Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 8 FASAL 52 : BAHAGIA YANG DIRASAI RASULULLAH SAW (BAB 8 BAHAGIA YANG DIRASAI RASULULLAH SAW)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Berkata Anas bin Malik r.a.:

"Saya telah menjadi khadam Rasulullah saw 10 tahun lamanya. Maka tidak perna baginda berkata atas barang yang saya kerjakan: "Mengapa engkau kerjakan?" Mengapa tidak engkau kerjakan?". Tidak pernah pula baginda berkata pada barang yang tidak ada: "Alangkah baiknya kalau barang itu ada". Kalau pada suatu ketika terjadi perselisihan saya dengan ahlinya, dia berkata kepada ahlinya itu. "Biarlah sebab apa yang telah ditakdirkan Allah mesti, terjadi".

Memikirkan bunyi hadis yang diriwayatkan Anas itu, dapatlah difikirkan pula apa ertinya redha, yang telah berkali-kali kita tuliskan sebelum ini. Dapatlah diketahui hal ehwal Rasulullah itu. Dia sendiri, setelah sempurna makrifatnya dengan Allah, tidaklah dia lupa Yang Maha Kuasa itu ialah Dia. Dia yang mentakbirkan. Dia yang menyusun, mengatur, dan alam ini terlingkup kita di dalamnya, berhaklah Dia bertaharruf, berbuat sekehendak hatiNya di atas milikNya itu.

Nabi saw penuh kepercayaan bahawa Tuhan bijaksana, tidaklah Dia menentukan satu keputusan di luar pertimbangan seadil-adilnya. Dia menyerah kepadaNya, lebih daripada penyerahan hamba kepada penghulu. Meskipun banyak cubaan yang dijatuhkan atas dirinya, namun dia tidak berhenti selangkah dia haram surut, setapak dia tidak kembali. Dia terima apa yang ada, tidak mengaduh, tidak merintih dan tidak menyesal. Jika bukit teguh pada tempatnya, tiada bergoyang oleh terpaan angin dari segenap penjuru, maka keteguhan hati Rasulullah jika dihembus angin kehidupan, lebih dari teguhnya bukit, sebab jika gempa datang, bukitpun bergoyang juga.

Cubalah perhatikan kehidupan junjungan kita itu. Segenap alam gelap gelita, satu pun tak ada tanah tujuan dari perjalanan bangsa manusia. Dia diutus seorang dirinya ke dunia ini, tak berkawan, tak berteman, ahli rumahnya sendiripun 'masih orang lain'. Kekafiran, kederhakaan kepada Tuha, kelupaan dari kebenaran, membelakangi yang hak.

Cubalah kenangkan bagaimana hidupnya yang dibenci, dihina dan maki, sampai lari menyembunyikan diri kalau perlu. Pernah kakinya luka dan mengalir darah membasahi terompahnya kena pukulan orang, disangkut orang badannya dengan kulit unta ketika mengerjakan solat. Dia terima itu dengan diam dan tenang.

Ketika kembali dari perlawanan ke Thaif yang hampir saja membahayakan jiwanya itu, sebab yang empunya rumah tempatnya bertemu sendiri telah memberitahu kepada penduduk 'bahaya' pengajaran yang dibawanya, sehingga dia dipukul orang. Ketika akan pulang ia telah bertemu dengan seorang malaikat, lalu baginda ditanyai, sudikah dia kalau malaikat itu membinasakan umat yang menolak pengajarannya itu. Dengan lemah lembut baginda menolak tawaran itu, dengan perkataan bahawasanya orang-orang yang memusuhinya itu adalah orang tua yang tiada baginda menolak tawaran itu, dengan perkataan bahawasanya orang-orang yang memusuhinya itu adalah orang tua yag tiada baginda harapkan lagi, moga-moga anak cucu turunan mereka kelak yang akan menerima faham ini. Jawapan baginda itu pun terbuktilah, sebab ternyata bahawa panglima-panglima dan pahlawan-pahlawan yang menurutkan jejaknya kemudian hari, terdiri dari angkatan muda, anak cucu orang-orang yang menghalangi dahulu.

Dia keluar dari rumah, ke dalam Masjidil Haram. Kalau tak berhasil di sana dia pergi ke atas bukit Syafa atau Marwah. Tidak pula hasil di sana, dia pergi ke Mina, ke Jumratul Aqaba di waktu musim haji sambil menunggu dengan hati yang tetap, kalau-kalau ada dari kabilah lain atau kampung lain yang suka menerima pengajarannya itu. Selalu dia serukan.

"Siapa yang suka membelaku? Siapa yang suka menolongku?"

Begitu jalan yang dilaluinya, seandainya bukan Nabi, mahulah agaknya dia kehilangan kesabaran dan dia akan mahulah agaknya berkata:

"Ya Rabbi, bukankah Tuhanku telah berjanji hendak menolong hambaMu, manakah pertolongan itu kini? Bukankah sudah patut saya menerimanya?"

Di dalam pertempuran siasat yang masyhur di Hudaibiyah itu, yang kaum Quraisy di sana telah mengemukakan janji-janji yang amat pincang menurut pandang selintas lalu. Umar telah berkata:

"Bukankah kita berdiri di atas kebenaran? Mengapa kita hendak mendatangkan kehinaan atas agama kita?"

Rasulullah saw, menjawab dengan pendek tetapi jitu:

"Saya ini hamba Allah, dan Allah tidak akan mengecewakan daku".

Kalau ada yang menyangka pada masa itu, bahawa perjanjian itu melemahkan pihak Islam, bagi Rasulullah saw, adalah satu kemenangan besar. Sebab walaupun macam mana corak perjanjian, namun sekarang kaum Quraisy tidak memandang lagi bahawa golongan kaum Muslimin sebagai golongan 'pemecah', tetapi duduk sama rendah, tegak sama tinggi, telah boleh mengikat satu perjanjian politik.

Cubalah perhatikan kalimat yang diucapkan Rasulullah untuk mententeramkan fikiran Umar bin Khatab itu:

"Saya ini hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku".

Ertinya, saya hamba Allah (Ana Abdullah), bahawa saya ini di bawah kekuasaanNya, di bawah perintahNya, digantungNya tinggi, dibuangNya jauh.

Dengan dasar itu dia berjuang: "Saya ini hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku".

Kadang-kadang lapar perutnya kerana tidak ada yang akan dimakan. Kadang-kadang sebulan lamannya dapurnya tak berasap. Dia tidak mengeluh, malahan diambilnya saja batu, diikatkannya kepada perutnya. Padahal kunci Masyriq dan Maghrib telah diserahkan ketangannya.

Sahabat-sahabatnya yang setia mati terbunuh, seorang di antaranya bapa saudara baginda sendiri Hamzah, pahlawan yang gagah berani. Dibedah perutnya, diambil jantungnya, dan dimakan, dan dihisap orang darahnya. Nabi melihat semuanya itu dengan tidak merasa cemas. Luka jari tangannya, patah saingnya, hampir pecah kepalanya. Dia bangun kembali dan berjuang terus sampai menang.

Saya hamba Allah, dan Dia tidak akan mengecewakan daku.

Anak-anaknya meninggal, maka ditumpahkannya kasih sayang kepada cucu-cucunya dari anak perempuannya Fathimah, iaitu Hasan dan Husain. Diambilnya perintang hati. Walaupun dia sedang mengerjakan solat dipanjat punggungnya oleh kedua-dua anak-anak itu. Dia telah tahu dalam ilham Ilahi bahawa perkara-perkara yang besar akan dihadapi kedua anak itu kelak. Tetapi supaya orang lain tidak bergoncang hati, hanya dikatakannya saja, bahawa salah seorang dari anak itu akan mendamaikan perselisihan yang terjadi di antara dua golongan yang besar. Tidak ditegaskan bahawa salah seorang anak itu iaitu Husain akan mati dalam satu pertempuran yang hebat.

Rasulullah sempat mencintai isterinya yang tua, Khadijah. Kebetulan meninggal perempuan itu di waktu baginda amat perlu kepada pertolongan dan bujukannya. Maka dihadapkannyalah kasih sayangnya kepada Aisyah anak sahabatnya yang setia, Abu Bakar. Tiba-tiba dituduh orang pula isteri yang tercinta itu berbuat pekerjaan yang merosakkan hatinya.

Dia teguh: Saya hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan.

Baru pekerjaan hampir selesai, tiba-tiba timbul berturut-turut orang-orang yang bersikap hendak melawanya, hampir semuanya mendakwakan dirinya Nabi pula. Timbul Musailamah Alkazzah, Aswab al Insiy, Thulaihah Al Asadi, Sajah binti Al Harits, semuanya mendakwakan dirinya Nabi.

Dia serukan kebenaran, meskipun dia dituduh pendusta. Diterangkannya agama yang baik, dikatakan orang dia gila. Namun dia tak bergeser dari keyakinannya. Tetapi pada keredhaan dan keteguhan. Dia percaya, dia hamba Allah, Allah tak akan mengecewaannya.

Dalam kepercayaan yang penuh itulah datang kepadanya penyakit yang berat, awal dari kematian. Dia meninggal dalam keyakinan bahawa dia hamba Allah, bahawa Allah tak akan mengecewakannya. Dia menutup mata melepas nafasnya yang penghabisan, setelah bermohon kembali kepaa Ilahi supaya diizinkan duduk bersama-sama dengan teman sejawatnya yang paling tinggi, iaitu nabi-nabi dan rasul-rasul yang dahulu daripadanya.

Dia meninggal di atas sebuah hamparan yang telah tua, berselimut kain kasar, sedang minyak penghidupkan lampu semalam itu pun telah habis tengah malam, tak dapat ditambah lagi, kerana tidak ada minyak lagi.

Saya ini hamba Allah, Dia tidak akan mengecewakan saya".

Bilamana Nabi Nuh melihat kesesatan umat yang didatanginya, serta perlawanan yang mereka hadapkan ke dirinya, beliau berkata:

Ertinya: "Jangan ditinggalkan atas bumi ini tempat-tempat buat tinggalnya orang kafir".

Maka dalam hal yang demikian Nabi Muhammad saw telah meminta kepada Tuhan:

Ertinya: "Ya Tuhanku! Berilah petunjuk atas hambaku, kerana mereka tidak mengetahui".

Musa Kalimul-Lah ketika melihat kaumnya telah berpaling dari menyembah Allah kepada menyembah Injil, telah berkata kepada Tuhan:

Ertinya: "Ini tidak lain dari fitnahMu jua, ya Tuhan!"

Nabi Muhammad saw ketika melihat kesesatan kaumnya dan mereka menyesali Tuha, telah berkata:

Ertinya: "Allah tidak mengubah nasib suatu kaum, kalau tidak kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka".

Isa Ruhul-Lah pernah berkata:

"Kalau Engkau berkuasa ya Tuhanku, memalingkan kematian daripada makhlukMu, palingkanlah dia daripadaku"

Sedang Nabi Muhammad saw, ketika disuruh memilih antara dua perkara, iaitu hidup kekal dalam dunia, atau mati ketika hari kiamat saja, atau mati seperti orang lain mati, telah dipilihnya kematian, dipilihnya Rafiqil A'la.

Nabi Sulaiman telah memohon kepada Tuhan:

Ertinya:

"Ya Tuhanku, anugerahi kiranya akan daku suatu kekuasaan". (Sod: 35).

Nabi Muhammad saw telah memohon kepada Tuhan:

Ertinya:

"Ya Rabbi, jadikanlah rezeki ahli rumah Muhammad sekadar yang akan dimakan sehari-hari".

Demikianlah wahai orang yang hendak mencapai darjat Tasauf sejati. Demikianlah QANAAH yang telah dicontohkan oleh orang yang kenal erti wujud, dan kenal erti yang MAUJUD. Cita-citanya, untuk kemaslahatannya sendiri dikalahkan oleh cita-cita untuk maslahat umatnya. Tenang segala gelora atinya, tenteram perjalanannya menuju keredhaan Tuhannya, dan dia tidak putus berusaha.

Tiada ulasan: