Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 5 WAHDATUL-WUJUD DALAM HURAIAN YANG SIHAT : 5.2 ) Wahdatul-Wujud Masalah Zuqq Yang Benar Berlaku.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Sebenarnya Wahdatul-Wujud bagaimana dipertengkar dan dipersalahkan oleh orang Usulud-Din (yang tidak faham) itu tidaklah begitu. Tetapi oleh kerana orang Usulud-Din mengheretkan Wahdatul-Wujud ikut cara sebagai suatu pengertian ilmiah semacam ilmiah Usulud-Din maka dengan otomatiknya terjadilah Wahdatul-Wujud itu sebagai suatu pengertian dan fahaman yang salah.

Pada hal sebenarnya tidaklah begitu. Bahkan, jika Wahdatul-Wujud itu dibawa sebagai suatu idea, atau sebagai suatu pengertian mata pelajaran, atau sebagai pegangan falsafah maka berertilah ia mengambil suatu cara yang salah dalam mencapai fahaman atau memberi pengertian berhubung dengan Wahdatul-Wujud itu.

Kerana Wahdatul-Wujud di sisi mana-mana ahli sufi pun baik pada sisi Syaikh Ibni Arabi atu Al-Imam Syaikh Junid Al-Baghdadi atau Al-Imam Ghazali atau Al-Imam Syazali atau lain-lain orang sufi adalah satu jua yaitu suatu masalah zuqq atau rasa yang dicampak Allah ke dalam hati jenis orang-orang yang bersih (hati sufi), ia bukan masalah aqidah atau fahaman atau pengertian atau pegangan dalam bicara ilmu. Cuba tuan rasakan pedas lada itu, kemudian cuba tuan tuliskan di atas kertas bagaimana rasa pedas itu, mungkinkah dapat? Dan oleh kerana demikian maka jika dibentangkan huraian Wahdatul-Wujud itu ikut jalan bicara ilmu atau ilmiah nescaya jadilah ia memberi keliruan semata-mata, bahkan kerap kali ia menimbulkan falsafah karut semata-mata.

Bukan sedikit kitab-kitab tasawuf yang karut dan salah timbul akibat huraian Wahdatul-Wujud mengikut aliran fahaman persendirian yang salah dengan sebab tidak belajar. Hingga kerap kali jadi mereng otak kita bingung hendak memahami perkara itu. Apatah lagi dengan semata-mata pergi ke kedai membeli kitab, kemudian membaca sendiri dan mencari fahaman sendiri pada masalah yang payah-payah dengan tidak berpedomankan kepada guru yang ahli nescaya jadilah ia membawa kepada fahaman keliru dan samar.

Hal ini mestilah ditegaskan kerana Wahdatul-Wujud berupa masalah ugama yang bukan kecil.

Untuk mencari penyelesaian dalam masalah itu eloklah dulu kita faham “Wahdatul-Wujud’ pada segi bahasanya (bukan menurut bahasan ilmu). ‘Wahdah’ ertinya pada bahasa kesatuan atau satu.

Dan “Al-Wujud” erti pada bahasa ialah yang wujud atau segala apa yang ada (termasuk Tuhan dan makhluk). Apabila dikacuk kedua-dua perkataan itu menjadi satu rangkaian ‘Wahdatul-Wujud’ ertinya segala apa yang wujud ini adalah satu atau kesatuan (termasuk Tuhan dan makhluk) maka dengan demikian sudah tentu memberi suatu pengertian yang salah dan juga i’tiqad yang salah.

Pada hal Wahdatul-Wujud mengikut istilah yang sebenarnya tidaklah begitu, dan orang tasawuf pun tidaklah sebegitu bodoh dan bebal mengambil faham demikian.

Ketahuilah bahawa Wahdatul-Wujud itu ialah suatu rasa atau zuqq yang dicampak oleh Allah pada hati orang sufi kerana kebersihan hati yang benar-benar sudah tercapai.

Dan pada ketika.itu Allah Taala hapuskan ingatan hatinya kepada yang lain selain daripada Allah jua. Serta ada kelazatan dan kesedapan yang sukar hendak dibanding dan ditanding zuqq demikian tidak akan tercapai melainkan apabila seorang itu mengambil jalan ibadat tariqat. Dan maksud ibadat tariqat itu ialah amalan zahir yang mengandungi dan tidak lari daripada wirid-wirid: zikir, salawat dan istighfar (yang diakui sah) yang diterima dari guru yang benar-benar ahli tariqat dan diamal dalam bilik perseorangan atau sebagainya.


Dan tidaklah dikatakan tariqat melainkan ia setelah diakui sah oleh ahli yang benar-benar mempunyai syuhud yaitu orang wali, bukan tariqat dari jenis-jenis yang tidak diakui sah seperti jenis-jenis tariqat tiruan atau rekaan (ciptaan) sendiri atau campuran khadam atau yang bukan tariqat dikatakan tariqat atau sebagainya.

Dan hendaklah diingat bahawa timbulnya kebanyakan ilmu-ilmu yang karut dan sesat adalah berpunca dari jenis tariqat-tariqat yang rosak dan tidak diakui sah (palsu). Kerana seorang itu apabila kasyaf dan terbuka mata dalam melihat perkara-perkara ghaib alam malakut tentulah tidak sunyi daripada datang kepadanya roh-roh alam malakut di sana dan mengajar berbagai perkara dan sudah tentu kita tidak dapat mengecam dan ketahui bahawa roh-roh itu dari jenis apa, syaitankah atau lain-lainnya.

Dan oleh sebab itulah dalam amalan tariqat itu dikehendaki kepada guru yang mursyid dan juga hendaklah tariqat yang hendak diamal itu tariqat yang benar-benar sah dalam tasawuf dan sudah banyak makan jasa.

Dan ketahuilah bahawa dunia tasawuf itu ada dua macam.

Pertama tasawuf Alami,

Kedua tasawuf Amali yaitu Tariqat.

Dan yang kedua inilah lebih penting dari yang pertama.

Apabila seorang itu melazimkan dirinya dengan ibadat tariqat yang sah dalam jadual masa yang ditentukan, hingga jadi tabiatnya beramal pada bila-bila masa sama ada pada waktu senang atau susah sampai jadi ia kejap dan tetap di atas ibadat tariqat itu dan kalau tertinggal diqadha’nya, barulah dinamakan dia ‘wirid’. Apabila wirid itu diamal berkekalan dengan lama kelamaan maka menunggulah dia akan dapat ‘warid’ yaitu nur Ilahi yang hasil daripada ibadat tariqat atau wirid itu tadi. Warid atau nur tiada dicampakkan Allah ke dalam hati orang yang beribadat tariqat itu melainkan untuk melebur dan menyuci segala karat hati yang menyebabkan ia mati dan tiada mempunyai karan. Apabila hati itu benar-benar suci dan bersih dan warid itu menetap kejap di hati tidak pergi-pergi lagi maka di kala itu menunggu pula ia akan kedapatan syuhud. Warid atau nur adalah benda rasa dan ia dapat dirasa oleh hati kerana ia adalah makanan dan minuman bagi hati dan dengan dia maka hidupnya hati.

Tiada ulasan: