Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 6 FASAL 47 : QANAAH SEBAB KEBAHAGIAAN UMAT DAHULU (BAB 6 QANAAH)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Keteguhan urat qanaah di dalam sanubari umat Islam di zaman purbakala, seketika agama Islam baru dikembangkan, itulah yang menyebabkan agama ini tersebar luas. Qanaah telah meresap ke urat darah mereka. Mereka berkorban dan berjuang ke medan peperangan dan bertempur, tiada mengenal takut dan gentar, untuk wujud yang hanya sebuah, iaitu supaya Kalimat Allah tetap tinggi dari segala-galanya. Untuk itu mereka pandang meurahlah harga harta benda, rumahtangga, anak dan isterinya, akhirnya murah juga badan dan jiwa, untuk membela kalimat Allah itu.

Baiklah di sini kita terangkan suatu contoh.

Tatkala negeri Mesir dikepung oleh bala tentera Islam di bawah pimpinan Amr bin Asy, ada sebuah bentang paling teguh, pusaka zaman Babylon. Raja negeri Mesir yang bernama Muqauqis telah mengirim seorang utusan kepada pahlawan Islam itu, membawa titah demikian bunyinya"

"Tuan-tuan telah masuk ke negeri kami, dengan sikap gagah perkasa tuan-tuan memerangi kami, sudah lama tuan-tuan berusaha mengerjakan pekerjaan yang demikian besar. Tidaklah, tuan-tuan ingat bahawanya tuan-tuan hanya mempunyai kebangsaan yang lemah, yang telah pernah di bawah pengaruh bangsa Rom? Kalau tuan-tuan teruskan juga pekerjaan ini, tuan-tuan akan jatuh kelak ke dalam tawanan kami. Maka sebelum terlanjur, lebih baik kita berunding. Utuslah ahli-ahli bicara supaya kami dengar pembicaraannya. Moga-moga dengan perundingan yang demikian, kita mendapat persetujuan, yang menyenangkan hati kami dan hati tuan-tuan. Kalau urusan ini kita lambatkan, takut kelak bal tentera Rom datang menyerang tuan-tuan, kerana negeri ini di bawah kekuasaannya. Pada ketika itu percuma penyesalan. Sebab itu, segeralah utus ahli runding itu supaya kita cari rembukan yang menyenangkan itu".

Muqauqis bertanya seketika utusan itu sampai:

"Bagaimanakah keadaan bala tentera Islam itu menurut pandangan kamu?"

Mereka menjawab:

"Kami lihat, adalah mereka suatu kaum yang lebih suka menghadapi maut daripada menghadapi hidup. Merendahkan diri lebih mereka sukai daripada mengangkat diri. Tidak ada yang terpedaya oleh dunia dan isinya. Duduk mereka semata-mata atas tanah, makan sambil bersila. Amirnya serupa saja dengan orang biasa, tidak dapat dikenal mana yang tinggi dan mana yang rendah pangkatnya, atau mana yang penghulu dan mana yang pengikut. Mula-mula mereka basuh tiap-tiap hujung anggota mereka dengan air, dan mereka berdiri sembahyang amat khusuknya.

Mendengar itu berkata Muqauqis:

"Demi Tuhan yang dijadikan untuk persumpahan, sesungguhnya kaum yang demikian itu, walaupun gunung yang akan menghambat maksudnya, akan diruntuhkan juga. Tidak ada bangsa yang sanggup berhadapan dengan kaum yang begitu".

Anjuran Muqauqis supaya dikirim ahli bicar adikabulkan Amr. Ubbadah bin Shamil diutus. Dia telah berkata di hadapan baginda, percakapan yang cukup mengandung qanaah.

"kami berjihad pada agama Allah dan tidak lain maksud kami hanyalah mencari keredhaan Allah. Bukanlah kami memerangi musuh lantaran untuk mencari harta dunia, bukan untuk peroleh kekayaan, meskipun harta rampasan itu telah dihalalkan Allah bai kami. Tidak ada di kalangan kami yang mementingkan harta, walaupun kami berharta emas sebesar gunung, atau tidak berwang sesen juga. Kerana tujuan kami dalam dunia ini, hanya sekadar mengambil sekenyang perut, siang dan malam. Kalau pun kami tidak ada harta selain itu, cukuplah itu bagi kami, dan kalau kami banyak harta benda, tidaklah kami teringat menyimpannya, tetapi memberikannya dengan segera kepada Jalan Allah. Kerana menurut keyakinan kami, nikmat dunia itu belumlah pantas disebut nikmat, kesenangan belum perlu disebut kesenangan, sebab nikmat dan kesenangan yang sejati adalah di akhirat. Pelajaran itulah yang diperintahkan Allah kepada kami, dan diajarkan oleh Nabi kami. Kami diperingatkan oleh baginda, supaya menghadapi dunia hanya sekadar untuk pengisi perut, menghindarkan lapar, penutup aurat. Pekerjaan serta kepentingan yang paling besar dari semuanya, telah menuntut keredhaan Allah dan memerangi musuh Tuhan".

Maka datanglah waktu solat. Ubbadah bin Shamit pun solat, kudanya terikat di dekatnya. Terlihatlah oleh beberapa orang bangsa Rom. Mereka datang ke tempatnya cukup dengan pakaian dan perhiasannya, hendak melihat upacara solat yang ganjil itu, lalu mereka olok-olokkan dan tertawakan. Selesai solat yang pertama dan dia menoleh, dikejarnya orang-orang yang mengolok-olokkan itu, sehingga lari berpencaran. Sambil lari mereka buka perhiasan-perhiasan yang lekat di badannya, mereka cicirkan di tanah sebab mereka sangka, dengan melihat batu-batu permata yang mahal berlingkar emas, Ubbadah akan berhenti mengejar. Tetapi Ubbadah masih tetap mengejar, sampai mereka lari ke dalam benteng dari sanalah mereka mencuba melemparinya dengan batu. Kerana tidak akan dapat bertemu lagi, Ubbadah pun kembalilah ke tempat solat tadi, dan sekali-kali tidak teringat olehnya hendakmemiliki barang-barang perhiasan yang sengaja dijatuhkan itu.

Demikianlah beberapa contoh, bagaimana pengaruh qanaah kemenangan kaum Muslimin tempo dahulu, keduniaan mereka pandang ranting kehidupan yang paling kecil, dan mereka besarkan usaha menuntut keredhaan Tuhan, menjalankan perintah Alllah dan Rasul. Dengan niat demikian, mereka berhasil mengalahkan bangsa-bangsa yang maju, menaklukkan kota-kota dan negeri yang besar.

Bertahun-tahun kemudian kaum Muslimin jatuh dan dikalahkan oleh musuhnya. Sebab semangat ini telah hilang dari jiwa. Himmah lemah, akhlak rosak, kemuliaan agama runtuh, kaum Muslimin jatuh ke bawah pengaruh bangsa dan peradaban asing, dilindungi dan dijaga, diperintah dan dijajah. Lahaula-wala quwwata illa billah!

Meskipun telah kita nyatakan bahawa Islam mengajak umatnya hidup dengan qanaah, sekali-kali tidaklah dia menyuruh malas, lalai dan lengah, tiada peduli akan keperluan dan kemestian hidup. Sebaliknya, Islam membawa pengikutnya mencari sukses dalam hidup, menyuruh umatnya maju, tampil ke muka perjuangan dengan gagah perkasa.

Dapatkah kekayaan diperoleh tak berusaha? Dapatkah ilmu dengan tak belajar? Dapatkah mencapai kemuliaan, kalau tak ditempuh jalannya? Padahal kapal tak dapat dilayarkan di daratan!

Ketika Maryam ibu Isa a.s. hendak melahirkan Nabi Utama itu, di tengah padang yang jauh, dia disuruh Tuhan berpegang kepada dahan pohon kurma, supaya runduk ke bawah dan mudah buahnya jatuh. Kalau Tuhan menyuruh qanaah dengan hanya menunggu, dan sekali lagi hanya menunggu, tidak dia pegang dan runduknya pelepah kurma itu tentu Maryam akan tinggal lapar dan haus selamanya.

Apakah yang disuruh Islam pada umatnya di dalam menyembah Tuhan? Bila datang seruan pada hari Jumaat, pergilah mengingat nama Allah (berjumaat) tinggalkan berjual beli.

"Bila sembahyang telah selesai, bertebaranlah di muka bumi, dan harapkan kurnia Allah. Ingatlah Allah banyak-banyak, supaya beroleh kemenangan".

Allah tiada menahan mereka, bila solat itu telah selesai, jangan bertekun juga dalam masjid. Tetapi pergilah, carilah penghidupan kembali, supaya cukup dan lengkap kewajipan yang harus dibayarkan. Cuma satu saja peringatanNya iaitu mengingat Dia jangan seketika solat sahaja. Walaupun penjual makanan telah memegang katian dan gantang, telah memegang ela dan hasta orang penjual kain, telah mempermainkan pena dan tinta orang kerja menulis, namun Tuhan jangan dilupakan. Solat yang berwaktu adalah upacara yang khusus. Tetapi di samping itu, adalah solat yang diperlukan, iaitu ingat akan Dia selalu, dan di mana saja. Itulah solat Daim.

Supaya kamu menang, supaya dapat jaya dalam hidup dunia dan akhirat!

"Berjalan dalam dataran bumi, makanlah rezeki yang telah dianugerahkan".

"Manusia tidak akan mendapat hasil, hanyalah dari usahanya, dan kelak segala usaha itu akan diperlihatkan".

Tiadakah senang hati tuan mendengar, bahawa seketika Rasulullah saw kembali dari peperangan Tabuk, dia bertemu dengan sahabatnya Mu'az. Ketika bersalaman, terasa olehnya telapak tangan Mu'az kesat. Rupanya lantaran banyak pekerjaan kasar. Lalu baginda bertanya apakah sebab tangan itu kesat. Dengan muka berseri sahabat utama itu menjawab:

"Saya membajak tanah, untuk nafkah ahli rumahku, ya junjungan".

Alangkah jernihnya muka Rasulullah mendengar jawapan sahabatnya itu, sehingga diciumnya keningnya, seraya berkata:

"Engkau tak akan disentuh api neraka, Mu'az".

Saidina Umar, bila melihat seorang anak muda yang sihat dan tegap badannya, senang sekali hatinya. Sebab pemuda-pemuda itu dapat dipergunakan untuk mempertahankan agama Allah. Tetapi Saidina Umar, setelah melihat anak muda itu, dengan segera bertanya:

"Adakah dia mempunyai pencarian?"

Kalau orang menjawab tidak, mukanya berubah sebentar itu juga terhadap anak muda itu.

Kata Ibnu Abbas:

"Datang suatu kaum kepada Rasulullah. Di hadapan baginda mereka memperkatakan bahawa ada pula segoolongan kawan mereka, tiap hari puasa, tiap malam sembahyang tahajjud, zikirnya banyak.

Mendengar itu Rasulullah bersabda:

"Adakah di antara tuan-tuan yang hadir ini yang mempunyai makanan cukup dan minuman yang cukup"

Mereka menjawab: "Mudah-mudahan kami semua adalah demikian"

Jawab Nabi: "Tuan-tuan ini lebih baik dari mereka itu".

Pernah pula diperkatakan, tentang seorang yang siang malam hanya tekun ibadat sehingga tidak ke mana-mana.

Lalu Nabi bertanya:

"Siapa yang menjamin makan minumnya?"

"Ada sudaranya", jawab sahabat-sahabat itu.

"Saudaranya itu lebih baik dari dia", kata baginda.

Untuk menjaga kesederhanaan, dan supaya hati tetap dalam ketenteramannya, jangan sampai tenggelam dalam gelombang dunia yang hebat, jangan sampai fikiran hanya kepada harta benda saja, itulah sebabnya disuruh qanaah iaitu sederhana. Rasulullah menutup pintu akan kepanjangan was-was dan keraguan hidup dengan sabdanya:

"Lebih baik segala yang diminta pada Allah itu bersifat iqtishad sederhana. Kerana rezeki yang telah ditentukan buat kamu, lebih mencari kamu daripada kamu mencari dia. Tetapi yang bukan buat kamu, walaupun kamu cari kemana, tidaklah akan kamu dapat, walaupun bagaimana giatmu".

Qanaah tidak berlawan dengan harta, selama harta itu belum menghilangkan ketenteraman hati, sebab qanaah ialah tangga ketenteraman hati. Selama harta itu masih diikat oleh niat yang suci iaitu untuk menyokong segala keperluan hidup, berhubung dengan sesama manusia dan ibadat, untuk bersedekah kepada fakir dan miskin.

Dari itu, tidaklah bernama zahid lantaran tidak berharta. Siapa jua pun sanggup menjadi orang zuhud, menjadi sufi, bukan dihalangi oleh kenyataan harta. Orang yang zahid ialah orang yang tidak dipengaruhi harta; walaupun seluruh isi dunia ini dia yang punya.

Saidina Ali pemimpin dari segala umat Muhammad yang zahid pernah berkata:

"Walaupun seorang lelaki menyimpan sekalian harta benda yang ada di bumi ini, tetapi dengan niat hendak mengadap Allah, tidaklah Allah akan berpaling daripadanya".

Kata saidina Ali, dasar zuhud itu hanyalah satu, iaitu:

"Jangan terlalu gembira beroleh untung, jangan cemas beroleh rugi. Kalau ini telah dipegang, ubun-ubun zahid telah ada dalam tangan".

Qanaah tidak menghalangi menyimpan harta. Kerana banyak guna harta itu untuk mencapai maksud yang tinggi. Sejak membeli tikar sembahyang, membeli perbukaan puasa, membayar zakat dan fitrah, sampai kepada perongkosan naik haji, sampai kepada menolong yang patut ditolong, tidak akan tercapai kalau tak ada harta. Ada orang yang susah hati menyimpan harta, ada pula yang sebaliknya, susah hatinya tidak menyimpan. Kedua-duanya itu tidak terhalang, yang terhalang ialah kalau menyimpan atau menghindarkan harta itu menyebabkan lupa pada Tuhan, sebagai ada pula dalam kalangan orang yang fakir miskin. Kaya dan miskin sama-sama cubaan.

Ingat sajalah bahawasanya Rasulullah saw diutus kepada seluruh manusia. Macam-macam mata penghidupan manusia. Tidaklah disuruhnya orang yang berniaga meninggalkan perniagaan, orang memburuh meninggalkan perburuhan. Tetapi semuanya, diserunya supaya ingat akan Tuhan, supaya segala pencarian itu berdasarkan atas kesucian. Supaya segala mata penghidupan ini hanya dipandang sebagai kemestian bukan itu yang bernama hidup.

Agama Rasulullah saw terbuka pintunya untuk segala tingkatan dan darjat. Dia membolehkan orang menyimpan harta, barangkali akan jadi persiapan bagi ahli dan keluarga. Dia tidak memberati manusia lebih dari yang mereka kuasa. Diberinya manusia bertali panjang, dilepaskan ke mana manusia hendak terbang, dan bagaimana kesukaannya, namun tali tak boleh putus.

Ada sahabat-sahabatnya yang lantaran terlalu termakan pengajarannya mencuba memberati diri, antaranya ada yang hendak puasa tiap hari terus menerus, hendak sembahyang tahajud tiap malam, ada juga yang hendak meniru pendita lain agama, tidak hendak memulangi isterinya dan tidak hendak kahwin. Semuanya dilarangnya.

Itulah sebabnya umat Islam menjadi kaum yang sanggup mempermainkan pedang, sanggup naik kuda berlari kencang, tahan di hadapan musuh walaupun bagaimana kuatya. Ketika pengajaran ini dipakai oleh balatentera "Ikhwan" dari Raja Ibnu Sa'ud, dalam 20 tahun saja dapatlah mereka mengambil sebahagian besar tanah Arab. bagi mereka tiga butir buah kurma buat sehari, cukuplah. Pada hari ini, baik tentera-tentera yang maju sekalipun, bukan ini lagi dasar ketenteraannya, tetapi pada kebanyakan senjata. Bagaimana kalau dasar itu dipakai oleh tentera-tentera Isla, ditambah lagi dengan kekuatan persenjataan, tidaklah akan mengatasi dari segala-galanya?

Sahabat-sahabat nabi yang besar-besar, selain dari menjadi orang-orang yang soleh, dan menjadi kepala perang yang gagah berani pun mempunyai pencarian tetap di waktu damai. Amr bin Asy pemuka Mesir, seorang tukang potong haiwan. Zubair bin Awwam, Abu Bakar Siddiq, Utsman bin Affan, Thalhah bin Ubaidillah, Abdur Rahman bin Auf, semuanya saudagar-saudagar yang cerdik. Umar bin Khatta b menjadi perantara (petunjuk harga di antara penjual dan pembeli. Namanya sekarang salesman). Saad bin Abi Waqqas, bekas tukang pintal tali, Wahid bin Mughirah, bekas tukang besi. Demikian pula Abul Asy, Abu Sufyan bekas penjual minyak. Hakam bin Abil Ash tukang kebiri binatang, Asy bin Wail, dukun binatang (doktor haiwan).

Imam Abu Hanifah yang masyhur, sudagar sutera, Malik din Dinar seorang zahid yang masyhur, penjual kertas tulis. Muhallab nin Abi Shufrah seorang ahli membuat kebun. Qutainah bin Muslim seorang pahlawan perang yang mengalahkan negeri Ajam, saudagar unta. Uyainah menjadi guru, demikian juga Dhihak bin Muzahim. Banyak lagi yang lain.

Banyak pula di antara sahabat-sahabat Nabi dan Tabi'in yang datang di belakangnya, kaya raya menyimpan wang berjuta-juta.

Tambahan

Agama Islam tidaklah menyukai perbezaan yang menyolok mata antara orang yang berpunya atau kaya dengan yang tak punya atau miskin. Islam juga tidak memungkiri adanya kelebihan akal setengah orang, dan kekurangan pada yang lain, sehingga berbeza setengah orang, dan kekurangan pada yang lain, sehingga berbeza kesanggupan menurut perbezaan akalnya. Imbangan antara kesanggupan dan keadilan sosial telah dipraktikkan di zaman Khalifah-khalifah yang terdahulu, terutama di zaman Amiril Mukminin Umar bin Khattab. Tetapi kemudian, setelah jabatan Khalifah tidak dengan pilihan umum, melainkan dijadikan hak keturunan, ertukar sistem pemerintahan Islam dari demokrasi yang berdasarkan taqwa, kepada absolute monarchy yang tidak terbatas. Waktu itu timbullah Feodalisme, dan timbullah yang kaya, kaya sangat, yang miskin, betul-betul miskin, sehingga dirinya sendiri pun, tidak lagi dia yang menguasai. Maka pada waktu itulah rakyat melarat diubatinya dengan fatwa, bahawa kehidupan dunia ini biarlah begini saja. Kezaliman raja adalah hukum Tuhan kerana kelalaian beragama. Agama ialah memutuskan hubungan dengan dunia kerana tak punya lagi memutuskan hubungan dengan dunia kerana tak punya lagi menebusnya. Sebab yang berharta, hanyalah orang-orang yang dekat dan punya hubungan keluarga dengan raja. Di waktu yang demikian keluarlah 'falsafah' yang indah-indah tentang membenci harta dan kekayaan, untuk pengubat hati orang yang melarat.

Masyarakat Isla yang sudah bobrok itu akhirnya jatuh. Negeri-negeri Islam yang telah lemah jiwanya itu, akhirnya dikuasai oleh bangsa Barat yang lebih maju. Sekarang timbullah kesedaran baru, dan timbullah faham dalam seluruh masyarakat bangsa-bangsa terhadap kehidupan yang telah rosak itu, yang menginginkan perubahan. Ada yang melalui revolusi dan ada juga yang menempuh jalan evolusi.

Perbaikan itu adalah mengenal seluruh kemanusiaan, tidak pilih agama atau bangsa. Tersebutlah perkataan 'keadilan sosial' dan 'sosial ekonomi'; keadilan pembahagian rezeki dan tanah. Kata-kata 'keadilan' lebih cepat dipakai daripada perkataan 'persamaan'. Dengan ini akan hilanglah perbezaan yang menyolok mata di antara yang kaya dengan yang miskin. Kalau masih ada yang kurang pendapatannya tidaklah akan dapat disesali lagi, kerana itulah soal kesanggupan, bukan soal sewenang-wenang yang berkuasa.

Meskipun perbaikan nasib manusia itu kelak tercapai, namun kontrol agama akan tetap ada pada setiap zaman. Bagi orang yang terlalu miskin ada kontrol dari agama, menyuruh sabar dan jangan putus asa. Terhadap yang terlalu kaya ada kontrol dari agama, supaya bersyukur kepada Tuhan dan memberikan pertolongan yang wajib kepada yang miskin. Kalau perbezaan menyolok mata itu tak ada lagi, masih ada kontrol dari agama, iaitu supaya semuanya bekerjasama menegakkan kasih sayang, amal dan ibadat, jasa yang tak putus, bagi masyarakatnya dan bagi keturunan yang akan ditinggalkannya.

Tiada ulasan: