Catatan Popular

Ahad, 22 September 2013

SEJERNIH-JERNIH MAKRIFAT TOK KENALI : BAGAIMANA UNTUK INGAT KEPADA ALLAH



NUKILAN HJ SAARI MOHD YUSOF (PEWARIS KETIGA ILMU MAKRIFAT TOK KENALI KELANTAN) 

Firman Surah, Ar-Rad;28

“Orang-orang beriman itu menjadi tenteram hatinya dengan ingat (zikir) kepada Allah. Ketahuilah bahawa hanya dengan mengingati Allah, hati boleh menjadi tenteram”.

Allah memberi jaminan kepada sesiapa yang ingat kepada Allah, hati kita akan menjadi tenteram. Tenteram itu, adalah merujuk kepada tidak takut kepada miskin, tidak ragu-ragu dengan ketetapan Allah, tidak berduka cita dengan apa yang terlepas dan tidak merasa bangga dengan apa yang ada.

Hidup orang yang ingat kepada Allah itu, adalah hidup yang sederhana. Tidak banyak keperluan dan tidak belanja secara berlebih-lebih. Mereka hidup dalam keadaan selalu bersyukur, senang, tenang, aman dan damai hatinya bilamana dapat ingat kepada Allah. Orang yang ingat kepada Allah itu, hatinya ada menaruh atau tersimpan perasaan sabar dan selalu berserah kepada Allah Taala.

Ingat kepada Allah itu, adalah menjadi sendi dan nadi orang makrifat. Ingat kepada Allah itu, menjadikan pengerak atau pendorong untuk kita terus bekerja dan terus berusaha dengan lebih gigih. Ingat kepada Allah itu, menjadi satu wadah kekuatan jiwa, ketahanan mental dan ketahan fizikal tubuh badan.

Ingat kepada Allah itu, boleh membawa kita kepada suatu tahap keyakinan dalam hidup, walaupun tanpa sokongan dari orang lain.

Jam dinding menunjukkan pukul 4:33 pagi tanggal 25hb Oktober bersamaan hari khamis. Terlintas untuk mengarang bab ingat kepada Allah. Sebelumnya rasa lebih baik saya panaskan badan dahulu dengan secawan milo yang dibeli dua hari lepas. Selepas meneguk milo yang baru dibuat, entah mengapa pagi ini hati saya tiba-tiba tersangat ingat kepada arwah kedua ibu bapa. Tanpa dapat dibendung, kelopak mata bergenang dengan air mata. Saya gagahkan juga jejari ini untuk terus mengarang rencana yang tidak seberapa ini. Mudah-mudahan roh kedua ibu bapa saya bangga dengan apa yang saya perjuangkan selama ini. Duhai ayahanda ku yang tercinta, kini anakanda mu akan terus meyambung hajat mu yang tidak kesampaian.

Inilah tajuk yang teramat besar untuk dimengerti oleh sekalian yang bergelar insan. Iaitu bagaimana caranya untuk ingat kepada Allah swt. Marilah pada pagi yang mulia ini, saya ingin mengajak tuan-tuan dan puan supaya sama-sama kita menyeberang lautan ilmu yang tidak bertepi, agar suatu hari nanti, kita beroleh sampai kepersisiran pantai “ingat kepada Allah swt“.



INGAT ALLAH BUKAN PADA NAMANYA

Ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara menyebut-yebut nama. Ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara membilang-bilang kebesaranNya. Juga ingat kepada Allah itu, bukan dengan cara mengira-gira puji-pujian kesucian. Allah tidak makan dipuji. Allah tidak terpengaruh dengan puji-pujian, sogokan atau ampu dari makhluk. Allah itu bersifat Maha Terpuji dan Maha Suci. Yang tidak perlu kepada usaha makhluk untuk mensuci akan Dia. Allah tidak perlu dibersih atau dicuci, kerana Allah itu sudah sedia suci dan sudah sedia bersih. Allah itu, tidak sedikitpun termakan pujukan serta rayuan makhluk. Allah tidak terpengaruh dengan memek muka sedih, tidak terpengaruh dengan linangan air mata makhluk. Allah itu sifatnya berdiri dengan sendiri (Kiamuhu Binafsih), tanpa terpengaruh dengan pujuk rayu makhluk. Sekalipun nama Allah itu, dipuja atau dipuji, tidak sekali-kali bertambah kerajaan Allah dan sekiranya nama Allah itu tidak sekali-kali disebut-sebut oleh bibir mulut makhluk, sedikitpun tidak berkurangan kerajaan Allah.

Ingat Allah itu, bukan dengan cara menyebut-yebut namaNya. Pada asalnya Allah itu, tidak bernama dan tidak bergelaran apa-apa panggilan. Panggilan nama Allah itu, tercipta dan terpanggil sesudah keberadaan Nur Muhamad. Sebelum kejadian Nur Muhamad, Allah tidak bernama. Setelah terciptanya Nur Muhamad, barulah nama Allah itu terpanggil dan tersebut. Tetapi harus diingat bahawa Allah itu, bukan nama panggil-panggilan. Semasa Allah bersendirian, semasa sebelum kejadian Nur Muhamad, siapa hendak memanggil namanya sebagai Allah? Seumpama seorang Raja yang ketiadaan rakyat, siapa yang hendak memanggilnya sebagai Raja? Begitu juga Allah. Pada mulanya Allah itu, tidak bernama, setelah adanya Nur Muhamad (atau adanya rakyat), barulah atau Allah itu bernama. Ini menunjukkan kepada kita bahawa Allah itu, bukan nama.

Allah itu bernama adalah pada bibir Nur Muhamad dan pada bibir-bibir makhluk. Oleh itu, sedarlah wahai sekalian mana yang ada membaca karangan ini, bahawa marilah bermula dari hari ini, jam ini dan saat ini, sama-sama kita “mencari ingat” kepada yang sebenar-benar Allah. Allah yang tidak berhuruf dan Allah yang tidak bersuara. Tulisan atau perkataan Allah yang berupa huruf, yang tersangkut di dinding-dinding rumah atau yang di sangkut dicermin-cermin kereta, itu bukan Allah. Itu adalah tulisan, tulisan yang berupa lakaran huruf dari tangan makhluk. Allah itu, bukan berupa tulisan, lakaran, ukiran atau berupa huruf. Apa yang kita tulis itu, adalah berupa dakwat beserta kertas. Sifat yang bilamana dibakar ia hangus dan bilamana direndam dia basah, itu adalah sifat makhluk, bukannya sifat Allah. Allah itu, bilamana terbakar tidak hangus, bilamana direndam tidak basah. Selagi terbakar dan selagi basah, itu bukan Allah. Jangan sekali-kali beriktikad bahawa suara halkum yang terzahir pada bibir mulut kita itu, adalah Allah.

Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu. Ingat, ingat dan ingat kata-kata saya yang sedikit itu. Allah bukannya sesuatu tetapi nyata dan terzahir pada sesuatu. Suara bibir yang menyebut perkataan Allah itu, adalah merupakan sesuatu. Sedangkan Allah bukan sesuatu. Mana Allah dan bagaimana untuk ingat kepada Allah?

Saya tinggalkan persoalan ini untuk tuan-tuan fikir sendiri. Jika saya terus-terus memperkhabarkan secara senang, tidak akan ada orang yang akan menghargai ilmu ini. Ilmu ini akan dihargai orang bilamana ianya mahal. Mahalnya ilmu ini bilamana saya sorok atau saya sembunyikan puncanya supaya tuan-tuan meraba-raba sendiri. Setelah puas dan letih meraba di dalam gelap, barulah tuan-tuan tahu menilai yang ianya amat beharga. Cuba cari dan cuba jawab, bagaimana nak ingat kepada Allah dengan sebenar-benar ingat?

Bagi sesiapa yang berhajat kepada jawapannya, sila miliki kitab “Mengenal diri dan Mengenal Allah, Makrifat Tok Kenali Kelantan” atau hubungi terus kepada saya Hj. Shaari Hj. Mohd Yusof di talian 019 4444 713 catau 019 3010 117. Nampak seolah-olah saya nak memperomosi kitab, sebenarnya bukan berniat atau bukan tujuan saya untuk berperomosi kitab. tetapi sekadar untuk menyatakankan yang benar. Itupun sekiranya dikehendaki Allah. Sekiranya tidak dikehendaki Allah, bacalah seribu kitab dan sekalipun turun guru dari langit, kiranya tidak berkehendak Allah untuk membari faham, tuan-tuan tidak akan beroleh faham. Kitab atau pun guru, hanyalah sekadar alat untuk meyampaikan, sesungguhnya yang memberi faham itu, adalah Allah swt.



INGAT KEPADA ALLAH ITU, BUKAN PADA SIFAT ATAU NAMANYA (ALLAH TIDAK BERSIFAT)

Allah itu, tidak bersifat, Allah itu tidak berjirim dan Allah itu tidak berjisim. Barang atau perkara yang tidak berjirim atau berjisim, mana mungkin ada nama. Setiap yang bernama itu, pasti ada sifat dan setiap yang bersifat itu, pasti nama. Sedangkan Allah itu tidak bersifat, mana mungkin Allah itu ada nama. (Barang yang tidak bersifat, pastinya tidak bernama. Barang yang tidak bernama, pasti tidak bersifat). Sedangkan Allah Taala itu, tidak bersifat sebagaimana sifatnya makhluk, mana mungkin ada nama. Oleh itu, barang siapa yang masih menyebut nama Allah, sesungguhnya mereka itu, belum lagi dikatakan ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, bukan pada namaNya. Ingat kepada Allah itu, setelah kenal tuan yang empunya nama. Kenal tuan yang empunya nama, barulah dikatakan ingat. Ingat kepada Allah itu, setelah sampai kepada tahap mengenal tuan yang empunya nama. Mengenal tuan yang empunya nama itu pula, hendaklah sampai kepada tahap tidak lagi berhuruf dan biarlah sampai kepada tahap tidak lagi bersuara. Yang tidak berjirim, yang tidak berjisim, yang tidak berhuruf dan yang tidak bersuara itu, itulah baru dikatakan sebenar-benar Allah...

Allah itu bersifat dengan sifat yang bersalahan sebagaimana sifat makhluk. Sekiranya makhluk ada bentuk (ada sifat), pastinya Allah itu tidak ada bentuk dan tidak ada sifat. Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama. Jika sekiranya Allah itu ada bentuk dan ada nama sebagaimana makhluk. Itu bukan Allah. Sekiranya Allah ada nama dan makhluk juga ada mempunyai nama, apa bezanya dengan makhluk? Sekiranya Allah ada sifat dan makhluk juga mempunyai sifat, apa bezanya antara Allah dengan makhluk. Menandakan Allah itu adalah Allah, yang sifatnya bersalahan dengan yang baharu, pastinya berbeza dengan sifat makhluk. Bagi menentukan Allah itu tidak sama dengan sifat makhluk, hendaklah kedua-duanya mempunyai sifat yang berlawan atau sifat yang berbeza antara satu sama lain.



ALLAH ITU SEKADAR PENYATA BAGI NAMA.

Bilamana Allah ada, makhluk bersifat tidak ada, bilamana Allah melihat, makhluk bersifat tidak melihat dan bilamana sifat makhluk bernama, sudah barang tentu Allah bersifat dengan sifat yang tidak bernama. Panggilan Allah itu, adalah sekadar penyata bagi nama, bukan penyata bagi tuan. Penyata bagi tuan yang empunya nama itu, adalah “rasa”.



ALLAH ITU, BERLAWANAN SIFATNYA DENGAN MAKHLUK!

Bilamana makhluk bersifat, Allah tidak bersifat. bilamana makhluk berbentuk, Allah tidak berbentuk. Bilamana makhluk bernama, Allah tidak bernama. dengan sifat ada bentuk, manakala Allah pula pasti tidak bersifat dan tidak berbentuk. Sekiranya makhluk ada sifat dan Allah juga ada nama, sekiranya makhluk ada nama dan Allah juga ada nama, apa bezanya Allah dengan makhluk? Sekiranya makhluk ada nama, Allah pasti tidak ada nama, sekiranya makhluk ada sifat, Allah pasti tidak ada sifat. Kerana Allah itu sifatNya bersalahan dengan yang baharu dan bersalahan dari sifat makhluk.



ALLAH BUKAN SUARA DARI HALKUM!

Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan masih lagi menyebut nama, bererti tuan-tuan belum sepenuh ingat kepada Allah. Ingat kepada Allah itu, bukan dengan menyebut namanya, ingat kepada Allah itu, adalah dengan cara “ ingat kepada tuan yang empunya nama!”. Tuan yang empunya nama itu pula, tidak berhuruf dan tidak bersuara, tidak berjirim dan tidak berjisim. Suara yang terkeluar dari kedua bibir mulut itu, adalah perkara yang masih bersifat suara dan masih bersifat jirim (huruf). Sedangkan Allah itu, sifatNya tidak berjirim atau berjisim. Allah itu bukan huruf atau tulisan dan Allah itu, bukan suara sebagaimana suara yang terkeluar dari halkum.



ALLAH BUKAN SUARA BIBIR MULUT.

Allah tidak sebagaimana suara yang terkeluar dari bibir. Suara yang terkeluar dari bibir mulut itu, berupa angin yang dihembus dari halkum. Hembusan angin yang terkeluar dari peti halkum dalam bentuk suara yang berbunyi nama atau dalam bentuk pangil-panggilan dengan sebutan nama Allah, itu bukan Allah. Yang berbunyi itu suara, manakala suara itu bukan Allah. Suara bibir mulut makhluk itu, bukan Allah. Allah tidak berada pada peti suara (halkum) dan Allah tidak berada pada sebutan nama, Mana Allah dan bagaimana cara untuk ingat kepada Allah? Cuba tuan-tuan jawab? Sebelum saya meneruskan ungkapan yang tidak seperti ini, saya mahu tuan-tuan jawab. Jika tidak boleh jawab, bagaimana selama ini tuan-tuan ingat kepada Allah?

Jam dinding sudah menunjukkan pukul 5:46 pagi. Saya berhenti di sini dulu buat seketika, kerana saya nak bersiap untuk berjogging selepas subuh. Saya hanya berjogging, berlari dan berjalan lebih kurang tiga kilometer sahaja. Selepas berjogging lebih kurang satu jam dan selepas mandi, badan serasa segar. Untuk itu apakata saya sambung sedikit lagi coretan ilmu ini buat tatapan para pembaca yang budiman sekalian.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dirahmati Allah sekalian.



INGAT ITU ADALAH TIDAK INGAT DAN TIDAK INGAT ITULAH YANG DIKATAKAN SEBENAR-BENAR INGAT.

Untuk ingat kepada Allah itu, kita tidak lagi perlu kepada dalil. Bagi sesiapa yang masih lagi meraba-raba mencari dalil untuk ingat kepada Allah, sesungguhnya mereka itu adalah golongan mereka-mereka yang belum ingat kepada Allah. Bagi sesiapa yang masih mencari-cari dalil untuk ingat kepada Allah, itu tandanya mereka belum ingat kepada Allah, mereka-mereka itu masih berada pada tahap mengingati dalil, bukannya ingat kepada Allah tetapi mereka hanya ingat kepada dalil. Sedangkan Allah itu, bukan dalil. Allah itu adalah Allah. Untuk ingat kepada Allah itu, kita sepatutnya tidak lagi perlu kepada dalil. Allah itu, bukan sesuatu, Sedangkan dalil itu, adalah merupakan sesuatu. Yang berupa sesuatu itu, bukan Allah kerana Allah itu bukan sesuatu. Untuk ingat kepada Allah itu, tidak lagi perlu kepada dalil.

Jika sekiranya masih berdalil-dalil untuk ingat kepada Allah, tandanya tuan-tuan teramat jauh dari Allah. Bilamana teramat jauh dari Allah, bererti tuan-tuan dalam keadaan teramat hampir kepada lupa kepada Allah. Jika tidak keterlaluan, izinkan kepada saya untuk menuduh dan untuk mengatakan yang bahawasanya tuan-tuan belum lagi sampai kepada tahap ingat kepada Allah. Apakah Allah itu tidak cukup terang dan apakah Allah itu, tidak cukup jelas sampai kepada mencari dalil untuk ingat kepada Allah? Allah bukan sesuatu, kenapa masih mencari sesuatu untuk ingat kepada Allah. Allah bukan sesuatu tetapi nyata pada sesuatu. Kenapa perlu cari lagi?

Selagi masih berdalil untuk ingat kepada Allah, sesungguhnya tuan-tuan dan puan-puan bukan dari golongan orang-orang yang ingat kepada Allah. Mencari dalil Allah, dengan sebutan, mencari dalil Allah, dengan berzikir, mencari dalil Allah dengan perbuatan, mencari dalil Allah dengan suara, mencari dalil Allah dengan sembahyang dan mencari dalil Allah dengan puasa. Kenapa perlu lagi kepada dalil?Tidakkah Allah itu, teramat nyata dan teramat terang? Tidak cukupkah Allah itu Allah. Sesungguhnya Allah itulah Allah. Allah itu nyata, lebih nyata dari diri kita sendiri, kenapa perlu dalil? Cuba jawab pertanyaan saya...
Allah itu terang, lebih terang dari cahaya matahari, kenapa perlui dalil? Cuba jawab pertanyaan saya...

Saya bermohon dan berseru kepada semua pembaca kitab Tok Kenali atau yang mengikuti laman web ini diseluruh Semenanjung Malaysia, Sabah & Sarawak, Singapura, Brunai dan Indonesia (terutama saudara dari Aceh dan Sulawesi) supaya memberi jawapan dan memberi komen tentang persoalan saya diatas. Mari kita sama-sama menilai dan menghayati bersama. Ayuh bukakan laman web masing-masing, mari kita berdiskusi…

Memandangkan esok hari raya korban, tidakkah ada orang yang ingin bertanya tentang maksud sebenar korban?.


Tiada ulasan: