BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.
Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha
Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.
Masalah pokok yang menjadi perbicaraan kita mengenai hal manusia
pada pandangan Allah ialah hati tanpa menoleh kepada bentuk tubuh kasar dan
hiasan pakaian cantik hodohnya, kerana yang bertanggungjawab pada segala perkara
yang dilakukan oleh manusia itu ialah hati. Pendek kata, kalaulah kejadian
manusia itu tanpa hati nescaya batang tubuh manusia itu disembelih orang dan
dipenjual-belikan dagingnya semacamlah lembu kerbau. Babi anjing dikeji orang
bukanlah kerana bentuk tubuh dan dagingnya tetapi kerana perangainya. Demikian
juga manusia dikeji atau dipuji bukanlah kerana bentuk tubuh badannya tetapi
kerana perangai hatinya. Dan oleh kerana hati itu menjadi tempat sasaran untuk
dipuji atau dikeji maka eloklah kita cuba mengkaji selok-belok hati bagaimana yang kita akan terangkan dalam buku
ini, Insya Allah.
Mengikut garis kasar bahawa jenis hati manusia itu adalah
terbahagi kepada:
1. Hati Busuk.
2. Hati Wangi.
Hati Busuk:
Ialah hati yang melekat bergadik atau berselaput dengan suatu sifat-sifat
tercela. Seperti sifat-sifat: bakhil, tamak dan loba pada harta dunia, panjang
angan angan, sombong takabur, ingin dan kasih pada kemegahan, ingin namanya
terkenal masyhur, berlagak megah hendak tunjukkan eksyen agas melenggak, suka
menipu, suka berbohong, tak lekat amanah, buat aniaya kepada orang, makan suap,
ingin supaya dikenal orang kejahatannya, hasad dengki, dendam kesumat, khianat,
niat jahat, ria, ‘ajub, sam’at, bertabiat lalai kepada Allah, ingin kepada
benda-benda haram dan lain-lain lagi. Barangsiapa tercetus di hati atau rasa
ber- degup di hatinya dengan salah suatu daripada sifat tersebut maka itulah
tandanya ia termasuk dalam golongan hati jenis busuk itu dan bukanlah pula
bererti apabila tidak tercetus suatu daripada sifat-sifat itu pada hal di
hatinya dengan salah suatu daripada sifat tersebut maka itulah tandanya ia suci
daripada sifat-sifat demikian.
Malah hanya ia terpendap ke dalam jiwa dan menunggu masa akan
keluar. Ia tidak akan hapus dengan tidak bersebab. Hati yang penuh dengan
sifat- sifat demikian rupa kerap kali digelar juga ‘hati berkarat keramat’ atau
‘hati gelap-gelemat’ dan tidak berbau syurga. Penyakit-penyakit sifat demikian
tidak akan terhapus dan suci melainkan dengan tercapainya warid di dalam hati sebagai
penawar untuk pelebur sifat-sifat tercela itu manakala warid itu pula tidak
akan tercapai melainkan dengan ibadat tariqat kerana tariqat tidak diciptakan
melainkan untuk menghasil- kan warid (nur). Warid adalah benda rasa yang dapat
dirasa oleh siapa-siapa yang mencapainya. Demikianlah jalan orang sufi. Pendek
kata, tidaklah dicipta atau timbulnya tariqat yang bermacam-macam nama itu
melainkan ia adalah sebagai cara untuk mengubat hati sakit atau penyakit hati.
Maka timbulnya Tariqat Ahmadiyah misalnya adalah suatu cara
perubatan hati menurut cara Ahmadiyah dan timbulnya Tariqat Naqsyabandi adalah
suatu cara perubatan hati menurut cara Naqsyabandi dan begitulah pada lain-lain
tariqat lagi.
Kita berani mencabar kepada golongan-golongan yang anti-tariqat
sufiah, cubalah tunjuk suatu jalan yang lain jika ada selain dari tariqat
tasauf bagaimana hendak dapat mencapai kejayaan mengubat hati, bagaimanakah
suatu cara hendak dibuat untuk mencapai warid atau nur dan bagaimana pula untuk
mencapai syuhud, suatu makam yang tertinggi yaitu semacam wali-wali dan
nabi-nabi, cuma masalah sekarang, tariqat itu adalah berupa masalah teknik
(cara mengubat), bukan masalah sumber ugama, bahkan tariqat tak lain sebagai
sebuah sekolah teknik atau hospital orang sufi untuk memberi rawatan pesakit
roh atau penyakit hati apabila tercapai maksudnya apakah dia bidaah lagi?
Meskipun demikian di dalam tariqat itupun banyak terdapat bahan-bahan dan
unsur-unsur ugama dan juga cara teknik ugama.
Adakah itu bidaah namanya?
Adalah tariqat juga namanya, misalnya di zaman nabi apabila
melihat seorang itu melihat nabi maka tercampaklah ke dalam hatinya warid atau
nur dengan serta-merta dan terubahlah hal hatinya serta mendapat keyakinan
berhubung dengan masalah ketuhanan atau ugama maka itupun dinamakan tariqat
juga kerana diri atau tubuh nabi sendiri itu adalah tariqat sebab ia punca
mengeluarkan nur atau warid.
Dan suatu daripada sifat pokok hati busuk itu ialah lalai hati
mengingati Allah baik dengan cara berzikir atau lainnya. Terutama sekali lalai
daripada menunaikan ibadat dan tugas- tugas yang diwajib oleh Allah umpama
sembahyang dan puasa, demikian juga lalai daripada meninggal sepenuhnya segala
Iarangan Allah seperti pezina, peminum arak, tahi judi, ketagih dadah,
penindas, perasuah dan lain-lain lagi. Hati busuk laksana bangkai dan yang
berahi menghidu baunya ialah syaitan malah syaitan laksana anjing dan tabiat
anjing itu selalu suka mencari bangkai-bangkai busuk untuk santapannya. Sabda
Nabi s.a.w.:
Ertinya: “Sesungguhnya
syaitan itu mencucukkan belalainya pada hati anak Adam, maka jika ia (seorang)
mengingatkan Allah Taala (berzikir), nescaya lari sembunyi ia dan jika ia
lupakan Allah Taala nescaya hatinya ditelan syaitan (dimamah dan dimakan).
Adapun Hati Wangi:
Ialah hati yang suci bersih dari sifat-sifat yang tercela,
sebaliknya melekat serbak dengan bau sifat-sifat yang terpuji. Dan sifat-sifat
hati wangi yang terpuji itu sangatlah banyak, di antaranya ialah seperti sifat-
sifat: tak sayangkan harta kerana bersedekah, berasa cukup dengan harta
kurniaan Allah yang ada, berilmu Laduni (Ilham), timbul sifat tawaddu’,
khusyu”, redha, sidiq, khauf, raja’, muhibbah, ikhlas, wara’, zuhud, taubat
yang benar, sabar, yang benar, iahan menanggung kesusahan, tak lekat wang di
tangan kerana buat kebajikan, tawakkal yang benar, bersifat ‘arif dan
bijaksana, kuat beribadat, syukur yang benar, redha pada segala-gala yang
diletak oleh Allah, taqwa yang benar, tinggal perkara-perkara yang bukan
kerjanya, tunai dan tepatkan perintah-perintah Allah, tinggi kesusilaan atau
budi pekerti, lemah-lembut dalam pergaulan semacam nabi-nabi, sentiasa selira
berdampingan dengan Allah, sentiasa berfikir pada kebesaran Allah dan lain-lain
lagi.
Hati wangi yang demikian rupa tiada lain melainkan hati orang wali yang
mempunyai syuhud. Dan syuhud itu adalah suatu benda yang sangat payah hendak
dicapai melainkan dengan berusaha melalui jalannya dan dengan sebab itulah
orang sufi membuat peraturan dan mengadakan jalannya. Jalan dan
peraturan itu orang tasauf menamakannya ‘Tariqat’. Hati manusia
apabila bersih daripada sifat-sifat yang tercela dan daripada dosa dan maksiat
dikatakan ‘Hati Wangi’.
Walaubagaimanapun tidaklah digelarkan hati wangi melainkan
setelah bersih ia daripada tiga perkara yang pokok bagaimana diterangkan di
bawah ini:
• Bersih daripada
dosa zahir.
• Bersih daripada
dosa batin.
• Bersih daripada
dosa aghyar.
Dosa zahir ialah tiap-tiap dosa yang dilakukan oleh anggota zahir manusia,
seperti mengenyit mata kepada gadis untuk menjamunya selira nafsu mata, rasa jamah
anak gadis orang untuk mencari kelazatan sentuh tangan, tangan mengambil barang
hak orang, kaki pergi ke tempat larangan maksiat, mulut makan minum barang yang
haram, lidah bercakap yang haram dan lain-lain lagi.
Dosa batin ialah tiap-tiap sifat
keaiban hati yang didapati terselit dalam hati manusia, misalnya seperti sifat
angkuh: “Oh! …..akulah orang-orang besar”, hairan pada kebaikan diri: “Hai! …..
akulah orang yang rajin sembahyang, orang lain semuanya pemalas” atau “Hai! ……
akulah orang yang bersih hati, orang lain belum tentu bahkan berkarat”, ria:
“Dibuatnya ibadat supaya ditengok-tengok orang”, samiah: “Misalnya
diperdengarkan bacaan Quran sedap-sedap supaya dipuji orang”, demikianlah
antara misalnya dan lain-lain lagi.
Bersih daripada aghyar. Semua ingatan kepada perkara yang lain
daripada Allah dikatakan ‘aghyar’.
Jadi, hati yang suci daripada aghiyar ertinya hati yang tidak
ingat kepada perkara lain sedikit pun selain daripada Allah dalam setiap
denyutan jantung dan di detip hidup. Dan tidak ada hati yang sebegini rupa
melainkan hati orang auliya’ Allah, hati nabi-nabi dan rasul-rasul. Ingatan
yang demikian rupa tidak akan terjadi melainkan dengan kedapatan kesedapan
suatu rasa zuqq atau kelazatan wajdan, yaitu jenis manusia-manusia yang dapat
mengecap nikmat ma’rifat dan hakikat. Inilah maksud tiada ingat selain daripada
Allah atau hati suci daripada aghyar.
Bukan semacam ingatan yang hanya membaca di hati akan bacaan
kalimah “Allah, Allah, Allah …………”, kalau demikian maka semua orang boleh membuatnya,
tetapi apabila tertidur atau sibuk maka ingatan demikian sudah tentu akan
padam.
Hal zuqq itu ialah perkara pengalaman rasa, yaitu suatu
kedapatan rasa yang ada kesedapan dan kelazatan hasil daripada syuhud yang mana
orang tasauf menggelarkan ‘ma’rifat’ atau hakikat’.
Tidak ada rasa ‘kesedapan demikian’ tidak boleh dikatakan
‘zuqq’. ” :
ertinya siapa tidak rasa tidaklah ia mengetahui”.
Walaubagaimanapun hal zuqq itu tidaklah dapat dikenal atau dicam melainkan
melalui ahli atau guru yang pakar dalam hal itu kerana rasa-rasa itu ada
beribu-ribu macam serupalah bagaimana rasa-rasa yang berlainan yang terdapat
pada jenis-jenis buah yang beribu-ribu macam, buah rambutan rasanya begini dan
buah durian rasanya begitu dan kiaslah seterusnya, tiap-tiap nama Allah (Asmaa’ul-Lah),
tiap-tiap sifat Allah (Sifatul-Lah) dan tiap-tiap Af alul-Lah semuanya itu
mempunyai rasa-rasa yang teristimewa belaka apabila Allah Tajallikan (Tajalli:
Ertinya Allah Taala bukakan rasa (zuqq) ke dalam hati) perkara itu kepada hati
orang yang benar-benar cukup bersih. Misalnya nama Tuhan yang bernama
‘Ar-Rahman’ rasanya begini dan sedapnya begini, sifat Tuhan yang bersifat
‘Al-Ilmu’ atau ‘Al-Hayat’ maka rasanya begitu dan sedapnya begitu ………… dan
begitulah seterusnya.
Pendek kata pada kesimpulannya hati manusia itu pada pokoknya
ada dua jenis.
Pertama hati busuk yaitu hati yang menjadi rumah syaitan dan yang
keduanya hati wangi yaitu hati yang menjadi rumah Allah, tempat sentiasa
menerima tajalli Allah.
Di sana timbul pula hati jenis golongan yang ketiga yaitu hati
jenis yang sederhana yang tiada terlampau busuk dan tiada pula terlampau wangi.
Pendek kata, kedua-duanya ada bercampur dan kedua-duanya masing-masing menerima
perincian dan peratus. Ada wangi dan busuknya sama-sama lima puluh peratus. Ada
pula wangi tiga puluh peratus dan busuknya tujuh puluh peratus. Dan ada pula
busuk tiga puluh peratus dan wanginya tujuh puluh peratus. Pendek kata, ada
sajalah degree menurun dan menaik itu mengikut kadar perincian masing-masing.
Hati jenis golongan yang ketiga inilah terkena kepada hati
kebanyakan orang Islam dalam golongan orang awam kita atau golongan orang sufi
awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan