Catatan Popular

Khamis, 28 Mac 2024

BAHAGIAN 4 JENIS-JENIS HATI MANUSIA DAN KETERANGAN YANG BERKAITAN DENGANNYA : 4.5) Guru Karat (Pendusta) dan limu Sesat.

BUKU RAMUAN ILMU TASAUF.

Oleh Al Fakir Al Mukhlis Mustapha Muhammad Al Jiasi Al Ahmadi, Kota Bharu Kelantan.

Dalam negara kita ini banyak timbul ilmu-ilmu yang salah, kononnya dikatakan ilmu tasawuf diambil daripada guru yang sebenar. Di antaranya ada ilmu yang bertuhankan kepada roh diri sendiri, katanya, di dalam diri kita ini ada hakikat Tuhan dan itulah hakikat diri kita yang sebenar dan dialah juga hakikat Nabi Muhammad.

Katanya lagi: Kita dapat berjalan ke sana sini atau berbuat apa-apa itu adalah dari kerana adanya hakikat Tuhan di dalam diri kita, kalau tidak, masakan kita dapat bergerak. Dan oleh kerana kita tidak nampak Dia maka Dia tidaklah boleh dikatakan serupa dengan suatu.

Dia dan kita adalah satu jua. Kita sembahyang hendaklah berimam kepada hakikat Nabi Muhammad yang ada di dalam diri kita, yaitulah roh kita. Roh kitapun Dialah, hakikatpun Dialah dan hakikat Tuhanpun Dialah, ertinya satu hakikat saja. Cuma yang berlainannya ialah nama-nama jua mengikut i’tibar masing-masing dan itulah yang dikatakan sebenar-benar ilmu Kenal Diri’ atau ilmu Isi Yang Sebenar’.


Kalaulah benar begini cara i’tiqad orang itu nescaya wajiblah ia masuk neraka seumur hidup dan tidak akan keluar sampai bila-bila. Kerana ia sudah tetap kafir, wal’iyazubilLahi min zaalik. Dia wajib disuruh mengucap dua kalimah syahadah semula. Jika ia mati wajib diasing kuburnya daripada kubur orang Islam.

Masya’Allah ………….. Astaghfirullahil-Adzim!


Ajaran umpama itu tak pernah sedikit pun diajar oleh ilmu-ilmu tasawuf, usulluddin, fikah bahkan oleh syariat nabi mana-mana pun. Malah ia adalah terkeluar dari landasan ugama Allah Yang Maha Suci. Wahai tuan-tuan! Awasilah diri tuan-tuan daripada mempelajari ilmu demikian yaitu ilmu yang diilham oleh syaitan yang malaun. Pelajaran sesat lagi menyesatkan orang ramai. Mungkin itulah puak-puak ilmu yang pernah diberi amaran oleh Nabi pada satu ketika dahulu. Rasulullah telah mengetahui bahawa umatnya yakni umat Islam akan berpecah-pecah menjadi puluhan puak, semuanya itu di dalam neraka belaka kecuali satu puak saja yang selamat dan masuk syurga yaitu puak yang ikut atas kehendak ugamaku dan sahabat-sahabat-ku. Oleh itu Nabi telah memberi amaran keras sekali kepada seluruh umat Islam dengan sabdanya begini:

Ertinya: “Lagi akan berpecah umatku kemudian daripadaku kepada tujuhpuluh tiga puak, kesemuanya di dalam neraka kecuali satu puak saja yang terselamat. Lalu ditanya orang: Yang manakah puak yang satu itu ya Rasulullah? Maka Rasulullah menjawab: Yaitulah puak yang ikut atas kehendak ugamaku dan sahabat-sahabatku”.

Ketahuilah tuan-tuan! Bahawa ajaran atau ilmu umpama itu sudah tentu sesat. Untuk membuktikan kesesatan dan kepalsuan ilmu itu hendaklah kita bertanya mereka. Bagaimanakah roh kita itu boleh dikatakan hakikat Tuhan pada hal ia (roh) suatu jenis kejadian? Dan tiap-tiap jenis kejadian itu ertinya dahulunya tidak ada, kemudian ia ada, diciptakan oleh yang Ada (Tuhan), dan hakikat Tuhan atau Allah itu bukanlah dari jenis kejadian kerana adaNya yakni wujudNya qadim lagi azali. tidak pernah dahulu oleh tidak ada (‘adam).

Oleh itu maka bagaimanakah Ia (Allah) dan roh kita boleh dikatakan satu hakikat? Dan bagaimanakah pula boleh dikatakan roh kita dan hakikat roh Nabi Muhammad adalah satu? Pada hal kedua-duanya adalah tetap berlainan, bahkan sebenarnya tidaklah sama, roh kita lain dan roh Muhammad lain kerana roh Nabi Muhammad adalah suci, tidak pernah melakukan dosa tetapi roh kita adalah kotor, oleh itu kita pernah melakukan dosa, sama ada dosa besar seperti meninggalkan sembahyang, mengajar ilmu salah yang menyesatkan orang dan sebagainya ataupun dosa kecil seperti sekurang-kurang lalai kepada Allah dan lain-lain lagi maka bagaimanakah boleh dikatakan roh kita roh Nabi Muhammad satu hakikat yang serupa? Demikian keterangan satu-satunya contoh ilmu ‘Kenal Diri’ atau ‘Ilmu Isi Yang Sebenar’. Yaitu ilmu tetap salah dan tetap sesat lagi menyesatkan orang ramai. Ia sedang berkembamg dengan biaknya dalam senyap-senyap di segenap ceruk dalam setengah tempat-tempat di negara ini dan mungkin banyak lagi akan timbul ilmu-ilmu umpama demikian di ceruk rantau dalam negara ini. Awasilah tuan-tuan daripada mempelajarinya dan hukum mempelajarinya tetap haram.

Tiada ulasan: