TULISAN PROF DR. HAMKA (TOKOH AGAMA AGUNG INDONESIA)
Dengan
agama, iman, Islam dan iktikad yang kuat, sudah dapat tercapai bahagia batin
dan hubungan yang baik dengan Allah. Tetapi kesempurnaan ibadat tergantung pula
kepada kesempurnaan budi dan otak. Maka pada bahagian yang ketiga ini, kita
mulai memberikan keterangan tentang kesempurnaan perangai yang utama itu.
Keutamaan
terlindung di dalam 2 (dua) erti:
1. Keutamaan
Otak.
2. Keutamaan
Budi.
Keutamaan
otak telah dapat membezakan antara jalan mulia dengan yang hina. Yakin akan
kebenaran barang yang benar dan berpegang kepadanya, tahu akan kesalahan barang
yang salah dan menjauhinya, semuanya didapat dengan otak yang cerdas, bukan
kerana turut-turutan, bukan kerana taklid kepada pendapat orang lain saja.
Adapun
keutamaan budi ialah menghilangkan segala perangai yang buruk-buruk,
adat-istiadat yang rendah, yang oleh agama telah dijelaskan mana yang mesti
dibuang dan mana yang mesti dipakai. Serta biasakan perangai-perangai terpuji,
yang mulia, berbekas di dalam pergaulan setiap hari dan merasa nikmat memegang
adat mulia itu.
Kalau kita
menghentikan larangan dan kita mengerjakan suruhan, tetapi merasa bahawa kita
melakukan itu kerana terpaksa, tandanya belumlah naik tingkatan keutamaan budi.
Sebab itu haruslah sentiasa diri berperang dengan diri dan dalam perjuangan
yang hebat itulah kita dapat mencapai tujuan yang mulia.
Ada orang
berkata: Kebenaran pahit, kejahatan manis, meningkat ke langit keutamaan amat
sukar, turun ke lurah amat mudah! Kata demikian hanya berlaku bagi orang yang
tiada terdidik dirinya dengan perangai utama. Kalau diri telah terdidik,
terasuh patuh dan tunduk semenjak kecil maka pepatah itu tidaklah berlaku. Di
dalam Quran Tuhan pernah berfirman:
"Sembahyang
itu amat berat dikerjakan, kecuali oleh orang yang khusyuk".
Sungguh kita
telah merasa manis mengerjakan taat dan telah benci mengerjakan maksiat,
belumlah sempurna darjat utama itu kalau perasaan ini masih samar-samar. Tetapi
hendaklah tetap dan ajar tetap berperasaan demikian sepanjang umur. Seketika
orang bertanya kepada Rasulullah saw, apakah erti dan rahsia kebahagiaan,
baginda bersabda:
"Bahagia
itu ialah tetap taat kepada Allah sepanjang umur!".
Ada orang
menyangka bahawa nabi-nabi dan orang-orang "muqarrabin" tidak takut
mati, tidak seperti kita yang selalu takut mati. Persangkaan itu salah.
Rasul-rasul dan aulia-aulia itu pun takut mati. Cuma sebab-sebab ketakutan
itulah yang berbeza. Mereka takut mati, kalau-kalau putus taatnya, yang sangat
dirasainya lazatnya itu, akan hilang lantaran mereka mati. Kita takut mati
lantaran ibadat dan ketaatan tidak ada.
Sheikh
Muhammad Abduh seorang Aulia yang takut mati, kerana dengan kematian itu kata
beliau akan terputus amal solehnya, (keterangan takut mati akan kita terangkan
di belakang). Mereka takut mati kerana bertambah panjang umur dan bertambah
banyak ibadat kepada Allah bertambah pula kesucian dan pahala.
Segala yang
diperkatakan itu akan lebih melekat dalam jiwa, bila dibawa berfikir dan
dipanjangkan penyelidikan. Manakah kebaikan yang telah diperbuat dan apakah
celaka batin yang telah menimpa diri!.
Manusia di
dalam selimut syahwatnya, tidur nyenyak, kelak setelah dia mengembuskan nafas
penghabisan, baru dia sedar pada diri.
Biasakan
perangai utama membela keutamaan dengan tidak bosan dan jemu menyelidiki di
mana terletak kebenaran, tidak peduli halangan yang menyelimutinya. Laksana
tukang jahit yang tenang memutar mesin kerana sudah jadi pekerjaannya yang
biasa, atau tukang batu yang mengangkat dam membina tembok sambil menyanyi,
kerana itula pencahariannya.
Keutamaan
otak dan budi didapat dengan 2 ikhtiar:
1. Ikhtiar
Fikiran.
2. Ikhtiar
Kerja.
Untuk
memudahkan ikhtiar itu ialah dengan:
a.
Dipelajari.
b.
Diusahakan.
Setelah
dipelajari dan diusahakan ia pun berkehendak kepada waktu percubaan, perasaan,
penanggungan dan pengalaman. Setelah itu, maka keutamaan pun teguhlah uratnya.
(Ibrahim:
24-26).
Ada juga
yang mencapai perangai utama dengan tidak dipimpin manusia atau ikhtiar
sendiri, yang sejak lahirnya telah dipimpin Allah, ialah Nabi-Nabi. Selain
daripada Nabi, kadang-kadang orang-orang yang sentiasa mendekatkan dirinya
kepada Tuhan, banyak mendapat hidayah, ilham-ilham ghaib yang tidak akan
tercapai akal fikiran dan logika biasa.
Ada tiga
rukun yang perlu dalam mencapai utama:
1. Dengan
Taubat.
2. Dengan
Pengalaman.
3. Dengan
Pelajaran.
Jika
ketiga-tiganya telah sejalan, ada harapan bahawa keutamaan akan tercapai. Kalau
ketiganya kendur, kendurlah keutamaan. Kalau salah satunya kurang, pincanglah
keutamaan. Ramai orang yang dari kecil bergaul dalam kalangan ugama, tetapi
pengalaman tidak ada atau ilmu tidak ditambah, pengalamannya itu tak memberi
faedah bagi kenaikan budinya.
Adapun musuh
yang sentiasa menghalangi manusia mencapai keutamaan ialah 'hawa'. Hawa nafsu
menyebabkan marah, dengki, haloba, dan kebencian.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan