BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Ilmul-Yakin ….. Ainul-Yakin …… dan Haqqul-Yakin adalah ketiga-tiganya
itu darjah-darjah ma’rifat belaka.
Ilmul-Yakin ertinya kenal Tuhan dengan jalan tahu ada makhluk ini, ibarat
kenal akan rupa gula tanpa rasa apa-apa (martabat orang awam), syurga mungkin
terjamin atau tidak.
Ainul-Yakin ertinya kenal Tuhan dengan jalan dapat rasa kesedapan zuqq,
ibarat kenal gula itu dengan dirasa kesedapannya yaitu setelah disentuhkannya
di atas lidah (martabat orang wali), syurga wajib terjamin.
Dan Haqqul Yakin ertinya kenal Tuhan dengan jalan dapat rasa kesedapan zuqq yang
teristimewa. ibarat dapat kenal kesedapan rasa hakikat gula itu setelah
disentuhkannya di atas lidah dan kemudian ditelan (martabat orang wali
teristimewa). syurga wajib terjamin dan teristimewa.
Pendek kata. apabila seorang itu belajar ilmu UsuludDin (Tauhid)
bererti ia kenal akan Tuhannya dengan Ilmul-Yakin jua, tetapi ia gagal untuk
tembusi Ainul-Yakin walaupun dia sepintar-pintar orang pandai ilmu UsuludDin
kerana Ilmul-Yakin itu hanya makam tahu jua sedangkan Ainul-Yakin itu ialah
makam kesedapan rasa atau mendapat nikmat kesedapan rasa terhadap Allah dengan
hati (Al-Basirah).
Tetapi ilmu tasawuf, maka seorang itu boleh tembusi Ainul-Yakin
dan Haqqul-Yakin dan itulah sebenar-benar kenal Tuhan dengan cara ma’rifat dan
hakikat. Dan orang awam umpama kita tidak akan dapat tembusi makam demikian
melainkan dengan melalui jalan tariqat dan mujahadah jua.
Saya bawa bandingan lagi : Ilmul-Yakin serupalah dengan seorang
yang melihat kepul asap dari jauh tetapi tidak dilihat apinya maka yakinlah dia
bahawa di sana ada api melalui asapnya. Ainul-Yakin serupalah dengan seorang
yang pergi melihat api itu sendiri dengan matanya maka yakinlah dia bahawa api
benar-benar wujud di sana dilihat dengan matanya (bukan melihat asap lagi). Dan
Haqqul-Yakin serupalah dengan seorang yang pergi menyentuh dan membakar sendiri
jarinya dengan api maka yakinlah dia dengan benar-benar pengalaman rasa yang sungguh
kemuncak. Darjah pertama hanya darjah tahu akan dalilnya (bukan pengalaman),
darjah yang kedua ialah dapat pengalaman dengan ‘Perasa Lihat’ dan darjah yang
ketiga ialah dapat pengalaman dengan benar-benar ‘Rasa Kemuncak Yang Hakiki’.
dan kedua-dua darjah yang akhir inilah sebenar-benar ma’rifat. Dan kita
menamakan juga dengan mendapat rasa (hakikat) dan mendapat rasa akan hakikat
itulah orang tasawuf menamakannya zuqq.
Barangsiapa ingin hendak mencapai makam-makam tinggi itu
daripada orang awam kita maka tidak ada jalan lain melainkan dengan tiga
perkara:
1. Cari
guru yang benar-benar tahu dalam hal tariqat dan tasauf (dia boleh dikatakan
dukun dalam hal ini).
2. Terima
wirid zikir tariqat daripadanya, kemudian hendaklah beramal wirid itu.
3. Mujahadah
melawan godaan hawa nafsu dan ancaman syaitan dan meletakkan diri dalam neraca
ugama Tuhan
Maqam Ainul-Yakin atau Haqqul-Yakin mustahil dapat dicapai oleh seorang melainkan setelah
hatinya bersih daripada tiga perkara dosa lahir, dosa batin dan dosa aghyar.
Barangsiapa mendakwa diri tercapai hakikat Ainul-Yakin atau Haqqul-Yakin pada
hal dosa-dosa tersebut tidak terlenyap dari dirinya maka orang itu pembohong
besar. Kebersihan dosa-dosa tersebut tidak tercapai melainkan setelah ia
mengamalkan ibadat zikir tariqat, ibadat-ibadat wajib yang lain dan juga
mujahadah. Zikir tariqat itu tidak diakui sebagai tariqat yang sah melainkan
dari guru yang benar-benar pakar dalam hai itu. Awasilah perkara ini dari
guru-guru pendusta. Lebih-lebih lagi dari guru-guru tariqat yang rusak(*) dan
ilmu tasawuf yang salah dan karut, mungkin nanti akan merusakkan tuan.
Sekarang nampaknya sudah lanjut kita meleret, dahulu kita bicarakan
berkenaan hal hati ‘Hati Busuk dan Hati Wangi’.
Sebenarnya busuk wangi itu ialah perkara nisbah jua, serupalah
dengan nisbah malam dengan siang atau gelap dengan terang. Tetapi suatu perkara
yang harus difahami ialah bahawa sifat wangi atau busuk yang terletak pada hati
itu memang ada peratusnya. Jadi kebersihan hati orang mukmin memang ada
peratusnya, ada darjahnya sepuluh peratus, duapuluh peratus dan terus mengatasi
ke atas sampai seratus peratus. Bahkan orang-orang yang bersih hati itu adalah
orang mukmin yang sebenar. Dan setengah daripada tanda orang mukmin yang
sebenar ialah tercapai gementaran hati bila mendengar kalimah Allah kerana
takut kepadanya.
Firman Allah:
“Sesungguhnya
orang-orang mukmin itu apabila disebut nama Allah nescaya gementarlah hati
mereka (kerana takut kepada Allah) dan apabila dibacakan kepada mereka
ayat-ayatNya nescaya bertambahlah iman mereka dan kepada Tuhan mereka
bertawakkal”.
Ayat tersebut menjelaskan kesimpulan kepada kita bahawa
tanda-tanda orang mukmin yang sebenar itu dapat dikenali atau dirasai sendiri
sifat-sifatnya yaitu seperti:
1. Gementar hati bila
mendengar nama Allah.
2. Bertambah kuat iman
dapat dirasai bila mendengar ayat-ayat Tuhan.
3. Bertawakkal atau
berserah diri kepada Allah.
Bagaimanakah hati kita sekarang sudahkah tercapai demikian?
Berapa kali sehari semalam kita rasa gementar hati bila mendengar kalimah
Allah? Cubalah jawab sendiri untuk mengenal dengan jelas sejauh mana diri
mukmin hati kita itu. Bila tidak sedikit pun bergerak perasaan takut terhadap
Allah itulah tandanya hati berkarat bergadit dengan dosa-dosa yang tebal.
Ertinya hati kita hati mampus sudah tidak mempunyai bateri lagi yaitu Nur Ilahi
atau Warid, sebab takutnya itu telah bertukar dari takut kepada Allah menjadi
takut kepada hantu. Bandingan hati berkarat itu semacamlah besi nipis berkarat
tebal.
Oleh kerana berkaratnya terlampau tebal maka apabila dijentik
dengan jarinya tidaklah ia berbunyi tin-tin lagi, ibarat tidak bergementar
semacam hati yang mampus tadi. Sekarang agaknya peratus kebersihan hati kita
sudah tercapai! Ukurlah hati kita sendiri. Jangan gaduh hendak ukur hati orang,
kita rasa hati kita sudah bersih, sebab rasanya dosa-dosa tidak pernah dibuat.
Tetapi gentaran kerana takut kepada Allah tidak juga datang. Kenapa? Jawabnya,
carilah dan jumpailah doktor pakar lebih dahulu. Tentu ada sebab-sebabnya.
Cari itulah kewajipan kita yang mula-mula sekali. Kemudian
mintalah kepada doktor tadi sepaya diperiksa dan ditest diri kita
dengan seberapa cermat, setelah doktor dapati diri kita ada penyakit maka
diberi nasihatnya supaya kita benar-benar makan ubat dan awasi pantang
larangnya, barulah kita mulai memakan ubat dan jaga betul-betul masanya.
Kemudian tunggulah hasil natijahnya. Demikianlah kiasan makna mujahadah yang
ditugas oleh ugama kepada tiap-tiap manusia yang hidup di atas muka bumi negara
nafsu tempat pertarungan ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan