Diriwayatkan
bahawa surah Al-Maaidah ayat 3 diturunkan selepas waktu asar iaitu pada hari
Jumaat di padang Arafah pada musim haji Wida’. Pada masa itu Rasulullah s.a.w.
berada di atas unta. Ketika ayat ini turun Rasulullah s.a.w. tidak begitu jelas
penerimaannya untuk mengingati isi dan makna yang terkandung dalam ayat tersebut.
Kemudian Rasulullah s.a.w. bersandar pada unta beliau, dan unta beliau pun
duduk perlahan-lahan. Setelah itu turun malaikat Jibril dan berkata:
“Wahai
Muhammad, sesungguhnya pada hari ini telah disempurnakan urusan agamamu, maka
terputuslah apa yang diperintahkan oleh Allah S.W.T. dan demikian juga apa yang
terlarang oleh-Nya. Oleh itu kamu kumpulkan para sahabatmu dan beritahu kepada
mereka bahawa hari ini adalah hari terakhir aku bertemu dengan kamu.”
Setelah malaikat
Jibril pergi maka Rasulullah s.a.w. pun berangkat ke Madinah. Rasulullah s.a.w.
lalu mengumpulkan para sahabat baginda, dan menceritakan apa yang telah
diberitahu oleh malaikat Jibril. Apabila para sahabat r.a. mendengar hal yang
demikian maka mereka pun gembira sambil berkata: “Agama kita telah sempurna.
Agama kila telah sempurna.”
Apabila Abu
Bakar r.a. mendengar keterangan Rasulullah s.a.w. itu, maka ia tidak dapat
menahan kesedihannya. Abu Bakar r.a. pulang ke rumah lalu mengunci pintu dan
menangis sekuat-kuatnya. Abu Bakar r.a. menangis dari pagi hingga ke malam.
Kisah tentang Abu Bakar r.a. menangis telah sampai kepada para sahabat yang
lain. Maka berkumpullah para sahabat r.a. di depan rumah Abu Bakar r.a. dan
bertanya: “Wahai Abu Bakar, apakah yang telah membuat kamu menangis sehingga
begini sekali keadaanmu? Seharusnya kamu merasa gembira sebab agama kita telah
sempurna.”
Mendengarkan
pertanyaan dari para sahabat r.a. maka Abu Bakar r.a. pun berkata, “Wahai
para sahabatku, kamu semua tidak tahu tentang musibah yang menimpa kamu,
tidakkah kamu tahu bahawa apabila sesuatu perkara itu telah sempurna maka akan
kelihatanlah akan kekurangannya. Dengan turunnya ayat tersebut bahawa ia
menunjukkan perpisahan kita dengan Rasulullah s.a.w. Hasan dan Husin menjadi
yatim dan para isteri Rasulullah menjadi janda.”
Setelah
mereka mendengar penjelasan dari Abu Bakar r.a. maka sedarlah mereka akan
kebenaran kata-kata Abu Bakar r.a., lalu mereka menangis dengan sekuat-kuatnya.
Tangisan mereka telah didengar oleh para sahabat yang lain, maka mereka pun
terus memberitahu Rasulullah s.a.w. tentang kejadian yang mereka saksikan itu.
Berkata
salah seorang dari para sahabat r.a., “Ya Rasulullah, kami baru kembali dari
rumah Abu Bakar dan kami dapati ramai orang menangis dengan suara yang kuat di
depan rumah beliau.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar keterangan dari
para sahabat, maka berubahlah muka Rasulullah s.a.w. dan dengan bergegas beliau
menuju ke rumah Abu Bakar r.a.
Sebaik
Rasulullah s.a.w. sampai di rumah Abu Bakar r.a., Rasulullah s.a.w. melihat
kesemua mereka menangis dan bertanya, “Wahai para sahabatku, kenapakah kamu
semua menangis?.” Kemudian Ali r.a. berkata, “Ya Rasulullah, Abu Bakar
mengatakan dengan turunnya ayat ini membawa tanda bahwa waktu wafatmu telah
dekat. Adakah ini benar ya Rasulullah?.”
Lalu
Rasulullah s.a.w. berkata: “Semua yang dikatakan oleh Abu Bakar adalah
benar, dan sesungguhnya waktu untuk aku meninggalkan kamu semua telah dekat”.
Sebaik
sahaja Abu Bakar r.a. mendengar pengakuan Rasulullah s.a.w., maka ia pun
menangis sekuat tenaganya sehingga ia jatuh pengsan, sementara Ali r.a. pula
mengeletar seluruh tubuhnya, para sahabat yang lain pula menangis sekuat yang
mereka mampu. Sehinggakan gunung-ganang, semua malaikat yang ada di langit,
cacing-cacing, semua binatang baik yang ada di darat maupun yang ada di laut
semua menangis. Kemudian Rasulullah s.a.w. bersalam dengan para sahabat r.a.
satu demi satu dan berwasiat pada mereka.
Pada satu
hari, baginda s.a.w. menyuruh Bilal r.a. azan untuk mengerjakan solat. Para
Muhajirin dan Ansar pun berkumpullah di masjid Rasulullah s.a.w. Kemudian
Rasulullah s.a.w. menunaikan solah dua rakaat bersama semua yang hadir. Setelah
selesai solat, baginda s.a.w. bangun dan naik ke atas mimbar dan berkata: “Alhamdulillah,
wahai para muslimin. Sesungguhnya aku adalah seorang nabi yang diutus dan
mengajak orang ke jalan Allah dengan izin-Nya. Dan aku ini adalah sebagai
saudara kandung kamu, yang kasih sayang pada kamu semua seperti seorang ayah.
Oleh itu, kalau ada sesiapa ada hak untuk menuntut, maka hendaklah ia bangun
dan membalasi aku sebelum aku dituntut di hari Qiamat.”
Rasulullah
s.a.w. berkata sebanyak tiga kali, lalu bangunlah seorang lelaki bernama
‘Ukasyah bin Muhshan dan berkata: “Demi ayahku dan ibuku ya Rasulullah,
kalau kamu tidak mengumumkan kepada kami berkali-kali sudah tentu aku tidak
mahu mengemukakan ini.”
Lalu
‘Ukasyah r.a. berkata lagi: “Sesungguhnya dalam perang Badar aku bersamamu
ya Rasulullah. Pada masa itu aku mengikuti unta kamu dari belakang. Setelah
dekat, akupun tuun menghampiri kamu dengan tujuan supaya aku dapat mencium paha
kamu, tetapi kamu telah mengambil tongkat dan memukul unta kamu untuk berjalan
cepat, yang mana pada masa itu akupun kamu pukul pada tulang rusukku. Aku
hendak tanya samada kamu sengaja memukul aku atau hendak memukul unta
tersebut.”
Rasulullah
s.a.w. berkata: “Wahai ‘Ukasyah, Rasulullah sengaja memukul kamu.” Kemudian
Rasulullah s.a.w. berkata kepada Bilal r.a., “Wahai Bilal, kamu pergi ke
rumah Fatimah dan ambilkan tongkatku ke mari.” Bilal r.a. keluar dari
masjid menuju ke rumah Fatimah r.a. sambil meletakkan tangannya di atas kepala
dengan berkata, “Rasulullah s.a.w. telah menyediakan dirinya untuk dibalas [di
qishash].”
Setelah
Bilal r.a. sampai di rumah Fatimah r.a. maka Bilal r.a. pun memberi salam dan
mengetuk pintu. Kemudian Fatimah r.a. menyahut dengan berkata: “Siapakah di
pintu?.” Bilal r.a. menjawab: “Aku Bilal, aku telah diperintahkan oleh
Rasulullah untuk mengambil tongkat baginda. “Kemudian Fatimah r.a. berkata:
“Wahai Bilal, untuk apa ayahku minta tongkatnya.” Berkata Bilal r.a.: “Wahai
Fatimah, Rasulullah telah menyediakan dirinya untuk diqishash.”
Bertanya
Fatimah r.a. lagi: “Wahai Bilal, siapakah manusia yang sampai hatinya untuk
menqishash Rasulullah?” Bilal r.a. tidak menjawab pertanyaan Fatimah r.a.
Setelah Fatimah r.a. memberikan tongkat tersebut, maka Bilal r.a. pun membawa
tongkat itu kepada Rasulullah s.a.w. Setelah Rasulullah s.a.w. menerima tongkat
tersebut dari Bilal r.a. maka beliau pun menyerahkan kepada ‘Ukasyah r.a.
Melihatkan
hal yang demikian maka Abu Bakar r.a. dan Umar r.a. tampil ke depan sambil
berkata: “Wahai ‘Ukasyah, janganlah kamu qishash Rasulullah tetapi kamu
qishashlah kami berdua.” Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar kata-kata Abu
Bakar r.a. dan Umar r.a. maka dengan segera beliau berkata: “Wahai Abu
Bakar, Umar duduklah kamu berdua, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menetapkan
tempatnya untuk kamu berdua.” Kemudian Ali r.a. bangun, lalu berkata, “Wahai
‘Ukasyah! Aku adalah orang yang sentiasa berada di samping Rasulullah oleh itu
kamu pukullah aku dan janganlah kamu menqishash Rasulullah”. Lalu
Rasulullah s.a.w. berkata, “Wahai Ali duduklah kamu, sesungguhnya Allah
S.W.T. telah menetapkan tempatmu dan mengetahui isi hatimu.” Setelah itu
Hasan r.a. dan Husin r.a. bangun dengan berkata: “Wahai ‘Ukasyah, bukankah
kamu tidak tahu bahawa kami ini adalah cucu Rasulullah, kamu qishashlah kami
sama jika kamu ingin menqishash Rasulullah” Mendengar kata-kata cucunya
Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Wahai buah hatiku duduklah kamu berdua.”
Berkata Rasulullah s.a.w. “Wahai ‘Ukasyah pukullah aku kalau kamu hendak
memukul.”
Kemudian
‘Ukasyah r.a. berkata: “Ya Rasulullah, anda telah memukul aku sewaktu aku
tidak memakai baju.” Maka Rasulullah s.a.w. pun membuka baju. Setelah
Rasulullah s.a.w. membuka baju maka menangislah semua yang hadir.
Setelah
‘Ukasyah r.a. melihat tubuh Rasulullah s.a.w. maka ia pun mencium beliau dan
berkata, “Aku tebus kamu dengan jiwa ku ya Rasulullah, siapakah yang sanggup
memukul kamu. Aku melakukan begini adalah sebab aku ingin menyentuh badan kamu
yang dimuliakan oleh Allah S.W.T. dengan badan ku. Dan Allah S.W.T. menjaga aku
dari neraka dengan kehormatanmu” Kemudian Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah
kamu sekalian, sekiranya kamu hendak melihat ahli syurga, inilah orangnya.”
Kemudian semua para jemaah bersalam-salaman atas kegembiraan mereka terhadap
peristiwa yang sangat genting itu. Setelah itu para jemaah pun berkata, “Wahai
‘Ukasyah, inilah keuntungan yang paling besar bagimu, engkau telah memperolehi
darjat yang tinggi dan bertemankan Rasulullah di dalam syurga.”
Ibnu Mas’ud
r.a. berkata: Ketika ajal Rasulullah s.a.w. sudah dekat, baginda mengumpul kami
di rumah Siti Aisyah r.a. Kemudian baginda s.a.w. memandang kami sambil
berlinangan air mata dan bersabda: “Marhaban bikum, semoga Allah S.W.T.
memanjangkan umur kamu semua, semoga Allah S.W.T. menyayangi, menolong dan
memberikan petunjuk kepada kamu. Aku berwasiat kepada kamu, agar bertakwa
kepada Allah S.W.T. Sesungguhnya aku adalah sebagai pemberi peringatan untuk
kamu. Janganlah kamu berlaku sombong terhadap Allah S.W.T.”
Allah S.W.T.
berfirman: “Kebahagiaan dan kenikmatan di akhirat. Kami jadikan untuk
orang-orang yang tidak ingin menyombongkan dirinya dan membuat kerosakan di
muka bumi. Dan kesudahan syurga itu bagi orang-orang yang bertakwa.”
Kemudian
kami bertanya: “Bilakah ajal kamu ya Rasulullah? Baginda s.a.w.
menjawab: Ajalku telah hampir, dan akan pindah ke hadhrat Allah S.W.T., ke
Sidratul Muntaha dan ke Jannatul Makwa serta ke Arasy.”
Kami
bertanya lagi: “Siapakah yang akan memandikan kamu ya Rasulullah?
Rasulullah s.a.w. menjawab: “Kalau telah sampai ajalku maka hendaklah Ali
yang memandikanku, Fadhl bin Abbas hendaklah menuangkan air dan Usamah bin Zaid
hendaklah menolong keduanya. Setelah itu kamu kafanilah aku dengan pakaianku
sendiri apabila kamu semua menghendaki, atau kafanilah aku dengan kain Yaman
yang putih.”
Kami bertanya:
“Siapakah yang akan mensolatkan baginda di antara kami?” Kami menangis
dan Rasulullah s.a.w. pun turut menangis. Kemudian baginda s.a.w. bersabda: “Tenanglah,
semoga Allah S.W.T. mengampuni kamu semua. Apabila kamu semua telah memandikan
dan mengafaniku, maka letaklah aku di atas tempat tidurku, di dalam rumahku
ini, di tepi liang kuburku. Setelah itu kamu semua keluarlah sebentar
meninggalkan aku. Maka yang pertama-tama mensolatkan aku adalah sahabatku
Jibril. Kemudian Mikail, kemudian Israfil kemudian Izrail berserta bala
tenteranya. Kemudian masuklah kamu dengan sebaik-baiknya. Dan hendaklah yang
mula solat adalah kaum lelaki dari pihak keluargaku, kemudian yang
wanita-wanitanya, dan kemudian kamu semua.”
Setelah itu
para sahabat r.a. menangis dengan nada yang keras dan berkata, “Ya
Rasulullah kamu adalah seorang Rasul yang diutus kepada kami dan untuk semua,
yang mana selama ini anda memberi kekuatan dalam penemuan kami dan sebagai
penguasa yang menguruskan perkara kami. Apabila kamu sudah tiada nanti kepada
siapakah akan kami tanya setiap persoalan yang timbul nanti?”
Kemudian
Rasulullah s.a.w. berkata, “Dengarlah para sahabatku, aku tinggalkan kepada
kamu semua jalan yang benar dan jalan yang terang, dan telah aku tinggalkan
kepada kamu semua dua penasihat yang satu daripadanya pandai bicara dan yang
satu lagi diam sahaja. Yang pandai bicara itu ialah Al-Quran dan yang diam itu
ialah maut. Apabila ada sesuatu persoalan yang rumit di antara kamu, maka
hendaklah kamu semua kembali kepada Al-Quran dan Hadis-ku dan sekiranya hati
kamu itu berkeras maka lembutkan dia dengan mengambil pelajaran dari mati.”
Setelah
Rasulullah s.a.w. berkata demikian, maka sakit Rasulullah s.a.w. pun bermula.
Dalam bulan Safar Rasulullah s.a.w. sakit selama 18 hari dan sering diziarahi
oleh para sahabat r.a. Dalam sebuah kitab diterangkan bahawa Rasulullah s.a.w.
diutus pada hari Isnin dan wafat pada hari Isnin. Pada hari Isnin penyakit
Rasulullah s.a.w. bertambah berat, setelah Bilal r.a. menyelesaikan azan subuh,
maka Bilal r.a. pun pergi ke rumah Rasulullah s.a.w. kemudian memberi salam: “Assalamualaikum
ya Rasulullah?” Kemudian ia berkata lagi “Assolah yarhamukallah.”
Lalu dijawab oleh Fatimah r.a., “Rasulullah masih sibuk dengan urusan
beliau.” Setelah Bilal r.a. mendengar penjelasan dari Fatimah r.a. maka
Bilal r.a. pun kembali ke masjid tanpa memahami kata-kata Fatimah r.a. itu.
Apabila waktu subuh hampir hendak lupus, lalu Bilal r.a. pergi sekali lagi ke
rumah Rasulullah s.a.w. dan memberi salam seperti permulaan tadi, kali ini
salam Bilal r.a. telah di dengar oleh Rasulullah s.a.w. dan Rasulullah s.a.w.
berkata, “Masuklah wahai Bilal, sesungguhnya penyakitku ini semakin berat,
oleh itu kamu suruhlah Abu Bakar mengimamkan solat subuh berjemaah dengan
mereka yang hadir.” Setelah mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. maka
Bilal r.a. pun berjalan menuju ke masjid sambil meletakkan tangan di atas
kepala dengan berkata: “Aduh musibah. Aduhai, alangkah baiknya bila aku
tidak dilahirkan ibuku?”
Setelah
Bilal r.a. sampai di masjid maka Bilal r.a. pun memberitahu Abu Bakar r.a.
tentang apa yang telah Rasulullah s.a.w. pesankan kepadanya. Ketika Abu Bakar
r.a. melihat ke tempat Rasulullah s.a.w. yang kosong, sebagai seorang lelaki
yang lemah lembut, ia tidak dapat menahan perasaannya lagi, lalu ia menjerit
dan akhirnya ia pengsan. Melihatkan peristiwa ini maka riuh rendah tangisan
sahabat r.a. dalam masjid, sehingga Rasulullah s.a.w. bertanya kepada Fatimah
r.a.; “Wahai Fatimah apakah yang telah berlaku?.” Siti Fatimah r.a.
menjawab: “Orang-orang menjadi bising dan bingung kerana Rasulullah tidak
ada bersama mereka.” Kemudian Rasulullah s.a.w. memanggil Ali r.a. dan
Fadhl bin Abas r.a., lalu Rasulullah s.a.w. bersandar kepada kedua mereka dan
terus pergi ke masjid. Setelah Rasulullah s.a.w. sampai di masjid maka
Rasulullah s.a.w. pun bersolat subuh bersama dengan para jemaah.
Pagi itu, walaupun langit telah mulai menguning, burung-burung
gurun enggan mengepakkan sayap. Setelah selesai solat subuh maka Rasulullah
s.a.w. melihat kepada orang ramai dan berkhutbah: “Wahai kaum muslimin, kamu
semua senantiasa dalam pertolongan dan pemeliharaan Allah S.W.T., oleh itu
hendaklah kamu semua bertaqwa kepada Allah S.W.T. dan mengerjakan segala
perintahnya. Sesungguhnya aku akan meninggalkan dunia ini dan kamu semua, dan
hari ini adalah hari pertama aku di akhirat dan hari terakhir aku di dunia.”
Dengan suara
terbatas Rasulullah s.a.w. bersabda, “Ku wariskan dua perkara pada kalian,
Al Quran dan sunnahku. Barang siapa mencintai sunnahku, bererti mencintai aku
dan kelak orang-orang yang mencintaiku, akan masuk syurga bersama-sama aku.”
Pesanan ringkas itu diakhiri dengan pandangan mata Rasulullah s.a.w. yang
tenang dan penuh minat menatap sahabatnya satu persatu. Abu Bakar r.a. menatap mata
itu dengan berkaca-kaca, Umar r.a. dadanya naik turun menahan nafas dan
tangisnya. Usman r.a. menghela nafas panjang dan Ali r.a. menundukkan kepalanya
dalam-dalam. Isyarat itu telah datang, saatnya sudah tiba. “Rasulullah
s.a.w. akan meninggalkan kita semua.” Keluh hati semua sahabat r.a. kala
itu. Manusia tercinta itu, hampir selesai menunaikan tugasnya di dunia.
Tanda-tanda itu semakin kuat. Tatkala Ali r.a. dan Fadhal r.a. dengan cergas
menangkap Rasulullah s.a.w. yang berkeadaan lemah dan goyah ketika turun dari
mimbar, kalau mampu, seluruh sahabat r.a. yang hadir pasti akan menahan
detik-detik dari terus berlalu.
Setelah itu Rasulullah s.a.w. pun pulang ke rumah
baginda. Matahari
kian tinggi, tapi pintu rumah Rasulullah s.a.w. masih tertutup. Sedang di
dalamnya, Rasulullah s.a.w. sedang terbaring lemah dengan keningnya yang
berkeringat dan membasahi pelepah kurma yang menjadi alas tidurnya.
Kemudian
Allah S.W.T. mewahyukan kepada malaikat lzrail, “Wahai lzrail, pergilah kamu
kepada kekasihku dengan sebaik-baik rupa, dan apabila kamu hendak mencabut
ruhnya maka hendaklah kamu melakukan dengan cara yang paling lembut sekali.
Apabila kamu pergi ke rumahnya maka minta izinlah terlebih dahulu, kalau ia
izinkan kamu masuk, maka masuklah kamu ke rumahnya dan kalau ia tidak
mengizinkan kamu masuk maka hendaklah kamu kembali padaKu.”
Setelah
malaikat lzrail mendapat perintah dari Allah S.W.T. maka malaikal lzrail pun
turun dengan menyerupai seorang Arab Badwi. Setelah malaikat lzrail sampai di
depan rumah Rasulullah s.a.w. maka ia pun memberi salam, “Assalamualaikum
wahai ahli rumah kenabian, sumber wahyu dan risalah!” Fatimah r.a. tidak
mengizinkannya masuk, “Wahai Abdullah (Hamba Allah), maaflah, ayahku sedang
sakit,” kata Fatimah r.a. yang membalikkan badan dan menutup pintu.
Kemudian Fatimah r.a. kembali menemani ayahnya yang ternyata sudah membuka
mata. Kemudian malaikat lzrail berkata lagi seperti dipermulaannya, dan kali
ini seruan malaikat itu telah didengari oleh Rasulullah s.a.w.
Baginda
s.a.w. bertanya pada Fatimah r.a., “Siapakah
itu wahai anakku?”
Fatimah r.a.
menjawab: “Seorang lelaki
memanggil ayahanda, saya katakan kepadanya yang ayahanda dalam keadaan sakit.
Ia memanggil dengan suara yang menggetarkan sukma.” Rasulullah s.a.w.
lantas berkata; “Wahai Fatimah, tahukah
kamu siapakah orang itu?.” Jawab Fatimah r.a., “Tidak ayahanda.”
“Dia adalah malaikat lzrail, malaikat yang akan memutuskan segala macam
nafsu syahwat, yang memisahkan perkumpulan-perkumpulan dan yang memusnahkan
semua rumah serta meramaikan kubur.” Fatimah r.a. tidak dapat menahan air matanya lagi.
Setelah mengetahui bahawa saat perpisahan dengan ayahandanya akan bermula, dia
menangis sepuas-puasnya. Apabila Rasulullah s.a.w. mendengar tangisan Fatimah
r.a. maka Baginda SAWpun berkata: “Janganlah
kamu menangis wahai Fatimah, engkaulah orang yang pertama dalam keluargaku akan
bertemu dengan daku.”
Kemudian
Rasulullah s.a.w. pun mengizinkan malaikat lzrail masuk. Maka malaikat lzrail
pun masuk dengan mengucap, “Assalamuaalaikum ya Rasulullah.” Rasulullah
s.a.w. menjawab: “Wa alaikas saalamu, wahai lzrail engkau datang menziarahi
aku atau untuk mencabut ruhku?” Maka berkata malaikat lzrail: “Kedatangan
aku adalah untuk menziarahimu dan untuk mencabut ruhmu, itupun kalau dikau
izinkan, kalau dikau tidak izinkan maka aku akan kembali.” Rasulullah
s.a.w. bertanya: “Wahai Malaikulmaut, di mana engkau tinggalkan kecintaanku
Jibril? “Aku tinggalkan ia di langit dunia?” Jawab malaikat Izrail.
Baru sahaja malaikat Izrail selesai bicara, tiba-tiba malaikat Jibril datang
dan duduk di samping Rasulullah s.a.w. Maka bersabdalah Rasulullah s.a.w.: “Wahai
Jibril, tidakkah engkau mengetahui bahawa ajalku telah dekat?” Jibril
menjawab: “Ya, wahai kekasih Allah.”
Rasulullah
s.a.w. bertanya lagi: “Wahai Jibril, beritahu kepadaku kemuliaan yang
menggembirakan aku di sisi Allah S.W.T.” Berkata malaikat Jibril, “Sesungguhnya
semua pintu langit telah di buka, para malaikat bersusun rapi menanti ruhmu di
langit. Kesemua pintu-pintu syurga telah dibuka, dan kesemua bidadari sudah
berhias menanti kehadiran ruhmu.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Alhamdulillah,
sekarang kamu katakan pula tentang umatku di hari kiamat nanti.”
Berkata
Jibril: “Allah S.W.T. telah berfirman yang bermaksud, Sesungguhnya Aku telah
melarang semua para nabi masuk ke dalam syurga sebelum dikau masuk terlebih
dahulu, dan Aku juga melarang semua umat memasuki syurga sebelum umatmu
memasuki syurga.” Berkata Rasulullah s.a.w.: “Sekarang aku telah puas
hati dan telah hilang rasa susahku.”
Kemudian
Rasulullah s.a.w. berkata: “Wahai lzrail, mendekatlah kamu kepadaku.”
Setelah itu malaikat lzrail pun memulai tugasnya. Perlahan ruh Rasulullah
s.a.w. ditarik. Nampak seluruh tubuh Rasulullah s.a.w. bersimbah peluh,
urat-urat lehernya menegang. Apabila ruh baginda s.a.w. sampai ke pusat, dengan
perlahan Rasulullah s.a.w. mengaduh “Jibril, betapa sakit sakaratul maut
ini.” Fatimah r.a. terpejam, Ali r.a. yang di sampingnya menunduk semakin
mendalam dan Jibril mengalihkan pandangannya dari Rasulullah s.a.w. Melihatkan
telatah Jibril itu maka Rasulullah s.a.w. pun berkata: “Wahai Jibril, apakah
kamu tidak suka melihat wajahku?” Jibril berkata: “Wahai kekasih Allah,
siapakah orang yang sanggup melihat wajahmu dikala kamu dalam sakaratul maut?”
Sebentar
kemudian terdengar Rasulullah s.a.w. merintih kerana sakit yang tidak
tertahankan lagi. “Ya Allah, dahsyat sungguh maut ini, timpakan saja semua
siksa maut ini kepadaku, jangan pada umatku.” Badan Rasulullah s.a.w. mulai
dingin, kaki dan dadanya sudah tidak bergerak lagi. Bibirnya bergetar seakan
hendak membisikkan sesuatu, Ali r.a. segera mendekatkan telinganya. “Uushiikum
bis shalati, wa maa malakat aimanuku, peliharalah sholat dan peliharalah
orang-orang lemah di antaramu.” Di luar pintu tangis mulai terdengar
bersahutan, sahabat r.a. saling berpelukan. Fatimah r.a. menutupkan tangan di
wajahnya, dan Ali r.a. kembali mendekatkan telinganya ke bibir Rasulullah
s.a.w. yang mulai kebiruan. Ali r.a. berkata: “Sesungguhnya Rasulullah
ketika menjelang saat-saat terakhir, telah mengerakkan kedua bibir beliau
sebanyak dua kali, dan aku meletakkan telinga, aku dengan Rasulullah berkata:
“Umatku, umatku.” Akhirnya roh yang mulia itupun meninggalkan jasad
Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w. wafat pada hari Isnin 13 Rabiul Awal.
Berkata Anas
r.a.: “Ketika aku lalu di depan pintu Aishah, ku dengar dia sedang menangis
sambil mengatakan: “Wahai orang yang tidak pernah memakai sutera. Wahai orang
yang keluar dari dunia dari perut yang tidak pernah kenyang dari gandum. Wahai
orang yang telah memilih tikar daripada singgahsana. Wahai orang yang jarang
tidur di waktu malam kerana takut Neraka Sa’iir”
Telah
bersabda Rasulullah s.a.w. bahawa: “Malaikat Jibril telah berkata kepadaku;
“Wahai Muhammad, sesungguhnya Allah S.W.T. telah menciptakan sebuah laut di
belakang gunung Qaf, dan di laut itu terdapat ikan yang selalu membaca selawat
untukmu, kalau sesiapa yang mengambil seekor ikan dari laut tersebut maka akan
lumpuhlah kedua belah tangannya dan ikan tersebut akan menjadi batu.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan