Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 4 JENIS-JENIS HATI MANUSIA DAN KETERANGAN YANG BERKAITAN DENGANNYA : 4.6) Keraguan Terhadap Masalah Tariqat Penting Dijelaskan.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Amat mustahak sekali dilanjutkan huraian berhubung dengan masalah tariqat itu, yaitu mungkin pada segera faham kebanyakan orang ramai menganggapkan bahawa ibadat-ibadat dalam ugama adalah unsur yang melemahkan semangat orang lalu dilemparkan tuduhan-tuduhan busuk dan fitnah kepada ugama khususnya kepada dunia tariqat dengan katanya: “Ajaran Tariqat boleh melemahkan semangat orang Melayu dalam mencapai kemajuan pembangunan“.


Pada menjawabnya, jika tariqat itu melemahkan semangat maka itulah sebenarnya bukan tariqat. Dan jangan sekali-kali yang bukan tariqat dianggap sebagai tariqat kerana ilmu tariqat yang sebenar tidak pernah menganjurkan penganutnya supaya menyimpang dari kehidupan dunia mencari makan minum sebab ilmu tariqat adalah pakar zawahir dan bawatin sudah tentu ia mengetahui segala keperluan zawahir dan bawatin seperti keperluan mulut, keperluan tali perut, keperluan syahwat dan lain-lain lagi. Kemunduran orang Melayu selama ini adakah kerana ibadat? Tolong buktikan berapa inci dan berapa peratuskah orang Melayu selama ini kuat beribadat hingga menyebabkan kemunduran berlaku? Pada hal yang sebenarnya kemunduran itu berlaku adalah disebabkan kerana hati mati dan mampus, hati leka dan lalai kerana tiadanya ibadat. Hal ini adalah salah satu sebab yang tidak boleh dinafikan. Sebaliknya jika tariqat yang sebenarnya dilakukan pengamalannya dalam sebuah negara maka tidak mustahil ia akan melahirkan manusia-manusia anak warganegara yang sihat-sihat dan luhur.


Dan ada pula golongan yang anti tariqat mengatakan bahawa tariqat tasawuf adalah khurafat semata-mata dan bukan dari ajaran ugama Islam. Golongan yang berpendapat demikian agaknya adalah berdasar kepada nafsu semata-mata kerana tiada pecah selira pada tasawuf. Kita ingin bertanya dan mengemukakan soalan kepada mereka

 

       Zikir-zikir umpama “LA ILLAH ILLALAH” itu rekaan siapa? Adakah dia direka oleh syaikh-syaikh tasauf atau datang dari Nabi Muhammad s.a.w.?

       Pernah pada satu ketika Nabi mengajar Saiyidina Ali akan talqin zikir pada hai Saiyidina Ali sudahpun ia Islam sejak kecil lagi dan sudahpun ia pandai dan mahir berzikir tetapi Nabi ajarnya juga talqin zikir itu kepada Saiyidina Ali sebanyak tiga kali. Apakah tujuan Nabi pada demikian? Dan apakah rahsianya di sebalik itu?

       Atau tariqat yang manakah tariqat yang dimaksudkan bukan dari Islam itu?

       Dan apakah pula erti istilah tariqat yang dimaksudkan oleh dunia tasawuf itu?

Ada setengah-setengah golongan anti-tariqat, mereka mengarang beberapa buah kitab khusus untuk menentangnya, mereka mengeluarkan hujjah berdasarkan hawa tidak pecah selira mereka pada tasawuf, lalu dikeluarkan hujjah-hujjah mengeliru fahaman orang ramai. Maklumlah mereka pandai. Apa kehendak seribu hujjah dan apa yang tidak bersetuju seribu hujjah. Pada menjawabnya. sebenarnya mereka umpama itu tidak pernah kita bertemu dalam catitan sejarah bahawa mereka adalah ahli tasawuf sekalipun mereka ahli ilmu dan bijak pandai, dan oleh kerana mereka bukan ahli dalam ilmu tasawuf maka segala kata-katanya dalam karangan itu sama ada ia puji pada tasawuf atau ia cela pada tasawuf adalah tidak boleh dipakai sama sekali bahkan segala pendapatnya adalah tertolak kerana mereka bukan ampunya ahli dan oleh sebab itu tidaklah kita dapat terima petua mereka. Ketahuilah bahawa ilmu tasawuf itu lain dari ilmu yang lain bahkan ia adalah suatu ilmu yang maha pelik, apakah hikmat Allah di sebalik itu tidaklah diketahui.

Sesungguhnya pandangan manusia terhadap ilmu tasauf itu ada tiga jenis:

1. Jenis yang pertama ia memandang kepada ilmu tasawuf itu dengan hati yang semata-mata kosong yakni hatinya tiada menaruh apa-apa perasaan terhadap ilmu tasawuf sama ada berupa ingin atau berupa benci terhadap ilmu tasawuf malah dari mencelanya adalah jauh sekali.

2. Jenis yang kedua ia memandang terhadap ilmu tasawuf dengan menaruh perasaan keinginan pada ilmu tasawuf lalu ia cuba hendak mengetahui isi kandungan atau pun ia tinggal dengan sifat keinginan itu semata-mata dan tiada ia mencuba apa-apa.

3. Jenis yang ketiga ialah jenis yang memandang kepada ilmu tasawuf itu dengan hati yang bukan kosong semata-mata dan bukan pula dengan hati yang bersifat keinginan pada tasawuf tetapi sebaliknya ia memandang dengan hati yang mempunyai sejenis penyakit ” ” yaitu penyakit dendam, pandang curang dan sakit hati terhadap ilmu tasawuf. Apa fasal dan apa sebab penyakit demikian datang ke dalam hati seorang itu tidaklah diketahui.

Tuan-tuan bolehlah mengecam diri sendiri bahawa diri tuan termasuk dalam golongan jenis yang mana satu. Ini menurut penyiasatan kita. Apakah hikmat Tuhan di sebalik itu maka jadinya pandangan hati manusia terhadap ilmu tasauf itu tidak sebagaimana pandangannya pada ilmu-ilmu yang lain yakni (jadi berkudis hati terhadapnya), tidaklah diketahui. Tetapi, barangkali salah satu daripada hikmatnya ialah bertujuan supaya ilmu tasawuf itu tidak dapat dimiliki oleh seluruh orang. Jika ia dimiliki oleh seluruh orang maka mungkin manusia-manusia di atas muka bumi ini mempunyai keistimewaan-keistimewaan belaka. Walaubagaimanapun jenis golongan yang ketiga itu adalah suatu gejala yang sangat tidak baik.

Telah dinaqal oleh Al-Syaikh Asy-Sya’rani dari Qutub Abi Al-Hasan Asy-Syazili Qudsil-Lahi Sarrihi bahawa ia telah berkata:


Barangsiapa tidak menceburkan diri dalam ilmu orang sufi (lebih-lebih lagi jika engkar) nescaya mati ia atas ketiadaan sunnah (jalan ugama) maka ditakuti keatasnya mati di dalam Su’ul-Khatimah (mati dalam penyudahan akibat yang paling buruk)

Wal’iyazubil-Lahi Min Zaalik.

 

Dan di dalam keterangan yang lain pula ada menerangkan:


Dan sekurang-kurang denda pembalasan Allah kepada orang yang engkar terhadap ilmu tasawuf ialah bahawa Allah tidak memberi rezekiNya akan apa-apa rasa berhubung dengan hal tasawuf (sejak hidup di dunia)“.

Kalaulah kata-kata Qutub Abi Al-Hasan Asy-Syazili itu berlaku benar maka apakah keuntungan kepada kita bersifat macam jenis golongan yang ketiga itu.

Dan moga-moga hendaklah kita bersama-sama pohon berlindung ke hadrat Allah daripada termasuk ke dalam jenis golongan yang ketiga itu. Demikian lagi salah satu daripada hikmat Allah yaitu oleh kerana ilmu tasawuf itu benda baik dan molek dan tidak ada bawah rungkupan langit ini ilmu yang lebih daripada tasawuf maka Allah s.w.t. telah menutup kelebihan tasawuf itu dengan tiga perkara: yang pertama ialah bahawa nafsu tidak diberi keinginan atau pecah liur terhadap ilmu tasawuf pada jenis golongan manusia, yang kedua Allah Taala telah mengadakan musuh yang paling ketat terhadap tasawuf ialah syaitan dan yang ketiga bahawa ilmu tasawuf telah dibenci oleh segolongan jenis manusia. Dengan ketiga-tiga sebab itu maka jadilah ilmu tasawuf (pada hal ia pati ugama dan rahsia wali-wali dan nabi-nabi) pada ketika itu hampir-hampir malap dan padam kerana tidak diusaha dan dipelajari oleh manusia lagi, malah sebaliknya jika timbulnya ilmu-ilmu yang karut dikatakan tasawuf maka jadilah ilmu tasawuf yang sebenar itu suatu ilmu yang tidak diingini ramai dan tidak popular lagi, demikianlah hikmat Allah menutup dan sembunyikan benda baik dan molek yaitu ilmu tasawuf.

Tiada ulasan: