Menurut Kalam Hikmah ke 28 ,
Imam Ibnu Athaillah Askandary
Nur yang dalam Rahsia hati itu juga memancarkan
sinarnya sehingga kelihatan pada wajah orang yang berkenaan. Jika perasaan yang
bersembunyi dalam hati, seperti marah dan riak, boleh ketara pada wajah,
sinaran cahaya nur lebih kuat lagi berbekas pada wajah.
"APA YANG TERSIMPAN DALAM KEGHAIBAN RAHSIA HATI BERBEKAS NYATA
PADA ZAHIRNYA."
Allah s.w.t mengurniakan kepada hati hamba-hamba-Nya yang
bahagia dengan Nur Zikir, Nur Kalbu, Nur Akal, Nur Iman dan Nur Makrifat.
Kurniaan Allah s.w.t yang demikian itu merupakan rahsia-rahsia yang tidak
diketahui oleh makhluk. Setiap hamba yang dibawa ke Hadrat-Nya mempunyai rahsia
sendiri dan tidak diketahui oleh hamba-hamba yang lain, walaupun mereka berada
pada tingkatan yang sama. Seorang guru pun tidak tahu rahsia muridnya dengan
Tuhannya. Apa yang Allah s.w.t kurniakan kepada seorang hamba pilihan-Nya tidak
serupa dengan yang dikurniakan kepada hamba pilihan yang lain. Kurniaan Allah
s.w.t kepada seorang nabi berbeza daripada kurniaan terhadap nabi-nabi yang
lain. Kurniaan Allah s.w.t yang tersimpan dalam keghaiban rahsia hati itu
menjadi penggerak kepada pembentukan diri seseorang, hingga dia dapat dikenal
dan dibezakan daripada orang lain. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t kepada Isa a.s
menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Roh Allah. Kurniaan Rahsia Allah s.w.t
kepada Musa a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai Kalim Allah. Kurniaan
Rahsia Allah s.w.t kepada Ibrahim a.s menyebabkan beliau a.s dikenali sebagai
Khalil Allah. Kurniaan Rahsia Allah kepada Muhammad s.a.w menyebabkan baginda
s.a.w dikenali sebagai Habiballah. Aulia Allah s.w.t juga menerima kurniaan
Rahsia Allah s.w.t dan masing-masing memiliki keperibadian yang tersendiri
Nur Ilahi yang menyinari hati seseorang akan mengubah suasana
hati itu dan sekaligus perwatakan dan perawakan orang itu. Perubahan pada
perwatakan dapat dilihat pada tingkah-laku dan perbuatan. Sinaran Nur Zikir
akan melahirkan seorang yang gemar berzikir, mengingati Allah s.w.t semasa
duduk, berdiri, ketika sendirian dan juga ketika berada dalam perkumpulan. Lidahnya sentiasa basah
dengan sebutan nama-nama Allah s.w.t. Sinaran Nur Kalbu akan membuat seseorang
berlapang dada, tidak cemas menghadapi ujian dan gemar mendekati Allah s.w.t.
Sinaran Nur Akal akan melahirkan sikap suka bertafakur sehingga terbukalah
kepadanya Rahsia-rahsia ketuhanan yang menjadi penggerak kepada perjalanan alam
maya ini. Muncullah dari lidahnya Kalam Hikmat yang mempesonakan sesiapa sahaja
yang mendengarnya. Sinaran Nur Iman mengwujudkan keyakinan yang tidak berbelah
bahagi kepada perkara ghaib yang dialaminya sekalipun fikiran tidak dapat
menerimanya. Kepercayaan dan keyakinannya tidak bergoncang lantaran mendapat
bantahan dan sindiran. Sinaran Nur Makrifat menerangi mata hati untuk mengenal
Allah s.w.t, melihat-Nya pada semua kejadian. Tidak kabur pandangan mata
hatinya lantaran kekeruhan-kekeruhan yang berlaku di dalam dunia ini. Tidak
terbalik pandangan mata hatinya lantaran mendapat kemuliaan dan kekeramatan.
Nur Ilahi bukan sahaja mengubah perwatakan tetapi juga
mengubah perawakan. Bukan rupa-bentuk muka yang berubah tetapi cahaya pada
wajahnya yang berubah, menyebabkan siapa sahaja yang melihatnya akan berasa
senang. Misalnya, cahaya Nur Ilahi yang gilang gemilang menyinari wajah Yusuf
a.s telah mempesonakan wanita-wanita Mesir sehingga mereka tidak sedar
menghiris jari sendiri dan tidak merasai sakitnya akibat terpukau memandang
keindahan wajah Yusuf a.s. Begitulah kuatnya kesan sinaran Nur Ilahi yang
tersembunyi secara ghaib di dalam hati rohani hamba-hamba Allah s.w.t yang
dipilih untuk memperolehinya.
Anugerah Allah s.w.t, iaitu nur-nur, kepada hati
hamba-hamba-Nya yang beriman menjadi daya dan upaya bagi hati untuk berpegang
kuat kepada tauhid, mencintai segala yang bersesuaian dengan Islam dan
membencii segala bentuk kekufuran. Daya dan upaya nur yang pada hati ternyata
melalui perbuatan dan juga wajah orang berkenaan.
Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah; dan orang-orang
yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang
(memusuhi Islam), dan sebaliknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan
sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan
sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan
keredaan-Nya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang salih)
terdapat pada muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). (
Ayat 29 : Surah al-Fat-h )
Tanda nyata pada sifat pengikut-pengikut Nabi Muhammad s.a.w
adalah mereka tidak bertolak-ansur pada perkara yang merosakkan akidah. Iman
tidak boleh ditukar-ganti dengan harta, pangkat atau kemuliaan. Iman adalah
cahaya dan kekufuran pula adalah kegelapan. Cahaya dan gelap tidak boleh
bersepakat.
Mereka yang sangat
keras menentang kekufuran itu sangat berlemah-lembut apabila bersama-sama
dengan orang yang beriman. Hubungan hati-hati yang beriman adalah kasih sayang
dan kerinduan. Orang yang beriman inginkan kebaikan kepada saudaranya yang
beriman. Mereka tidak merosakkan atau menjatuhkan sesama mereka. Kebaikan yang
Allah s.w.t kurniakan digunakan untuk meringankan beban saudara-saudaranya yang
beriman. Mereka mengutamakan orang yang beriman daripada orang yang tidak nyata
imannya atau yang nyata kekufuran dan kemunafikannya. Keselamatan iman adalah
apabila ia dipertahankan daripada dicerobohi oleh kekufuran dan kemunafikan.
Akal mengenali kekufuran melalui tanda-tanda yang diceritakan oleh ayat-ayat
al-Quran. Hati mengenali kekufuran melalui Nur Ilahi yang membuka kekufuran dan
kemunafikan itu kepadanya.
Nur kurniaan Allah
s.w.t yang menjadi daya dan upaya hati seterusnya mempunyai kekuatan untuk
mengawal pancaindera orang yang beriman itu. Setiap anggota digunakan untuk
berbakti kepada Allah s.w.t, enggan ia berbuat maksiat. Orang yang beriman
tekun berbuat ibadat, mencari kurniaan dan keredaan-Nya.
Barangsiapa yang jernih dalam batinnya, akan diperbaiki
Allah apa yang nyata pada wajahnya. ( Ucapan Umar al-Khattab )
Kesucian hati seseorang memancarkan cahaya yang dapat
ditangkap oleh cermin hati orang lain yang bersih. Apabila cahaya iman berjumpa
dengan cermin hati orang yang beriman akan lahirlah rasa persaudaraan muslim
yang sejati. Persaudaraan yang begini tidak ada kepentingan diri dan tidak ada
perlumbaan untuk menduduki tempat yang lebih tinggi. Mereka saling bantu
membantu dalam melakukan pengabdian kepada Allah s.w.t.
Allah s.w.t
menentukan bahawa yang tersembunyi dalam hati mengeluarkan tanda pada zahir.
Dalam banyak perkara Allah s.w.t menjelaskan tanda-tanda tersebut melalui
wahyu-Nya. Tuhan Yang Maha Pemurah berbuat demikian agar orang yang beriman
tidak tertipu oleh kemanisan bahasa kemunafikan dan kekufuran. Mempertahankan
iman daripada kemunafikan dan kekufuran adalah satu jihad yang besar. Manusia
tidak berdaya berbuat demikian tanpa pertolongan Allah s.w.t. Apabila Allah
s.w.t memberi pertolongan dengan menunjukkan tanda-tanda sesuatu, ambillah
manfaat daripadanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan