Catatan Popular

Rabu, 23 Disember 2020

TASAWWUF MODEN BAB 7 FASAL 50 : BAGAIMANA MENUNGGU COBAAN (BAB 7 TAWAKKAL)

PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)

Menderita sakit, kepedihan hidup dan kesukaran yang sentiasa bertimpa-timpa, dan menerimanya dengan sabar dan tahan, juga termasuk tawakal.

Bertambah beratnya bahaya yang datang dah bencana yang menimpa, tidaklah menggoyang iman seorang mukmin. Tidak pula akan memundurkan langkah seorang yang telah mencapai bahagia dari kebahagiaannya.

Apa sebabnya?

Perasaan itu menurut keterangan Imam Ghazali timbul dari dua sebab:

  1. Cinta pada Allah (Al Hubbu Fil Lah).
  2. Segenap perhatian telah terhadap kepadaNya (Tawajuh lil Lah).

Hujjatul Islam itu telah membuat contoh yang dapat diterima akal. Seorang yang tawakal kerap tidak merasai sedikit pun, walaupun bagaimana besar bahaya yang menimpanya kerana perhatiannya terhadap Allah semata-mata.

Untuk ini ada dua contoh:

Pertama, orang yang tengah berperang dan perhatiannya sedang tertuju kepada perjuangan dengan musuh. Lantaran perhatiannya telah tertumpah ke sana, dia tidak sedar bahawa dia mengalami luka. Walaupun kelihatan olehnya darah telah mengalir.

Kedua, orang yang tengah memikirkan suatu urusan yang sangat penting. Fikiran dan perhatiannya bulat-bulat tertuju ke sana, sehingga jika dia berjalan di jalan raya, datang orang lain menegurnya, tak terdengar olehnya. Padahal telinganya tidak tuli. Hati tiada mengerti akan apa yang di sekelilingnya bilamana perhatiannya tertumpah kepada perkara yang lain.

Demikianlah pula seorang yang asyik, yang amat rindu hendak menemui kekasihnya dan memohon supaya cintanya dibalas. Ketika perhatiannya tertupah kepada kecintaan itu, walaupun apa yang akan terjadi, dia tak sedar. Lebih-lebih kalau yang terjadi itu timbul dari perbuatan orang yang dicintai itu sendiri. Di sinilah terpasangnya perkataan 'cinta buta'. Sedangkan bahaya datang dari orang lain tidak disedarinya, apatah lagi kalau datang dari kecintaan. Kerana sebanyak itu perhatian dan fikiran yang menimpa hati, urusan rumahtangga, kesusahan hati dan apa jua tidak ada sesuatu yang melebihi pengaruh cinta hati.

Kalau perumpamaan ini dapat diambil contoh dari sakit yang sedikit dan tidak terasa, bertali dengan cinta yang ringan dan belum besar, bagaimana pulakah jika yang mencintainya itu suatu jiwa yang besar, mencintai kekuasaan yang maha Besar pula? Nescaya dalam hal begini tidak dapat digambarkan dengn contoh biasa. Kerana hanya orang yang mencuba jua yang lebih tahu dan tak dapat dinyatakan melainkan dirasai sendiri. Sebesar-besar kesakitan dan bencana, tidaklah terasa, lantaran indahnya perasaan cinta.

Sebagaimana cinta berkenaikan dari setingkat ke setingkat, sakit pun berkenaikan setingkat ke setingkat.

Sebagaimana dengan penglihatan mata, bagi seniman bertingkat-tingkat pula perhatiannya kepada keindahan lukisan, maka cinta kepada lukisan gambaran ghaib itu pun bertingkat-tingkat pula.

Keindahan Hadrat Rububuyah, Persada Ketuhanan, lebih dari segala keindahan dan kecintaan lahir. Barangsiapa yang terbuka baginya dinding itu, dan dia dapat meyakinkan walaupun sedikit, maka dia berasa berpindah dari alam fana ini ke dalam syurga dengan tiba-tiba, dalam satu saat saja. Lantaran tercengangnya, dia jatuh pengsanlah, tiada sedarkan diri.

Sudah kejadian bekas ini pada isteri Fatah Al Mushili. Fatah adalah seorang Sheikh yang besar, dan isterinya pun termasyhur dalam dunia tasauf. Pada suatu hari kaki perempuan itu telah terantuk ke batu dan terkelupas kukunya, sehingga mengeluarkan darah. Hairan, dia tersenyum lantaran luka itu, dia tiada merasa sakit. Lalu orang bertanya kepadanya:

"Tidakkah engkau merasa sakit?".

"Sakit?... tidak! Kelazatan pahala yang telah meliputi hatiku, menghilangkan rasa sakit yang meliputi kakiku".

"Mengapa tiada segera engkau ubati badanmu?"

Dia menjawab:

"Kalau segera saya ubati, saya cemas kalau-kalau lekas perginya penyakit itu. Kerana menurut keyakinanku, itu adalah suatu jentikan 'kecintaanku'.

Orang yang merasai kesakitan itu, serta insaf bahawa dia ditimpa bahaya, tetapi bahaya itu diinginnya dan dimintanya, meskipun dideritanya sakitnya dan payah badannya menanggungkan.

 

Tiada ulasan: