Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 4 FASAL 32: BEBERAPA SIFAT YANG BURUK (BAB 4 KESIHATAN JIWA DAN BADAN)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Seperti telah diterangkan, banyak sifat-sifat yang buruk yang ditimbulkan tahawwur dan jubun. Sebagaimana akan kita terangkan di sini:

1. Ujub.

Ialah merasa puas diri sendiri. Disangka diri itu sudah sangat cukup dan sempurna. Menyangka bahawa segala pekerjaan yang dikerjakan orang dalam masyarakat ini, tidak jadi kalau dia tidak ikut. Perangai begini membawa lupa akan kekurangan diri dan ingat akan kekurangan orang lain.

Janganlah sifat Ujub ini menjalar ke dalam diri, menyangka bahawa segala sesuatu tidak akan sempurna kalau kita tidak ada. Sebab kita itupun tidak akan sempurna kalau tidak dengan orang lain. Keutamaan tidak cukup diberikan Allah kepada satu orang, tetapi terbagi-bagi. Yang terbagi-bagi itulah yang terkumpul dalam masyarakat. Laksana cili yang membanggakan pedasnya, garam membanggakan masinnya, cuka yang membanggakan asamnya, ikan yang membanggakan enaknya. Kerana segala kepedasan, keasinan, keasaman, dan keenakan itu, setelah dikumpulkan dalam satu belanga, dimasak oleh tangan yang ahli, barulah jadi makanan yang lazat.

Kita perhatikan keadaan sebuah organisasi, baik agama, politik atau sosial. Kerapkali yang menyebabkan kehilangan pamor (kekuatan) dan cahaya, ialah kerana tiap-tiap pendiri dan pemimpin hanya ingat jasa dan tenaga sendiri, melupakan jasa dan tenaga orang lain. Sifat ujub boleh menghancurkan organisasi itu,

2. Bangga.

Iaitu sifat suka membanggakan kemuliaan di luar diri, sebagaimana ujub membanggakan yang berada dalam diri. Misalnya seorang yang senegeri dengan seorang temannya, bilamana disebut nama orang itu, dengan rasa bagga ia mengatakan bahawa orang tersebut satu negeri dengan saya. Daatang yang seorang lagi mengatakan orang itu iparnya. Datang seorang lagi mengatakan bapa saudaranya. Atau seorang anak yang di mana-mana membanggakan dirinya lantaran dia turunan si anu, turunan Datuk Perpatih nan sebatang yang mula-mula mencencang dan melatih negeri Minangkabau, terutama Demang Lebar Daun, yang mula-mula jadi wazir di buat Si Guntang Maha Meru, dari turunan Raja Anu Syirwan yang adil, dan Sultan Iskandar Zulkarnain.

Membanggakan tidak berfaedah, kerana menurut Saidina Ali:

"Wa qimatu kulil mar-i ma yahsununahu".

"Harga tiap-tiap manusia, ialah menurut kebaikan yang telah diperbuatnya".

Bukan menurut nenek moyangnya.

Nabi saw bersabda:

"Jangan engkau datang kepadaku membawa-bawa turunanmu, tetapi datanglah kepadaku membawa amalmu".

"Bajuku indah". Bajulah yang indah, bukan engkau. Rumahku bagus, rumah yang bagus, bukan engkau. Hartaku banyak. Harta yang banyak, bukan engkau. Nenek moyangku ternama. Nenek moyangmu yang ternama, bukan engkau! Adapun engkau ini datang dari yang kotor, dan dirimu sendiri penuh kotoran, perutmu tempat kotoran, telingamu tempat kotoran, setelah itu kamu akan kembali ke asal kejadianmu, iaitu tanah. Hilang badanmu, terbang jiwamu, hilang segala-galanya, harta benda, pindah ke tangan orang lain. Yang diingat orang daripadamu hanya jasa amalmu! Kalau jasa dan amal itu ada! Kalau tidak ada? Apa yang dapat engkau banggakan?

3. Bertengkar Dan Mematahkan Kata Lawan.

Bertengkar, sampai bermerah-merahan muka, asalnya mencari mana yang salah dan mana yang benar. Akhirnya berganti menjadi merendahkan orang lain dan tidak menghargakan pendapatnya. Perkataan telah keluar dari pokok kata, kemarahan timbul, kebenaran hilang. Persahabatan berganti jadi permusuhan. Renggang hati kedua belah pihak.

Atau mematahkan kata lawan, merendahkan pendapatnya, tidak dihargai, dicemohkan, dikecilkan. Bagi tukang cemoh ini, tidak ada pendapat yang berharga, tidak ada buah fikiran yang benar. Kerjanya hanya mencari mana yang salah, di mana cacat dan celanya. Budi begini sangat rendah, tidak boleh dibawa ke tengah. Pekerjaan mencela mudah. Tidak ada yang semudah mencela di dunia ini.

Penyakit bertengkar dan mencemoh ini menular. Mulanya dua tiga orang, setelah itu satu pergaulan. Lama-lama menjadi penyakit masyarakat umum. Sehingga boleh disebut penduduk negeri anu suka bertengkar. Orang di kampung anu suka mencemoh. Akhirnya nama negeri itu diberi "Negeri PC, negeri (Perkumpulan Cemoh).

Buat golongan ini, anak kecil dengan orang dewasa sama saja. Kawan pergaulan dan yang sebaya umur tidak ada perbezaan. Mukanya keruh, perbuatannya busuk. Sesuatu pekerjaan yang patut diurus dengan sempurna, mereka tak boleh mengerjakan.

Dalam kalangan ini orang mudah sekali hina menghinakan, jatuh menjatuhkan, dengki mendengki dan dekat sekali kepada penumpahan darah. Atau hilang segala kesungguh-sungguhan.

Semuanya menghilangkan kasih sayang, memutuskan persahabatan, menghilangkan kepercayaan dan menghilangkan rasa malu.

4. Senda Gurau Dan Olok-olok.

Senda gurau dan olok-olok, sama bahayanya dengan yang di atas tadi. Dri kegembiraan bersenda gurau, keluar perkataan yang tidak sopan, sebab kegembiraan yang meluap menghilangkan rasa malu. Antara orang tua dengan teman seumur sama saja, dari garah jadi tengkarah (ertinya, senda gurau membawa peperangan). Senda gurau tidak dilarang, asal dalam batas. Rasulullah saw juga bersenda gurau, tetapi perkataannya tidak keluar dari garis kebenaran.

5. Mungkir Janji Dan Dendam.

Setelah itu timbul perangai memudah-mudahkan janji. Menghilangkan kepercayaan, berhubung dengan harta dan kehormatan, atau berhubung dengan kaum wanita. Dendam hati, ialah menyembunyikan perasaan marah dan benci, kerana hendak membalas sakit hati. Mulutnya manis bagai madu, tetapi hatinya bagai hati serigala. Tertawanya singa, menunggu musuhnya lengah.

Semuanya adalah sifat-sifat yang timbul lantaran Ghadab tidak teratur.

Tiada ulasan: