Kalam hikmah Ibn Ata'illah beliau berkata:
TANDA AKAN BERJAYA PADA AKHIR PERJUANGAN ADALAH KUAT MENYERAH DIRI KEPADA ALLAH S.W.T PADA AWAL PERJUANGAN.
TANDA AKAN BERJAYA PADA AKHIR PERJUANGAN ADALAH KUAT MENYERAH DIRI KEPADA ALLAH S.W.T PADA AWAL PERJUANGAN.
Hikmat (26) merumuskan
intisari kesemua Kalam Hikmat yang dihuraikan terlebih dahulu. Berserah diri
kepada Allah s.w.t, bertawakal kepada-Nya dan mengembalikan segala urusan
kepada-Nya adalah jalan untuk mendekati Allah s.w.t. Kesemua ini boleh
diibaratkan sebagai kenderaan, sementara ilmu dan amal diibaratkan sebagai
roda. Sesiapa yang hanya membina roda tetapi tidak membina kenderaan maka dia
akan memikul roda bukan menaiki kenderaan. Dia akan keletihan dan berhenti di
tengah jalan sambil asyik bermain-main dengan roda seperti kanak-kanak.
Persoalan
menyerah diri sering menimbulkan kekeliruan kepada orang yang berlarutan
membincangkan mengenainya. Suasana hati dan darjat akal mengeluarkan
berbagai-bagai huraian tentang berserah diri kepada Allah s.w.t. Ada orang
beranggapan berserah diri adalah berpeluk tubuh, tidak melakukan apa-apa. Ada
pula berpendapat orang yang berserah diri itu hidup dalam ibadat semata-mata,
tidak memperdulikan kehidupan harian. Banyak lagi anggapan dan pendapat yang
dikemukakan dalam menjelaskan mengenai berserah diri. Sifat orang yang berserah
diri adalah merujuk sesuatu perkara yang diperselisihkan kepada Allah s.w.t.
Mereka tidak taasub memegang sesuatu fahaman yang diperolehi melalui fikirannya
atau pendapat orang lain. Mereka bersedia melepaskan fahaman dan pendapat
peribadi sekiranya ia bercanggah dengan peraturan dan hukum Tuhan. Sewaktu
hidup di dalam dunia ini lagi mereka mengembalikan segala urusan kepada Allah
s.w.t kerana mereka yakin bahawa diri mereka dan urusan mereka akan kembali
juga kepada Allah s.w.t di akhirat kelak. Perjumpaan dengan Allah s.w.t di
akhirat menguasai tindakan mereka sewaktu hidup di dunia ini.
Dan
(katakanlah wahai Muhammad kepada pengikut-pengikutmu): “Apa jua perkara agama
yang kamu berselisihan padanya maka
hukum pemutusnya terserah kepada Allah; Hakim yang demikian kekuasaan-Nya ialah
Allah Tuhanku; kepada-Nya jualah aku berserah diri dan kepada-Nya jualah aku
rujuk kembali (dalam segala keadaan)”. ( Ayat 10 : Surah asy-Syura )
Orang yang berserah diri kepada Allah s.w.t,
mengembalikan urusan mereka kepada-Nya, meyakini bahawa golongan manusia yang
benar-benar mengerti kehendak Allah s.w.t adalah golongan nabi-nabi. Oleh itu
pegangan dan tindakan para anbia mesti dijadikan sandaran dalam membentuk
pegangan peribadi dan juga dalam melakukan tindakan.
Dan
ia (Yaakub) berkata lagi: “Wahai anak-anakku! Janganlah kamu masuk (ke bandar
Mesir) dari sebuah pintu sahaja, tetapi masuklah dari beberapa buah pintu yang
berlain-lain. Dan aku (dengan nasihatku ini), tidak dapat menyelamatkan kamu dari sesuatu takdir yang telah
ditetapkan oleh Allah. Kuasa menetapkan sesuatu (sebab dan musabab) itu hanya
tertentu bagi Allah. Kepada-Nya jualah aku berserah diri, dan kepada-Nya jualah
hendaknya berserah diri orang-orang yang mahu berserah diri”. ( Ayat 67 : Surah
Yusuf )
Ayat di atas menceritakan sifat berserah diri yang
ada pada Nabi Yaakub a.s. Beliau a.s menasihatkan anak-anaknya yang sebelas
orang itu memasuki kota Mesir melalui pintu-pintu yang berlainan. Ia
menunjukkan Nabi Yaakub a.s mengakui tuntutan berikhtiar sebagaimana kedudukan
mereka sebagai manusia. Walaupun begitu Nabi Yaakub a.s mengingatkan pula
anak-anaknya bahawa mengikuti nasihat beliau a.s bukanlah jaminan yang
anak-anaknya akan selamat dan mendapatkan apa yang mereka cari. Ikhtiar pada
zahir mesti disertai dengan iman pada batin. Orang yang beriman meyakini bahawa
Allah s.w.t sahaja yang mempunyai kuasa penentuan. Oleh yang demikian orang
yang beriman dituntut agar berserah diri kepada Allah s.w.t sahaja, tidak
berserah diri kepada yang lain, sekalipun yang lain itu adalah malaikat,
wali-wali ataupun ayat-ayat Allah s.w.t. Allah s.w.t yang menguasai malaikat,
wali-wali dan ayat-ayat-Nya. Penyerahan bulat kepada Allah s.w.t bukan kepada
sesuatu yang dinisbahkan kepada-Nya. Perkara ini dinyatakan oleh Nabi Hud a.s
sebagaimana yang diceritakan oleh ayat berikut:
“Kerana sesungguhnya aku telah berserah diri kepada Allah,
Tuhanku dan Tuhan kamu! Tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak
di muka bumi melainkan Allah jualah yang menguasainya. Sesungguhnya Tuhanku
tetap di atas jalan yang lurus”. ( Ayat 56 : Surah Hud )
Tuhan berada di atas jalan yang lurus. Tuhan tidak
mengantuk, tidak lalai, tidak keliru dan tidak melakukan kesilapan. Apa sahaja
yang Tuhan lakukan adalah benar dan tepat. Tuhan berbuat sesuatu atas dasar
ketuhanan dan dengan sifat ketuhanan, tidak ada pilih kasih. Dia adalah Tuhan
Yang Maha Adil. Pekerjaan-Nya adalah adil. Dia adalah Tuhan Yang Maha Mengerti
dan Maha Bijaksana. Pekerjaan-Nya adalah sempurna, teratur dan rapi. Dia adalah
Tuhan Pemurah dan Penyayang. Pekerjaan-Nya tidak ada yang zalim. Tuhan yang
memiliki sifat-sifat ketuhanan yang baik-baik itu mengadakan peraturan untuk
diikuti. Mengikuti peraturan-Nya itulah penyerahan kepada-Nya. Nabi-nabi dan
orang-orang yang beriman diperintahkan supaya menyampaikan kepada umat manusia
apa yang datang daripada Allah s.w.t. Pekerjaan manusia adalah menyampaikan.
Jika apa yang disampaikan itu tidak diterima, maka serahkannya kepada Allah
s.w.t. Dia memiliki Arasy yang besar, yang memagari sekalian makhluk. Tidak ada
makhluk yang dapat menembusi Arasy-Nya. Arasy-Nya adalah pagar Qadar. Apa yang
dia ciptakan dan tentukan untuk makhluk-Nya dipagari oleh Arasy.
Kemudian jika mereka berpaling ingkar, maka
katakanlah (wahai Muhammad): “cukuplah bagiku Allah (yang menolong dan
memeliharaku), tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia; kepada-Nya aku
berserah diri, dan Dia jualah yang mempunyai Arasy yang besar”. ( Ayat 129 :
Surah at-Taubah )
Tauhid adalah
kesudahan pencapaian. Pada peringkat ini, syirik tidak ada lagi walaupun
sebesar zarah. Dalam proses mencapai tauhid perlu ada pengasingan dan perbezaan
antara Tuhan dengan yang selain Tuhan. Tidak boleh diadakan sekutu bagi Tuhan.
Tidak boleh meletakkan anasir alam, amal, doa dan sebagainya pada kedudukan
yang boleh menyebabkan timbul anggapan yang selain Tuhan itu mampu mencabar
kekuasaan Tuhan. Tidak boleh terjadi ketaatan dan penyayangan terhadap sesuatu
melebihi ketaatan dan penyayangan terhadap Allah s.w.t.
Katakanlah (wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu,
dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau
suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan,
dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal
yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai
lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya,
maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya);
kerana Allah tidak akan memberi petunjuk
kepada orang-orang yang fasiq (derhaka)”. ( Ayat 24 : Surah at-Taubah )
Perlu difahamkan bahawa sekalipun hamba telah
berserah diri kepada Allah s.w.t, tanpa Allah s.w.t menerimanya tidak mungkin
tercapai tujuannya. Penerimaan Allah s.w.t yang benar-benar membawa hamba
kepada-Nya. Tanda Allah s.w.t menerima hamba-Nya ialah terdapat
kecemerlangannya dimasa permulaan. Berlaku perubahan-perubahan kepada diri si
hamba itu. Sifat buruknya terbuang dan sifat terpuji menghiasinya. Dia menjadi
gemar beribadat dan berbuat taat. Semakin jauh perjalanannya semakin cemerlang
hatinya. Dia diterangi oleh Nur Ilahi dan dikurniakan ilmu laduni, iaitu ilmu
mengenal Allah s.w.t. Nur Makrifat menyinarinya, maka kenallah dia pada
Tuhannya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan