakang mereka, berperang
bersama-sama mereka, bayarkan zakat kepada mereka supaya dibagi-baginya kepada
yang berhak, menyingkirkan huru-hara dan pemberontakan, jika kesalahannya belum
menerbitkan fitnah yang besar. Jangan mereka dipuji-puji lebih dari semestinya,
doakan supaya mereka jadi orang yang berbahagia pada agama!".
Kata Al
Hithabi seterusnya: "Sebahagian besar ulama mentakwilkan maksud imam-imam
dalam hadis ini kepada ulama Islam, iaitu dengan jalan mengikut fatwanya,
menerima apa yang diriwayatkannya, menghormatinya dan meletakkan persangkaan
yang baik kepada dirinya!".
Berkata Imam
Ghazali:
"Kerosakan
negeri kerana kerosakan raja, kerosakan raja kerana kerosakan ulama, iaitu
ulamaussu (ulama jahat)".
Dengan
perkataan Ghazali ini terhimpunlah raja-raja dan ulama-ulama di dalam Imam yang
disebut hadis Tamim itu.
Tentu saja
kita tidak boleh taat jika pemerintah itu mengajak mengerjakan mungkar, dan
tidak boeh diikuti kalau ulama menunjukkan fatwa yang sesat. Tetapi meskipun
perintah dan fatwa itu tidak diikuti kehormatan dan kemuliaan yang diberikan
kepada mereka, tidak juga boleh kurang daripada mestinya.
Dengan
majunya faham demokrasi sekarang ini, bertambah nyata bahawa yang dimaksud
dengan imam-imam itu, bukanlah memulia-muliakan diri seseorang, sampai keluar
dari batasnya. Dalam faham demokrasi, orang naik memegang pemerintahan, adalah
kerana dikuasakan oleh orang ramai. selama dia masih mendirikan keadilan,
wajiblah diikuti perintahnya. Kalau dia telah melanggar hak orang ramai
wajiblah dijatuhkan.
5. Nasihat
Kepada Umum Kaum Muslimin.
Nasihat
kepada Ammatil Muslimin, kepada pergaulan umum, adalah mengenai masyarakat.
Jika engkau orang bodoh, belajarlah kepada yang pintar, jika engkau orang
pandai, ajarlah yang bodoh. Tunjukkan kemaslahatan yang mengenai keselamatan
dunia dan akhirat, jangan mereka disakiti, dengan tangan atau dengan lidah,
tutup aib dan cela mereka, tolong yang lapar jika engkau mampu, hindarkan
bahaya dari mereka, carikan manfaat untuk mereka, suruh berbuat baik, larang
berbuat mungkar, dengan lemah lembut dan ikhlas. Jika beroleh nikmat jangan
dihasadi, tetapi syukurilah, hormati yang lebih besar, kasihi yang lebih kecil,
apa yang engkau rasa baik buat dirimu, itulah kebaikan yang akan dilimpahkan
kepada temanmu, apa yang engkau rasa sakit terhadap dirimu, jangan engkau
lakukan kepada mereka, peliharalah harta benda dan diri mereka dengan
perkataanmu dan pekerjaanmu. Ajarkan kepada mereka budi pekerti yang tinggi dan
terpuji.
Apakah tuan
tidak ingin mencontohi Jurair di dalam memberikan nasihat kepada sesama manusia?
Telah
meriwayatkan Abdl Wasim At Thabrani:
"Pada
suatu hari Jurair menyuruh bujangnya membeli seekor kuda tunggangan. Datanglah
bujang itu membawa seekor kuda tunggang dengan harga 300 dirham. Ketika akan
membayar, dipanggilnya yang punya kuda itu ke rumahnya. Jurair berkata:
Sebetulnya kuda tunggang ini terlalu bagus, harganya amat murah kalau hanya 300
dirham, lebih baik saya bayar 400 dirham saja sukakah engkau?"
Orang itu
menjawab: Itu terserah kepada engkau, Pak Abdullah.
400 dirham
pun terlalu murah, sukakah engkau menjual 500 dirham?
Demikianlah
ditanyainya juga dan dinaikkannya seratus demi seratus sedang yang empunya
menyerah saja, sehingga dibayarnya 800 dirham.
Bertanyalah
orang kepada Jurair, apa sebab dia semurah (semudah) itu mengeluarkan wang.
Beliau
menjawab: Semasa Rasulullah saw hidup, saya telah mengikat baiat dengan
baginda, bahawa akan berlaku jujur dan ikhlas kepada seluruh Muslimin.
Maka menurut
keyakinan Jurair, dengan cara demikian baru dia memenuhi janji Rasulullah,
berbuat jujur, ikhlas dan membantu sesama manusia.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan