BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Syuhud ertinya tercapai suatu rasa zuqq yang maha sedap dan
lazat (hakikat) serta kehadiran pengetahuan (ma’rifat) yang hasil daripada rasa
hakikat itu. Apabila hal umpama itu tercampak ke dalam hati orang yang bersih
tadi nescaya tercapai kepadanya suatu kesedapan dan kelazatan yang tak dapat
digambarkan oleh tulisan dan cakapan hingga kerap kali terbawa ia kepada tiada
kesedaran pada dirinya dan juga kepada makhluk sekelilingnya yang mana orang
tasawuf menamakan dia pada waktu itu ‘ fana”.
Fana’ demikian adalah terjadi kerana tercapai kelazatan dan
kesedapan rasa zuqq dan melebihi daripada kelazatan jima’, bahkan dapat dirasa
maha hebat lagi dari penyakit rasa cinta kepada seorang wanita. Tercapainya
syuhud itu melalui dua jalan: pertama jalan fana’ (tiada kesedaran pada diri)
yaitu pada peringkat permulaan dan jalan yang kedua ialah jalan baqa’ (dirinya
dalam kesedaran) dan yaitu peringkat penghabisan sekali (Al-Insanul-Kamil
namanya). Dan tiap-tiap daripada dua jalan yang tercapai syuhud itu berertilah
dia sudah tercapai ma’rifat dan hakikat dan tiap-tiap orang yang mencapai
ma’rifat dan hakikat maka berertilah dia sudah jadi orang wali yang mana orang
tasawuf menyifatkannya sebagai orang yang berjaya mendapat dua syurga
sebagaimana firman Allah Taala:
“Bagi
siapa-siapa yang mencapai makam takut pada Tuhan ia akan beroleh dua Syurga”.
Syurga yang pertama ialah syurga pembalasan di akhirat dan
syurga yang kedua ialah syurga syuhud yaitu ma’rifat dan hakikat yang tercapai
di dunia. Telah berkata orang sufi, barangsiapa engkar hal syuhud yang diberi
Allah kepada auliya’ Allah adalah ditakuti mati ia di dalam Su’ul-Khatimah
(mati dalam kejahatan yang paling buruk pada penyudahan). Dan sekurang-kurang
denda pembalasan Allah yang diberi kepada orang yang engkar hal itu ialah
bahawa tiada diberi rezeki oleh Allah akan rasa apa-apa di dalam hatinya umpama
rasa-rasa warid atau nur (hati mati) dan hal-hal yang tercapai dalam syuhud
umpama itu adalah tidak lari dari sebahagian tujuan maksud ayat Quran:
“Orang-orang
mukmin (yang sebenar) itu adalah maha cinta kepada Allah s.w.t.”.
Dan juga maksud hadis:
“Tidak
tercapai mukmin yang sebenar seorang kamu hingga adalah ia maha cinta kepada
Allah dan RasulNya melebihi daripada yang lain-lain”.
Dan di dalam satu riwayat yang lain “Melebihi daripada dirinya
sendiri”. Dan tidaklah dikatakan atau tercapai ‘maha Cinta’ itu melainkan
dengan rasa dan zuqq jua kerana hal cinta kasih itu adalah benda rasa. Dan
dengan ayat dan hadis umpama itu maka sedaplah tukang-tukang syarah buat
bersyarah untuk orang pada hal ia sendiri tidak pernah tercapai hakikat itu.
Ini adalah disebabkan kerana tiada sedar pada dirinya ataupun kerana belum
bertemu jalan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan