Nabi Muhammad saw mengamanahkan Sa'labah Bin Abdul Rahman Al-Ansari
membuat tugasan di luar daerah. Dalam perjalanan ke sana Sa'labah
ternampak aurat seorang wanita sedang mandi, dia melihat sebanyak tiga kali,
barulah dia tersedar. Segera dia beristigfar dan berasa malu kepada ALLAH SWT.
Sa'labah menyembunyikan diri ke kawasan pergunungan menyebabkan Nabi saw
tercari-cari.
40 hari berlalu, Nabi mengarahkan sahabatnya mencari
Sa'labah. Umar dan Salman menemui Sa'labah, Nabi s.a.w bertanya apa yang
berlaku. Dalam keadaan malu, Sa'labah bercerita. Nabi s.a.w berkata
"Kamu nak tahu aku ajarkan satu doa yang dapat memadam dosa yang
lalu?" jawab Sa'labah "sudah pasti, Ya Rasulullah". Lalu
Nabi saw mengajarkan doa "Rabbana atina fiddunya hasanah wa fil akhiroti
hasanah waqina 'adzabannar", seperti dipetik daripada ayat 201, surah
A-Baqarah.
Sa'labah berkata, Tetapi dosaku besar sungguh". Nabi s.a.w
berkata "Ayat ALLAH SWT lebih besar". Sa'labah mengamalkan doa
itu, tetapi hatinya masih tidak tenang. Dia menangis siang dan malam
sehinggalah jatuh sakit.
Ketika melawatnya, Rasulullah s.a.w meletakkan kepala
Sa'labah diribaannya, tetapi Sa'labah mengalihkan kepalanya. Nabi s.a.w
pun bertanya, "Kenapa kamu mengalihkan kepalamu daripada ribaanku".
Jawab Sa'labah, "Kerana aku terlampau berdosa".Kemudian Nabi
s.a.w bertanya lagi "Apakah yang kamu inginkan?". Jawabnya
"Aku hanya inginkan keampunan daripada ALLAH SWT.
Selepas itu, Jibril pun turun memaklumkan kepada Nabi
s.a.w bahawa ALLAH SWT berkata, "Sekiranya dia ini datang kepadaKu dengan
dosa yang sebesar bumi sekalipun, maka Aku akan memberi sebesar bumi juga
keampunanKu". Perkara ini pun diberitahu kepada Sa'labah dan ketika itu
juga dia meninggal dunia.
Ketika menghantar jenazahnya ke kubur, sahabat
melihat Nabi s.a.w berjalan berjinjit-jinjit (berjalan dengan hujung jari
kaki). Sahabat bertanya mengapa Nabi s.a.w berjalan sebegitu rupa.
Baginda pun menjawab, "Kerana terlalu ramainya malaikat yang
bersama-sama tadi, lalu aku takut terpijak kepak-kepak dan sayap mereka".
Tiada ulasan:
Catat Ulasan