Malu mempunyai pengertian yang besar
dalam islam. Sifat malu adalah sebahagian daripada iman. Mereka yang telah
hilang sifat malu adalah orang yang tipis imannya. Ini kerana malu dan iman
berjalan beriringan. Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan
hilang.
MALU
DALAM MASYARAKAT
Dalam masyarakat juga perlu ada sifat
malu. Sama ada dalam perhubungan ibu dengan anak, suami dan isteri,
adik-beradik, saudara mara dan jiran tetangga. Seorang anak yang beriman dan
ada sifat malu tidak akan sekali-kali melakukan perbuatan yang menyakitkan hati
ibu dan bapanya, Seoarang isteri tidak akan membuat perkara yang tidak
menggembirakan hati suaminya dan begitu juga sebaliknya.
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa
Rasulullah saw ada bersabda bermaksud: "Iman itu ada lebih 60 cabang. Dan
sifat malu adalah sebahagian daripada cabang iman."
Malu atau haya dalam bahasa arab berasal
daripada perkataan hayat yang bermaksud kehidupan. Ia mencakupi sifat malu,
memelihara aib diri dan orang lain, kesopanan, harga diri dan bersikap jujur
dalam menjaga dan memelihara maruah kerana Allah.
Islam menggariskan sifat malu itu perlu
ada pada diri setiap muslim sebagai perisai kepada orang yang beriman setiap
kali hendak melakukan pekerjaan atau perbuatan dosa. Mereka yang benar-benar
beriman kepada Allah dan Rasul-Nya dan hari kiamat adalah mereka yang mempunyai
sifat malu yang teramat sangat setiap kali ingin membuat dosa, biarpun ia
bukanlah sesuatu yang disengajakan.
Rasulullah mengajar umat Islam mengenai
perkara pentingnya seseorang menghiasi dirinya dengan sifat malu. Dan betapa
malunya seorang yang bergelar muslim tetapi tidak mempunyai sifat malu sebagai
hamba kepada Allah.
Abdullah ibn Umar meriwayatkan bahawa
Rasulullah berjalan melintasi seorang pemuda yang memarahi saudara lelakinya
yang sangat pemalu. "engkau seorang yang sangat pemalu dan aku bimbang
sifat malumu itu akan memusnahkan dirimu". Mendengar kata-kata lelaki itu,
Rasulullah bersabda, "Tinggalkanlah ia, kerana sifat pemalu itu sebahagian
daripada iman". (Bukhari)
Kedua-dua hadis diatas membuktikan
bahawa sifat pemalu bukan dikhususkan untuk kaum wanita tetapi mesti ada pada kaum
lelaki yang beriman kepada Allah s.w.t dan hari akhirat. Sifat pemalu adalah
lambang taqwa (takutkan Allah) dan lambang ketinggian iman seseorang Muslim
itu.
JENIS-JENIS SIFAT MALU
Sifat pemalu ada dua jenis. Pertama,
malu untuk kebaikan dan kedua, malu yang bersifat kejahatan. Malu yang baik
ialah malu hendak melanggar peraturan Allah dan RasulNya manakala sifat malu
yang dibenci Allah adalah seorang yang malu hendak mengikut perintah Allah dan
RasulNya. sebaliknya tidak pula malu menjadi seorang yang ingkar akan
perinyahNya.
Contoh sifat malu yang baik dan diredhai
Allah adalah seorang yang beriman membina peribadi mulia mengikut yang
diperintahkan Allah dan Rasulullah. Mereka (lelaki atau wanita Muslim) malu
hendak melakukan perkara yang dibenci Allah kerana di akhirat nanti setiap
perbuatan dosa-dosanya akan ditayangkan semula dihadapan Allah dan semua umat
manusia pada hari pembalasan. Adakah rasa malu yang lebih hebat dari itu?
Mereka yang ada sifat malu akan sentiasa
mengikut segala yang diperintahkan dan menjauhi larangan Allah dan Rasul-Nya.
Sesungguhnya Allah sentiasa melihat apa yang kita lakukan, dan setiap perbuatan
biar sekecil kuman sekalipun akan tetap disoal dan diberi pemberi pembalasan
oleh Allah.
Jadi lebih tebal rasa malu seseorang,
sebenarnya akan lebih mendekatkan dia dengan kasih sayang Allah. Adakah perkara
yang lebih membahagiakan daripada mendapat kasih sayang dan perlindungan
daripada segala yang berkuasa iaitu Allah?
Seseorang yang telah hilang rasa malu
menunjukkan bukti kelemahan imannya. Adalah sangat dilarang seorang Muslim itu
apabila ia enggan mematuhi apa yang dianjurkan oleh Islam supaya dia
melakukannya kerana malu dilihat oleh orang lain. Malu yang utama ialah malu
kepada Allah yang Maha Mengetahui akan semua perkara.
Dalam mengutamakan kehidupan akhirat,
seseorang itu tidak patut malu mencari guru untuk dia belajar bagi mengatasi
kejahilannya. Ini adalah kerana ilmu yang paling bermanfaat ialah ilmu yang
menjadi bekalan untuk akhirat.
Ini bermakna seseorang yang malu atau
takut untuk mencari ilmu mengenai Islam akan bimbang terhadap mafhumNya di
dalam Al-Quran, kerana seseorang Muslim itu digalakkan mencari ilmu dan
menyebarkannya kepada orang lain.
Dari segi pekerjaan dari pandangan
Islam, seorang guru itu dipandang tinggi berbanding pekerjaan lain yang
bersifat keduniaan. Seorang guru itu lebih dipandang mulia disisi Allah
berbanding dengan seorang yang hanya duduk menghabiskan masa beribadat dan
berdoa sepanjang hari.
Islam tidak pernah memisahkan agama
dengan kehidupan dunia. Sebab itulah daripada Rasulullah, Islam telah
dilengkapkan kesemua sekali, baik dari segi perundangan, perniagaan, sains,
perhubungan sosial, pengurusan harta dan lain- lain. Tetapi, kita masih malu
untuk mengikuti apa yang diperintahkan Allah. Malu sebeginilah yang ditegah
oleh Allah dan Rasulullah.
MALU
PADA KAUM WANITA
Kemodenan hari ini banyak merubah cara
kaum wanita Islam kita dalam cara berpakaian. Ramai yang megenakan seluar
ketat, mendedahkan bahagian perut dan pusat, berpakaian menjolok mata dan tidak
mahu memakai tudung sebagaimana yang disyariatkan oleh Allah. Ramai yang sudah
hilang malu, menonjolkan diri untuk memancing pandangan semua orang. Ini
termasuklah bebas berdua-duaan bersama-sama pasangan yang bukan muhrim mereka.
Pandangan seperti ini sudah menjadi perkara biasa di negara ini atau di
mana-mana jua.
Seorang muslimah yang patuh kepada
perintah Allah dan RasulNya tidak akan menggadaikan maruah diri semata-mata
mahu nampak moden dan mengikut perkembangan semasa. Wanita wajib malu
mendedahkan diri mereka kepada lelaki yang boleh dikahwini dan ditengah-tengah masyarakatnya.
Malu seorang wanita itu datang daripada sifat malu kerana takutkan Allah.
Begitu juga dengan kes-kes sumbang
mahram yang amat memalukan kita khususnya umat Islam. Perbuatan ini amat hina
kerana sanggup menodai dan memakan darah daging sendiri yang sepatutnya adalah
amanah Allah kepada bapanya, abang datuk dan bapa saudara memelihara
kehormatannya.
Dalam satu hadis yang diriwayatkanoleh
Abdullah Ibn Umar, Rasulullah saw bersabda:
"Sifat malu dan iman itu seiringan.
Jika salah satu ditinggalkan, maka kedua-duanya akan hilang."(Baihaqi)
Sifat malu dan memelihara kehormatan
seseorang ini amat penting dan sangat dititikberatkan dalam Islam. Malu adalah
perhiasan dan perisai kepada lelaki dan wanita yang percayakan ada pembalasan
pada hari akhirat. Perisai inilah yang menghalang mereka daripada terjerumus
melakukan dosa dan noda, zahir dan batin.
Hadis riwayat Anas bin Malik,Rasullullah
saw bersabda:
"Apabila seseorang menyertakan
keghairahan atau tarikan berahi kepada setiap perkara yang dilakukannya, ia
akan menjadi keburukan, dan apabila malu disertakan dalam setiap perbuatan ia
akan menjadi indah."(Tirmidhi)
DI
ZAMAN RASULULLAH
Orang beriman pada zaman Rasulullah
apabila baginda membacakan ayat tentang hijab yang diturunkan kepadanya, semua
orang Quraish dan Ansar berlari pulang ke rumah masing-masing memberitahu
isteri, anak perempuan dan saudara perempuan mereka mengenai perintah Allah dan
Rasulullah supaya menutup aurat dan kepala mereka. Bagi yang sudah memakai
tudung kepala, segera membetulkannya dan mereka yang masih belum memakai
tudung, mencapai kain atau apa saja kain buat menutup kepala mereka.
Ini diterangkan dalam hadis riwayat
Aisyah,
"Semoga Allah memberi rahmat kepada wanita muhajirin. Apabila
ayat 'dan mereka hendaklah melabuhkan tudung hingga menutupi bahagian dada
mereka' dibacakan, mereka mencarik kain daripada pakaian yang mereka ada dan menutupi
kepala mereka".(Abu Dawud)
Seorang muSlim patut faham, tiada sifat
malu itu samalah kita mengikuti jalan syaitan sebagaimana disebutkan dalam
hadis riwayat Malik bin Uhamir yang mendengar
Rasulullah bersabda:
"Allah
tidak akan menerima sebarang amalan atau ketaatan seseorang yang tiada sifat
malu dan angkuh".
Kami
Bertanya: 'Siapakah orangnya yang angkuh dan tidak mempunyai malu ini ya
Rasulullah?'
"Seorang
lelaki yang membiarkan isterinya melayani lelaki bukan muhrimnya".
Maksud melayani ini ialah si isteri
dibiar atau dibiarkan mempamerkan kecantikkannya pada khalayak ramai
(tidakmemakai hijab). Bermakna dia bebas dipandang oleh lelaki yang bukan
muhrimnya.
Al-Mughira meriwayatkan:Sa'd bin Ubada
berkata,"Aku tidak akan teragak-agak membunuh isteriku dengan pedangku
sekiranya aku melihat dia dengan lelaki lain." Berita ini disampaikan
kepada Rasulullah saw dan Baginda bersabda:
"Kamu semua terpegun dengan harga
diri dan kemuliaan Sa'd. Demi Allah, aku ini lebih mempunyai harga diri dan
kerana Allah itu lebih mempunyai harga diri. Dia mengetahui segala dosa dan
perkara yang memalukan dilakukan oleh kamu baik secara terang mahupun
tersembunyi. Dan hendaklah kamu kembali kepadanya dan memohon keampunan Allah
dan untuk itu Dia membawa berita gembira dan amaran. Dan tiada yang lebih suka
dipuji melainkan Allah dan untuk itu Allah menjanjikan balasan syurga kepada
mereka yang membuat kebajikan."
Abdul Malik berkata,
"Tiada siapa yang lebih malu
berbanding dengan Allah."(Sahih Bukhari)
Rasulullah saw bersabda:
"Setiap
cara hidup ada karektornya. Dan malu itu adalah karektor Islam." ATAU
"Setiap
agama ada karektornya. Dan karektor Islam adalah malu". (Abu Dawod)
Sifat malu itu hanya membawa kepada
kebaikan. Sebagaimana sabda Rasulullah saw:
"Malu itu tidak akan menyebabkan perkara lain kecuali untuk
kebaikan."(Bukhari)
Malu itu lambang iman dan malu itu
membawa kita ke syurga. Rasulullah saw bersabda:
"Malu itu datangnya
daripada keimanan dan iman itu membawa ke syurga. Dan sebaliknya adalah membawa
kepada neraka".(Bukhari)
Rasulullah bersabda:
"Malu dan amanah
adalah perkara yang mula-mula sekali hilang dari dunia ini, sebab itu mintalah
dengan Allah untuk kedua-duanya".(Bukhari)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan