Catatan Popular

Jumaat, 13 September 2013

ADAM ABU BASYAR



Tahap Penciptaan Adam A.S

Pertama (Tahap debu): Dasar pembentukan Adam a.s. adalah debu, maka semasa Allah berkehendak menjadikan Adam, Dia memerintahkan malaikat untuk mengumpulkan debu dari penjuru bumi, dari bermacam-macam debu yang beraneka warna, kemudian dikumpulkan sebagai dasar pembentukan Adam a.s, sebagaimana yang telah ditunjukkan al-Quran al-Karim dengan firman-Nya yang bermaksud:

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya, bahawa Ia menciptakan kamu dari tanah, kemudian tiba-tiba kamu menjadi manusia yang hidup berkembang biak.” (ar-Rum: 20)

Dan telah diterangkan dalam hadis yang sahih;
Maksudnya “Sabda Rasulullah s.a.w: Sesungguhnya Allah menjadikan Adam dari segenggam dari semua tanah, maka datanglah anak cucu Adam atas ukuran tanah, lalu datang mereka merah dan putih dan hitam dan di antara yang semua itu, dan yang mudah dan berduka dan buruk dan baik dan di antara yang semua itu.” (Riwayat Abu Daud)

Kedua (Tahap tanah liat): Dia membentuk debu ini dengan air, maka menjadilah tanah liat yang keras, melekat kuat antara satu dengan lainnya, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh al-Quran maksudnya:

“Sesungguhnya Kami telah ciptakan mereka dari tanah liat (yang senang diubah dan diciptakan semula)” (as-Shaffat: 11)

Adam dalam masa tanah liat ini lama sekali, sekitar 40 tahun sehingga menjadi kering dapat berbunyi bagaikan tanah tembikar ketika Dia mengukir, sebagaimana yang telah dinyatakan oleh ayat yang mulia maksudnya:

“Ia menciptakan manusia dari tanah liat kering seperti tembikar. Dan Ia telah menciptakan jin dari lidah api yang menjulang-julang.” (ar-Rahman: 14-15)

Ketiga (Tahap pembentukan): Kemudian Allah berkehendak untuk menjadikan tanah liat ini menjadi manusia yang sempurna, manusia yang mendengar dan melihat, maka Dia meniupkan roh-Nya. Dia menjadikan dengan bentuk yang indah, anggotanya sempurna, ini adalah tahap terakhir dalam Dia menjadikan Adam, dan telah datang sebuah atsar yang menunjukkan bahawa dalam pembentukan ini selama 40 tahun, dan semoga ayat yang mulia dalam surah al-Insaan ini memberikan isyarat pada lama Adam tinggal dalam pembentukan ini, iaitu firman Allah maksudnya:

“Bukankah telah berlalu kepada manusia satu ketika dari masa, sedang ia (masih belum wujud lagi, dan) tidak menjadi sesuatu benda yang disebut-sebut.” (al-Insan: 1)

Dan yang dikehendaki manusia di sini adalah Adam.

Anak cucu Adam: Adapun anak cucu Adam dan generasi seterusnya diciptakan oleh Allah dengan jalan perkahwinan, berbeza dengan kejadian Adam kerana mereka dijadikan dengan setitik air yang hina (nuftah), kemudian segumpal darah (‘alaqah) kemudian segumpal daging (mudghah), baru tahap peniupan roh, sebagaimana firman Allah s.w.t maksudnya:

“Wahai umat manusia, sekiranya kamu menaruh syak tentang kebangkitan makhluk, maka sebenarnya Kami telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air benih, kemudian dari sebuku darah, kemudian dari seketul daging.” (al-Hajj: 5)


Malaikat Sujud Kepada Adam

Setelah Allah meniupkan roh kepada Adam, Allah memerintahkan kepada malaikat supaya bersujud kepada Adam a.s untuk menghormati dan memuliakan, bukan sujud beribadah atau menyembah, kerana Allah tidak akan memerintah sesorang dengan tujuan menyembah, dan sebahagian pentafsir berpendapat bahawa sujud pada hakikatnya hanya kepada Allah, bukan untuk Adam, sedangkan Adam bagaikan kiblat yang dikategorikan mushala 9tempat solat), mempunyai arah ke kiblat. Adapun solatnya dan sujudnya untuk Allah semata, seperti demikian itu mengkategorikan Adam sebagai kiblat bagi malaikat yang suci. 

Demi perintah Tuhan itu kerana untuk merayakan kesempurnaan Adam dan dalam kesucian ketinggian keadaannya, sebagai kemuliaan manusia ini di mana malaikat sujud kepada ayahnya (Adam a.s), dan Allah telah mengusulkan Adam dengan empat keistimewaan iaitu tanda keutamaan yang tinggi:

Pertama: Dia dijadikan Allah dengan tangan-Nya.

Kedua: Allah meniupkan kepadanya dengan roh-Nya.

Ketiga: Dia memerintah malaikat bersujud kepadanya.

Keempat: Dia mengajarkan kepadanya beberapa nama.

Firman Allah s.w.t maksudnya, “Dan Ia telah mengajarkan Nabi Adam akan segala nama benda-benda dan gunanya, kemudian ditunjukkannya kepada malaikat lalu Ia berfirman: Terangkanlah kepada-Ku nama benda-benda ini semuanya, jika kamu golongan yang benar.” (al-Baqarah: 31)


Kemasukan Roh

Roh diperintah Allah untuk memasuki jasad Adam tetapi seperti makhluk lain, roh juga enggan, malas dan segan kerana jasad yang seperti batu. Dikatakan ruh berlegar-legar mengelilingi jasad Adam sambil disaksikan malaikat. Kemudian, Allah memerintahkan Malaikat Izrail memaksa roh memasuki tubuh tersebut masuk ke dalam tubuh Adam. Ia memasukkannya ke dalam tubuh dan roh secara perlahan-lahan masuk hingga ke kepalanya yang mengambil masa 200 tahun. Setelah meresapi ke kepala Adam, maka berfungsilah otak dan tersusunlah urat saraf dengan sempurna. Lalu, terjadilah mata dan terus terbuka melihat tubuhnya yang masih keras dan malaikat di sekelilingnya. Telinga mulai berfungsi dan didengarnya kalimah tasbih para malaikat. Apabila roh tiba ke hidung, lalu ia bersin dan mulutnya juga terbuka. Allah mengajarkan kalimah "Alhamdulillah" yang merupakan kalimah pertama diucapkan Adam dan Allah sendiri yang membalasnya.

Kemudian, roh tiba ke dadanya lalu Adam berkeinginan untuk bangun padahal tubuhnya yang bawah masih keras membatu. Ketika itu ditunjukkan sifat manusia yang terburu-buru. Ketika roh sampai di perut, maka organ dalam dan perut tersusun sempurna dan saat itu Adam mula merasakan lapar. Akhirnya, roh meresap ke seluruh tubuh Adam, tangan dan kaki dan berfungsilah dengan sempurna segala darah daging, tulang, urat saraf dan kulit. Menurut riwayat, kulit Adam amat baik ketika itu berbanding kulit manusia kini dan warnanya masih dapat dilihat di kuku sebagai peringatan kepada keturunan manusia.

Dengan itu, sempurnalah sudah kejadian manusia pertama dan Adam digelar sebagai "Abul Basyar" iaitu Bapa Manusia. Walau bagaimanapun, hanya Nabi Muhammad s.a.w mendapat gelaran "Abul Ruh" atau "Abul Arwah" iaitu Bapa segala Roh.


Keterangan

Subhanallah, Maha suci Allah yang menciptakan setiap sesuatu. Setiap yang diciptakan-Nya semuanya mengandungi hikmah dan rahsia yang tersembunyi. Apabila makin banyak kita mengetahui tentang sesuatu perkara, maka kita akan dapat merasakan bahawa sebenarnya sangat banyak perkara yang kita tidak ketahui di sebalik setiap penciptaan Allah swt. Oleh kerana itu Allah telah bersabda dalam hadis Qudsi bahawa kajilah tentang apa yang Aku ciptakan dan bukan pada zat-Ku.

Tiada ulasan: