Catatan Popular

Ahad, 8 September 2013

SYARAH KITAB AL-HIKAM ATHAILLAH 27 USTAZ SUFI : KECEMERLANGAN DI PENGHUJUNG LANTARAN CEMERLANG DI AWALNYA



Menurut Kalam Hikmah ke 27 , Imam Ibnu Athaillah Askandary   

"Sesiapa yang telah mencapai kecemerlangan pada permulaan perjalanan hidupnya,dia juga akan mencapai kecemerlangan di penghujung kehidupannya"
  • Abdullah al-Syarqawi menyatakan kalam hikmah tersebut menekankan bahawa orang yang cemerlang dan berjaya di penghujung perjalanan hidupnya adalah lantaran dia berusaha dengan bersungguh-sungguh serta teliti dalam perjuangannya sejak dari awal perjalanannya lagi.
  • Bertitik tolak daripada hakikat tersebut Rasulullah صلي الله عليه وسلم telah bersabda ( sebahagian daripada hadithnya ) yang diriwayatkan oleh Imam At-Tirmizi di dalam Sunannya yang mengkategorikan Bani Adam atau manusia kepada empat kelompok ,sabdanya :
 Mafhumnya : Ketahuilah ! Sesungguhnya Bani Adam telah diciptakan dalam pelbagai peringkat ;
i           Sebahagian daripada mereka dilahirkan ke  dunia sebagai seorang Mu`min, hidup sebagai Mu`min dan mati pun sebagai Mu`min,
ii          Sebahagiannya pula dilahirkan ke dunia sebagai seorang kafir,hidup pun sebagai orang kafir dan matinya pun sebagai seorang kafir,
iii         Sebahagian yang lain pula lahir ke dunia sebagai Mu`min ,hidup pun sebagai seorang Mu`min tetapi malangnya mati sebagai seorang kafir,
iv         Sebahagiannya pula lahir ke dunia sebagai seorang kafir,hidup sebagai seorang kafir (dan beruntungnya dia) mati sebagai Mu`min
 Sehubungan ini Sahl bin Adullah menyatakan :
خوف الصديقين خوف سوء الخاتمة عند كل خطرة وكل حركة
Mafhumnya : Kebimbangan orang-orang yang benar dan sholeh pada setiap lintasan hati dan tindak tanduknya ialah mati dalam keadaan su`ul khatimah.
Kisah Barshisha boleh dijadikan pengajaran tentang perlunya istiqamah,kewaspadaan dan tawadhak di dalam kita beribadat kepada Allah lantaran persoalan su`ul khatimah dan husnul khatimah sesuatu yang tidak boleh ditentukan oleh seseorang.
Barshisha adalah seorang zalim di zaman silam beribadat selama 220 tahun dan mempunyai para pelajar dan pengikut seramai 60,000 orang. Para malaikat turut mengkagumi kesholehannya lantas Allah berfirman kepada para malaikat; Mengapa kamu kagum kepada Barshisha ? Padahal Aku lebih mengetahui tentang keadaannya ? Dalam ilmuKu Barshiha akan kafir dan akan dimasukkan ke neraka jahannam selama-lamanya.
  • Berikutnya datang iblis untuk memperdaya Barshisha dengan cara bersahabat dengannya dan sama-sama beribadat dengan tekun.Iblis beribadat tanpa makan dan minum dan tanpa tidur.Keadaan itu menghairankan Barshisha lantas dia bertanya.Bagaiamana mahu beribadat bersungguh-sungguh seperti itu.Iblis menyatakan engkau hendaklah menderhaka kepada Allah dan kemudian bertaubat kepadaNya nescaya Allah akan menerima taubatmu itu.Akhirnya Barshisha meminum arak,berzina dan membunuh orang dan dia dihukum sebatan sebanyak 80 sebatan kerana meminum arak,ditambah dengan 100 sebatan kerana berzina dan dihukum gantung sampai mati.Sebelum dia digantung iblis datang kepadanya dan berjanji untuk melepaskannya dari tali gantung dengan syarat Barshisha mesti menyembah iblis.Barshisha menyembah iblis dan dia mati dalam keadaan kufur.Allah meriwayatkan peristiwa ini di dalam surah al-Hasyr ayat 16 dengan firmanNya :
 Mafhumnya : ( Sikap Golongan Munafiq dan Orang-orang Yahudi itu) samalah seperti ( sikap ) syaitan ketika dia berkata kepada manusia ; Berlaku kufurlah engkau ! Setelah orang itu berbuat kufur berkatalah syaitan kepadanya:”Sesungguhnya aku adalah berlepas diri daripadamu,kerana sebenarnya aku takut kepada Allah,Tuhan yang menguasai sekalian alam !”.
Rumusannya sejak di permulaan perjalanannya seseorang mujahid pada jalan Allah itu sentiasa berbimbang-bimbang terhadap kemurkaan Allah dan di penghujung hayatnya dia akan menikmati kelazatan bermusyahadah terhadap kebesaran dan kebijaksanaan Allah.Tegasnya seandainya seseorang yang menjalani jalan Allah sejak awal lagi berusaha menyucikan diri daripada sifat-sifat mazmumah dan menghiaskan diri dengan sifat-sifat mahmudah nescaya dengan izin Allah pada nihayahnya dia akan sampai ke tahap berupaya menilik segala kebesaran dan keagungan Allah dengan segala peraturanNya.

Tiada ulasan: