PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Penyakit
takut timbul dari Jubun. Hawa kemarahan badan sudah terlalu dingin dan beku.
Sebab itu timbullah ketakutan. Takut kerana menyangka ada bahaya, atau perkara
yang tidak diingini. Sebab yang diakui bukanlah barang yang telah kejadian
tetapi yang akan datang, perkara besar, atau kecil, sukar atau mudah!
1. Ada
Perkara Yang Pasti Datang Dan Boleh Jadi.
Barang yang
boleh jadi datang dan belum tentu, belum pasti. Sebab itu janganlah kita
putuskan saja bahawa perkara yang belum pasti akan terjadi juga. Kalau berat
sangka bahawa perkara itu pasti datang, yang ditakuti itu kadang-kadang tidak
seberat yang kita sangka.
Hidup yang
senang bahagia dan yang aman, ialah hidup yang mempunyai persangkaan dan
pengharapan baik, cita-cita yang tinggi dan prinsip yang teguh, dan tidak
terlalu banyak memikirkan barang yang belum tentu akan terjadi. Misalnya
seseorang enggan berniaga merana takut rugi, enggan menyewa toko besar, takut
tidak terbayar sewanya, enggan beristeri, takut tidak terbayar sewanya, enggan
beristeri, takut tidak akan terbelanjai. Semua ketakutan itu menghalangi
langkah mencapai kemajuan hidup. Padahal yang lebih patut ditakuti ialah yang
tidak ada kemajuan itu.
Tetapi kalau
yang ditakuti itu, datang dari kesalahan sendiri, hendaklah kita awas dan
hati-hati. Kalau takut diseksa, singkirkan dosa. Kalau takut rugi berniaga,
hendaklah hati-hati. Kalau takut pekerjaan ditimpa bahaya, jangan lupa
mengawasinya. Kalau segala usaha dan ikhtiar telah cukup dilakukan dan dalam
hati masih ada ketakutan juga, ini adalah penyakit. Pergilah ke doktor. Kerana
kalau memang datang juga bahaya itu, padahal ikhtiar dan usaha telah cukup,
tidaklah seorang yang sihat akalnya merasa takut dan menyesal lagi!
Ketakutan
yang begini, kerana dia datang dari fikiran, maka ubatnya ialah dari dalam
fikiran juga. Misalnya seorang berniaga takut rugi, hendaklah diubati dengan
perasaan, bahawa jatuh miskin itu bukanlah penyakit, sebab orang yang lebih
miskin pun boleh hidup, yang jadi penyakit ialah ketakutan itu. Ingatlah bahawa
seorang manusia dilahirkan tidak berharta dan berkain sehelai benang juga,
kemudian dia kembali ke akhirat, pun hanya dengan 3 lapis kafan. Semuanya itu
adalah biasa, tidak perlu ditakutkan.
2. Takut
Kepada Perkara Yang Pasti Datang.
Perkara yang
di atas tadi, ialah ketakutan atas perkara yang boleh jadi datang dan boleh
jadi tidak. Ertinya belum pasti. Bagaimana pula dengan perkara yang pasti
datang?
Dua perkara
yang mesti datang dan sangat ditakuti oleh manusia iaitu: tua dan mati.
Apakah
ubatnya takut itu?
Harus
diingat, bahawa semua manusia, ingin panjang umur, takut tua dan takut mati.
Inilah suatu perasaan ganjil. Gila saja pun tidak segila ini. Sebab orang gila
tidak ada keinginan hidup, sebagaimana tidak mengingini mati juga.
Kalau suka
umur panjang, tentu ertinya suka tua, bukan? Adakah berumur panjang tidak
menemui tua? Tidakkah terlalu tamak orang yang ingin umur panjang dan ingin
terus muda?
Al Akhthal,
penyair Nasrani di zaman Khalifah Bani Umaiyah menyairkan:
Ertinya:
"Manusia
itu semuanya cinta umur panjang.
Padahal
tidaklah kulihat umur panjang hanya menambah tolol belaka.
Kalau engkau
hendak membanggakan harta benda.
Tidaklah ada
harta benda yang melebihi amal soleh".
Bila umur
panjang tua pasti datang. Sebab kalau hidup telah lanjut, timbangan panas
dingin telah reda, darah telah usang, anggota badan pun lemah. Kegiatan habis,
kekuatan pencernaan hilang, gigi goyah dan kadang-kadang tanggal semuanya. Alat
keturunan pun lemah dengan sendirinya. Apalagi orang tua itu kerapkali
menyaksikan orang yang lebih muda daripadanya, terutama di dalam kalangan
keluarganya sendiri, yang dicintainya, mai dahulu daripadanya. Itupun menambah
tuanya juga.
Hidup ini
penuh dengan teka teki. Anak muda yang mati ketika mudanya selalu disebut-sebut
orang: "Ah, kalau dia masih hidup sekarang... " Tetapi teman seumur
dengan yang mati itu, yang masih hidup, dibenci lantaran dia sudah tua.
Sebab itu
haruslah ingat, untuk menghilangkan takut tua, bahawasanya seorang yang hidup,
kalau tidak mati muda, mesti tua.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan