BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Bandingan yang agak-agak boleh dibuat ialah begini: Seorang
belia remaja telah rasa rindu kasih dan cinta kepada seorang gadis dan
malam-malam ia tidak dapat tidur kerana terbayang-bayang wajahnya. Melekat
masuk ke dalam hati, kadang-kadang ditegur orang tidak terjawab, mengapa
demikian terjadi? …… jawabnya kerana kesedapan rasa (zuqq) demikian mendapat
tapak di hati, Bukan ia ingat hanya sekadar membaca akan nama si gadis itu di
dalam hati tetapi rasa hakikat sebaliknya itu. Demikian contoh bandingan zuqq.
Satu lagi bandingan misalnya: Apabila kita melihat seorang sedang memakan buah
asam atau ‘colek’ kata orang Kelantan, maka terpancar keluar air liur kita
meleleh dari mulut akibat melihat buah asam itu pada hal belum lagi ia
tersentuh di lidah kita, kerana apa? …. jawabnya, kerana karan rasa kesedapan
sudah tertangkap di lidah, sekalipun belum tersentuh.
Dan bagaimana pula adakah dengan semata-mata ingin atau menyebut
akan asam (colek) itu akan tercapai jelira rasa demikian jika tidak melihatnya
lebih dahulu? Jawabnya. tentulah tidak akan tercapai. Tetapi, apatah lagi
apabila seorang itu benar-benar memakan buah asam (colek) itu sudah tentu ia
akan dapat rasa kesedapan bahagian-bahagian. Dapat rasa kesedapan umpama itu
orang tasawuf menamakannya ‘Hakikat’. Dan tiap-tiap yang dapat rasa kesedapan
umpama itu sudah tentu pula adanya pengetahuan (ilmu) yang hasil dari rasa
kesedapan itu, maka pengetahuan yang hasil dari rasa kesedapan dernikian orang
tasawuf menamakan ‘Ma’rifat’.
Demikianlah contoh bandingan zuqq ma’rifat dan hakikat yang
penulis rasa amat cukup dan padan sekali untuk difaham oleh siapa-siapa. Satu
lagi bandingan zuqq (rasa) saya bawakan misalnya: Semua orang tahu takut pada
hantu. Tetapi jika belum melihatnya tentulah rasa takut itu belum jelira masuk
ke dalam hati. Sekarang apabila ia sudah tersua dan benar-benar melihatnya
nescaya barulah ia tahu dan rasa bahawa takut itu begini rasanya ….. hingga
seluruh bulu romanya berdiri dan dirasa tengkoknya besar kembung. Demikianlah
contoh rasa zuqq dan wajdan. Dan satu lagi bandingan zuqq untuk difaham lagi
misalnya: Tuan seorang pemalu, semua orang tahu sifat pemalu.
Cuba tuan ucapkan dengan mulut: “Malu, malu, malu …. “, adakah
jelira sifat pemalu itu masuk ke dalam hati? Jawabnya tentulah tidak. Tetapi
jika tuan dipegang orang dan ditelanjangkan pakaian dari seluruh tubuh tuan,
pada ketika itu apakah tuan rasa …………………jawabnya:
“Rasa malu paling habis-habisan”. Demikianlah bandingan zuqq
untuk mendekatkan faham jua tetapi zuqq atau syuhud pada Allah s.w.t. melebihi
daripada bandingan itu bahkan tak dapat hendak ditanding dengan segala
kelazatan-kelazatan makhluk.
Rasa zuqq terhadap Tuhan yang sebegitu rupa, orang tasawuf
menamakan juga Syuhud’, atau ‘Musyahadah’, atau Haqqul-Yakin’ bila darjahnya
meninggi sekali atau ‘Ainul-Yakin’ bila darjahnya mengurang sedikit, tetapi
‘Ilmul-Yakin’ adalah perkara remeh dan lekeh sahaja pada sisi orang wali,
kerana darjahnya hanya makam tahu akan ada Tuhan dengan dalilnya (ada makhluk
ini), ia hanya makam orang-orang awam jua.
Sebaliknya Haqqul-Yakin dan Ainul-Yakin mustahil dapat dicapai
oleh orang awam melainkan setelah ia menjalani jalan orang sufi dan benar-benar
berani sebagai sifat anak jantan, berjuang pantang mundur untuk merebut
ma’rifat dan hakikat itu, kerana makam haqqul-yakin, dan ainul-yakin itu ialah
makam orang-orang wali, nabi-nabi dan rasul-rasul, hakikat ini memang wujud
pada batin hati mereka sekalipun istilah-istilah tasawuf belum pernah terdengar
atau timbul pada zaman nabi, kerana jika tidak demikian nescaya mereka tidaklah
digelar nabi-nabi, rasul-rasul dan auliya’ Allah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan