BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Tidak syak lagi bahawa orang sufi yang menguasai atau yang
tercapai akan ‘hakikat’ itu tentulah secara otomatik ia dapat menguasai
‘ma’rifat’. Dan erti ma’rifat itu ialah segala pengalaman atau ilmu pengetahuan
yang hasil daripada tercapai rasa ‘hakikat’. Sebagaimana kita misalkan sebentar
tadi, hakikat itu ialah seperti tercapainya rasa kesedapan gula yaitu setelah
diletak di atas lidah dan rasanya begitu, dan tentulah hasil daripada kecapan
rasa itu tercapainya pula wujud pengalaman atau ilmu
pengetahuan mengenai hal gula itu. Biarlah saya bawa suatu bandingan yang Iain
begini:
Orang-orang sufi (wali) itu ialah orang-orang yang suci jilah hatinya. Dan oleh
kerana suci jilah yang sebegitu rupa, maka jadilah hati itu laksana cermin,
manakala Tuhan laksana matahari dan rahsia ilmu pengetahuan yang indah-indah
itu laksana gambar-gambar sesuatu yang kelihatan memenuhi alam ini, umpama
langit, awan, bukit-bukit, gunung-gunung, pokok-pokok kayu dan sebagainya.
Apabila matahari itu naik cerah memancar, dan pancaran cahaya matahari itu
dapat menerangkan alam sekitar yang menampakkan gambar- gambar alam ini,
kemudian hendaklah dihalakan cermin tadi supaya bersua dan bersetentangan
dengan matahari dan alam sekitarnya, pada waktu itu apa akan terjadi kepada
cermin itu? Jawabnya: Tentulah gambar matahari itu sendiri yang kita ibaratkan
sebagai Tuhan dan juga gambar-gambar alam sekitar yang kita ibaratkan sebagai
rahsia ilmu, akan kelihatan terwujud di dalam cermin ini dengan
seterang-terangnya. Tetapi jika cermin itu terkena asap yang tebal maka akan terhalang
kepadanya menangkap gambar matahari masuk ke dalam cermin dan oleh sebab gambar
matahari itu tidak dapat ditangkap oleh cermin kerana asapnya maka
gambar-gambar alam sekitar pun turut serta tidak kelihatan dalam cermin itu,
kerana gambar-gambar alam sekitar itu hanya menumpang masuk dalam cermin
melalui pancaran cahaya matahari jua sedangkan cermin yang masih menebal
asapnya tidak boleh ditembusi cahaya.
Maka begitulah juga bandingan hati orang wali yang bersih berkilat, apabila
cermin hatinya tercapai hakikat syuhud itu maka dengan otomatik tertajalli
Allah pada hatinya, dan di waktu itu juga berhasillah ma’rifat secara otomatik yaitu
segala rahsia ilmu yang aneh-aneh yang hasil dari tangkapan karan hakikat
syuhud dan tajalli Allah pada hati itu, yakni pada waktu itu tiada terlindung
sedikit pun segala rahsia ilmu yang sungguh ajaib dan aneh pada cermin hati
mereka. Maka jadilah hati itu seolah-olah cermin yang nampak Allah belaka
bahkan ia hidup dan sedar dalam setiap ketika. Sebab itulah air sembahyang Nabi
Muhammad atau wali yang besar-besar tidak batal dengan semata-mata tidur.
Tetapi jika hati mereka sebaliknya yakni kotor dan tebal dengan asap- asap
karatnya maka rahsia-rahsia ilmu umpama tadi tidak akan terlihat atau terguris
sedikit pun dalam cermin hati kerana asap kekotoran hati menghalang nur
rahsia-rahsia ilmu itu dari masuk ke dalam hati dan lebih-lebih lagi
menghalangnya dari dapat syuhud dan tajalli (terbuka rasa zuqq pada hati orang
wali). Maka tiada jalan lain lagi untuk menghapus asap karat hati itu melainkan
hendaklah ia disempuh, dibakar dan dileburkan lebih dahulu
dalam dapur mujahadah dan ibadat tariqat. Demikian contoh bandingan bagaimana
cara orang sufi yang dahulu mengambil segala rahsia ilmu yang indah-indah
daripada Allah s.w.t. dengan tidak payah belajar.
Allah berfirman:
Ertinya:
“Mereka-mereka yang bermujahad pada jalan Kami nescaya akan Kami tunjukkan mereka
pada jalan-jalan Kami”.
Dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w. telah bersabda:
Ertinya: “Siapa-siapa
beramal dengan apa ilmu (ugama) yang ia tahu nescaya Allah akan memberi pesaka
ilmu pengetahuan yang ia, belum ketahui”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan